Home Minda Presiden

Mencabar syariat menentang Allah

447
SHARE


Minda Presiden PAS
[Bil: 7 / 2024]
MENCABAR SYARIAT MENENTANG ALLAH


Sesiapa yang membaca al-Quran pasti bermula dengan Surah al-Fatihah yang menjadi pembukanya, juga menjadi rukun solat kepada penganut Islam, dengan solat pula menjadi rukun tiang agama Islam. Dalam surah itu, dinyatakan doa memohon petunjuk ke jalan yang benar.

Surah al-Fatihah ialah permulaan al-Quran, kitab suci terakhir daripada Allah kepada rasul akhir zaman. Doanya pula secara langsung menghadap Allah ketika solat.

Seterusnya, diikuti dengan Surah al-Baqarah, Allah membahagikan manusia terhadap petunjuk-Nya kepada tiga kumpulan: Kumpulan mereka yang beriman dan beramal soleh dijanjikan keselamatan dan kebahagiaan di alam dunia hingga Hari Akhirat yang wajib berlaku. Diikuti pula kumpulan mereka yang kafir (menentang secara terbuka petunjuk Allah) dijanjikan kecelakaan di dunia dan akhirat. Seterusnya, kumpulan mereka yang munafiq (berpura-pura beriman), nasib mereka adalah celaka juga.

Selepasnya, dinyatakan betapa al-Quran yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW tidak boleh dicabar, di samping amaran yang paling keras diberikan terhadap sesiapa yang mencabarnya. Firman Allah SWT:

﴿وَإِن كُنتُمۡ فِي رَيۡبٖ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُواْ بِسُورَةٖ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُواْ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٢٣ فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ وَلَن تَفۡعَلُواْ فَٱتَّقُواْ ٱلنَّارَ ٱلَّتِي وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُۖ أُعِدَّتۡ لِلۡكَٰفِرِينَ ٢٤﴾

“Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surah (sahaja) yang semisal al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. (23) Maka, jika kamu tidak dapat membuat(nya) – dan pasti kamu tidak akan dapat membuat(nya), peliharalah dirimu daripada Api Neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir. (24)” [Surah al-Baqarah: 23–24]

Kumpulkanlah segala tuhan yang kamu lantik selain Allah, segala ilmuwan yang kamu anggap paling bijak, serta para pemimpin yang kamu sanjung dan puja untuk menciptakan satu surah sahaja seperti al-Quran.

Sehingga kini dan selama-lamanya, tiada sesiapa yang dapat menyahut cabaran itu.

Al-Quran ialah mukjizat ilmu yang menjadi tanda kerasulan yang datang daripada Allah Pencipta alam, menjadi petunjuk kepada seluruh alam, termasuk makhluk manusia.

Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Pencipta dan Pentadbir alam yang menjadi fitrah kepercayaan manusia. Allah juga Maha Suci daripada segala kekurangan dan kelemahan serta bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, termasuk Maha Adil, Bijaksana, dan Rahmat kepada makhluk-Nya.

Semua firman-Nya dalam al-Quran adalah benar, dibuktikan oleh semua kajian secara jujur, serta hukum-Nya pasti adil dan menyelesaikan semua masalah. Dapat disaksikan kegagalan yang lain daripadanya.

Kini, kita menyaksikan manusia menghadapi masalah diri, keluarga, dan masyarakat kerana meninggalkan petunjuk al-Quran. Akibatnya, berlaku penyakit jasad, roh, dan akal dalam diri manusia serta penyakit masyarakat, termasuk kerosakan cuaca dan alam sekitar apabila lari daripada petunjuk Allah Pencipta alam. Hal ini menepati amaran Allah SWT:

﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١﴾

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]

Perkara ini turut menepati amaran Allah kepada golongan Ahli Kitab terdahulu yang pernah menolak sebahagian kitab Allah:

