KUALA TERENGGANU – Tindakan berani Afrika Selatan untuk mengheret Zionis Israel ke Mahkamah Antarabangsa sangat dihargai seluruh rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pihaknya bersama dengan delegasi PAS telah mengadakan kunjung hormat ke kedutaan negara terbabit.
“Saya bersama dengan delegasi PAS diketuai Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Tumpat, Mumtaz Md Nawi ke kedutaan negara tersebut membawa surat terima kasih dan penghargaan daripada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mewakili rakyat Malaysia.
“Kerana usaha yang dilakukan oleh negara Afrika Selatan mengheret Zionis Israel ke Mahkamah Antarabangsa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media, sempena pelancaran Minggu Al-Quds Sedunia, di sini, hari ini.
Turut hadir, Penasihat Liga Ulama Palestin Dr. Abdullah Almajedd Alzindani dan Ahli Koordinasi Ulama Palestin, Dr Ahmad Amir.
Mengulas lebih lanjut, Dr Muhammad Khalil berkata, isu Palestin telah menjadi topik utama di Afrika Selatan sejak sekian lama.
“Ini kerana titik persamaanya, Afrika Selatan juga pernah berdepan penindasan di zaman Aparteid, maka wujud persamaan,” ujarnya,
Katanya, negara lain tidak berani mengambil langkah sebagaimana diambil oleh Afrika Selatan kerana menjaga kepentingan dengan barat termasuk dengan Amerika Syarikat.
“Kita kena faham sebenarnya sistem yang diwujudkan pada hari ini, politik, ekonomi dan lain-lain sistem yang diwujudkan untuk menjaga kepentingan dengan barat dan menyelamatkan Israel ini berlaku selepas perang dunia kedua.
“Selama ini sepanjang lebih 75 tahun wujudnya negara haram Israel walaupun banyak kes pembunuhan, melanggar hak asasi manusia yang dilakukan oleh Zionis Isrel tidak pernah dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa,” ujarnya.