KUALA TERENGGANU – Jumlah mangsa di negeri ini terus meningkat kepada 1313 orang daripada 375 keluarga yang terpaksa berpindah ke 24 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima daerah.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata lima daerah tersebut melibatkan Dungun, Besut, Hulu Terengganu, Kemaman dan Setiu.
“Setakat jam 12.00 malam, daerah Besut mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 479 orang daripada 139 keluarga yang ditempatkan di enam PPS,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Hulu Terengganu merupakan daerah terbaharu yang terjejas banjir yang merekodkan jumlah mangsa seramai 262 orang dari 80 keluarga yang dibawa ke lapan PPS.
“Dungun dan Kemaman merekodkan seramai 204 dan 24 mangsa daripada 54 dan enam keluarga yang berlindung di lima PPS dalam daerah tersebut.
“Daerah Setiu pula merekodkan seramai 344 mangsa daripada 96 keluarga yang ditempatkan di lima PPS,” jelasnya.
Ketika ini, hujan lebat masih melanda beberapa tempat di Terengganu.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” ujarnya.