﴿… أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضٖۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفۡعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡيٞ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ ٨٥ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا بِٱلۡأٓخِرَةِۖ فَلَا يُخَفَّفُ عَنۡهُمُ ٱلۡعَذَابُ وَلَا هُمۡ يُنصَرُونَ ٨٦﴾

“…Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripada kamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada Hari Kiamat, mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lengah daripada apa-apa yang kamu berbuat. (85) Itulah orang-orang yang membeli kehidupan dunia dengan (kehidupan) akhirat, maka tidak akan diringankan seksa mereka dan mereka tidak akan ditolong. (86)” [Surah al-Baqarah: 85–86]

Allah menegaskan kepada penganut Islam supaya istiqamah berpegang kepada hukum Allah tanpa memilih-milih. Firman Allah SWT:

﴿وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا ٣٦﴾

“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang Mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang Mukminah, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.” [Surah al-Ahzab: 36]

Tidak boleh memilih-milih sehingga tidak boleh ragu terhadap syariat Allah. Firman Allah SWT:

﴿فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤۡمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيۡنَهُمۡ ثُمَّ لَا يَجِدُواْ فِيٓ أَنفُسِهِمۡ حَرَجٗا مِّمَّا قَضَيۡتَ وَيُسَلِّمُواْ تَسۡلِيمٗا ٦٥﴾

“Maka, demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keraguan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” [Surah al-Nisa’: 65]

Allah telah meletakkan sesiapa yang menolak syariat Allah dan menggantikannya dengan yang lain ialah amalan syirik (sesat dengan mengadakan tuhan selain Allah), dosa yang paling besar. Firman Allah SWT:

﴿أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١﴾

“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tidak ada ketetapan yang menentukan (daripada Allah), tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.” [Surah al-Shura: 21]

Allah memberikan amaran keras terhadap para paderi dan pendeta yang mencipta hukum gantian kepada hukum Allah SWT:

﴿فَوَيۡلٞ لِّلَّذِينَ يَكۡتُبُونَ ٱلۡكِتَٰبَ بِأَيۡدِيهِمۡ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ لِيَشۡتَرُواْ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلٗاۖ فَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا يَكۡسِبُونَ ٧٩﴾

“Maka, kecelakaan yang besarlah (dihumban ke Neraka) bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakannya, ‘Ini daripada Allah,’ (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka, kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa-apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa-apa yang mereka kerjakan.” [Surah al-Baqarah: 79]

Terbukti benarnya syariat Islam melalui kajian yang jujur dan ikhlas oleh kalangan para tokoh besar ilmuwan orientalis bukan Islam, sama ada kajian secara saintifik ataupun pengalaman. Ada yang terus menganut Islam seperti Muhammad Asad, Gerald C. Goeringer, Maryam Jameelah, dan lain-lain.

Antaranya ialah penerimaan al-Quran menjadi rujukan terpenting ketika pakar undang-undang yang bersidang di Belanda menggubal undang-undang antarabangsa dan piagam antarabangsa pada awal abad yang lalu selepas Perang Dunia Pertama.

Beberapa siri dialog Islam dan Barat yang diadakan beberapa kali pada tahun 60-an dan 70-an pada abad yang lalu di Vatican City dan beberapa pusat kajian di Eropah, Riyadh, dan lain-lain membuat pengakuan; hukum Islam adalah berjaya mengatasi jenayah dengan berkesan, tidak gagal seperti undang-undang Barat yang menjadikan jenayah terus meningkat.

Kini, terbukti pula oleh kegagalan ideologi dan teori politik, ekonomi, pendidikan, dan media yang telah merosakkan nilai kemanusiaan sejagat sehingga bercelaru antara hak manusia dengan binatang.

Kegagalan Islamofobia terhadap Islam dan penerimaan sebahagian masyarakat Barat terhadap Islam menjadi bukti yang nyata perlunya umat Islam kembali kepada agama mereka sendiri.

Dahulunya, pihak penjajah tidak berani menentang syariat Islam secara terbuka, termasuk kalangan umat Islam yang berpendidikan Barat juga mengelak daripada menentang syariat secara terbuka.

Malangnya, di negara kita kini, ada kalangan yang menganggap dirinya dalam senarai ilmuwan, walhal pada hakikatnya, terlalu cetek ilmunya dibandingkan dengan tokoh-tokoh ilmuwan Barat. Tiba-tiba, berani mencabar syariat Allah sehingga membawa ke mahkamah, bukan sekadar polemik ilmu yang sudah tidak berpijak dengan dalil yang kukuh. Hal ini semata-mata kerana tersemat dalam dirinya semangat memuja penjajah yang telah kelihatan menurun dan merudum pengaruhnya di seluruh pelosok dunia.

Allah menegaskan kesempurnaan Islam yang tidak boleh dikalahkan oleh musuh-Nya. Firman Allah SWT:

﴿… ٱلۡيَوۡمَ يَئِسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمۡ فَلَا تَخۡشَوۡهُمۡ وَٱخۡشَوۡنِۚ ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ … ٣﴾

“…Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu. Oleh sebab itu, janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini, telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu ni‘mat-Ku, dan telah Aku redai Islam itu menjadi agama bagimu.” [Surah al-Ma’idah: 3]

Walaupun kerajaan Islam yang melindungi syariatnya berjaya dijatuhkan, di samping negara dan umat Islam dijajah, cahaya petunjuk Islam tetap gagal dipadamkan oleh musuhnya secara hujah, sehingga menepati janji Allah SWT:

﴿وَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّنِ ٱفۡتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَ وَهُوَ يُدۡعَىٰٓ إِلَى ٱلۡإِسۡلَٰمِۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّٰلِمِينَ ٧ يُرِيدُونَ لِيُطۡفِـُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩﴾

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah, sedang dia diajak kepada Islam? Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang zalim. (7) Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya. (8) Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama, meskipun orang Musyrik membenci. (9)” [Surah al-Saff: 7–9]

Percayalah bahawa mereka yang merancang bagi menghapuskan Islam dengan segala tipu daya mereka pasti gagal kerana tiada sesiapa yang berkuasa menentang kuasa Allah Yang Maha Berkuasa. Firman Allah SWT:

﴿وَقَدۡ مَكَرُواْ مَكۡرَهُمۡ وَعِندَ ٱللَّهِ مَكۡرُهُمۡ وَإِن كَانَ مَكۡرُهُمۡ لِتَزُولَ مِنۡهُ ٱلۡجِبَالُ ٤٦ فَلَا تَحۡسَبَنَّ ٱللَّهَ مُخۡلِفَ وَعۡدِهِۦ رُسُلَهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٞ ذُو ٱنتِقَامٖ ٤٧﴾

“Dan sesungguhnya, mereka telah membuat makar (perancangan) yang besar, padahal di sisi Allahlah (balasan) makar mereka itu. Dan sesungguhnya, makar (menggagalkan perancangan) mereka itu (amat besar) sehingga gunung-gunung dapat lenyap kerananya. (46) Kerana itu, janganlah sekali-kali kamu mengira Allah akan menyalahi janji-Nya kepada rasul-rasul-Nya. Sesungguhnya, Allah Maha Perkasa, lagi mempunyai pembalasan. (47)” [Surah Ibrahim: 46–47]

Pada era penjajah berkuasa dahulu yang secara langsung memerintah umat Islam, syariat Islam dihalang pelaksanaannya secara penghapusan dalam amalannya ataupun dipenjarakan dan dikongkong dengan kawalan undang-undang tertentu. Syariat Islam hanya diizinkan dalam aspek ibadat dan amalan peribadi. Di samping itu, wujud gerakan yang mengelirukan dengan tuduhan-tuduhan fitnah yang bohong seperti syariat Islam menentang kebebasan dan kemajuan sehinggalah tuduhan liar yang menakutkan, seterusnya mencetuskan Islamofobia.

Namun, terdedah kezalimannya terhadap Islam apabila mencetuskan pengajian ingin tahu secara ilmu dan terdedahnya kelemahan ideologi dan teori ciptaan manusia, sehingga peringkat Islam mempengaruhi pemikiran musuhnya dan tercetus kenyataan terbuka membela syariat Islam oleh musuhnya sendiri.

Setiap penganut Islam yang setia wajib mempertahankan syariat Allah yang tidak berpisah dengan rukun keimanan dan keislaman masing-masing, kerana hubungan syariat yang tidak berpisah daripada rukun iman dan Islam. Tentangan terhadap Islam kini dianggap terpencil dan berfikiran di luar sempadan tabii budaya ilmu yang tinggi. Kewajipan yang besar ialah menyelamatkan iman dan Islam dalam kalangan yang tenggelam dalam kejahilan beragama yang membawa kecelakaan dunia dan akhirat.

Percayalah bahawa tindakan yang zalim terhadap Islam tidak boleh membatalkan kemuliaan Islam daripada Allah Yang Maha Berkuasa. Semua kuasa besar yang mencabar Allah tenggelam dalam lipatan sejarah. Firman Allah SWT:

﴿أَكُفَّارُكُمۡ خَيۡرٞ مِّنۡ أُوْلَٰٓئِكُمۡ أَمۡ لَكُم بَرَآءَةٞ فِي ٱلزُّبُرِ ٤٣ أَمۡ يَقُولُونَ نَحۡنُ جَمِيعٞ مُّنتَصِرٞ ٤٤ سَيُهۡزَمُ ٱلۡجَمۡعُ وَيُوَلُّونَ ٱلدُّبُرَ ٤٥ بَلِ ٱلسَّاعَةُ مَوۡعِدُهُمۡ وَٱلسَّاعَةُ أَدۡهَىٰ وَأَمَرُّ ٤٦﴾

“Apakah orang-orang kafirmu (wahai kaum Musyrikin) lebih baik daripada mereka itu, atau apakah kamu telah mempunyai jaminan kebebasan (daripada azab) dalam Kitab-kitab yang dahulu. (43) Atau apakah mereka mengatakan, ‘Kami ialah satu golongan yang bersatu yang pasti menang.’ (44) Golongan itu pasti akan dikalahkan dan mereka akan mundur ke belakang. (45) Sebenarnya, Hari Kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka dan Kiamat itu lebih dahsyat dan lebih pahit. (46)” [Surah al-Qamar: 43–46]

Firman Allah SWT menyatakan cerita benarnya kehancuran kuasa besar terdahulu yang dimusnahkan kerana menentang Allah dan para rasul yang membawa syariat-Nya:

﴿أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ ٦ إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ ٧ ٱلَّتِي لَمۡ يُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِي ٱلۡبِلَٰدِ ٨ وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُواْ ٱلصَّخۡرَ بِٱلۡوَادِ ٩ وَفِرۡعَوۡنَ ذِي ٱلۡأَوۡتَادِ ١٠ ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِي ٱلۡبِلَٰدِ ١١ فَأَكۡثَرُواْ فِيهَا ٱلۡفَسَادَ ١٢ فَصَبَّ عَلَيۡهِمۡ رَبُّكَ سَوۡطَ عَذَابٍ ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلۡمِرۡصَادِ ١٤﴾

“Apakah kamu tidak memerhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Ad? (6) (Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. (7) Yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain. (8) Dan kaum Thamud yang memotong batu-batu besar di lembah. (9) Dan kaum Firaun yang mempunyai pasak-pasak (tentera yang banyak). (10) Yang berbuat sewenang-wenang dalam negeri. (11) Lalu mereka berbuat banyak kerosakan dalam negeri itu. (12) Kerana itu, Tuhanmu menimpakan kepada mereka cemeti azab. (13) Sesungguhnya, Tuhanmu benar-benar mengawasi. (14)” [Surah al-Fajr: 6–14]

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 28 Rajab 1445 / 9 Februari 2024