Home Berita PAS Terengganu

Pelarasan tarif air di Terengganu jamin situasi ‘menang-menang’

6
SHARE

MARANG, 21 Januari – Kerajaan negeri memaklumkan kenaikan tarif air akan memberi situasi ‘menang-menang’ untuk syarikat pengendali air dan pengguna di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kenaikan tarif air baharu untuk pengguna domestik di Terengganu tidak akan melebihi 20 sen bagi setiap 20 meter padu (m³) berbanding negeri lain dan purata di peringkat nasional.

“Kenaikan tarif air ini berlaku di seluruh negara (atas saranan Kerajaan Persekutuan). Setelah dirunding antara semua negeri-negeri bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sejak beberapa tahun ada negeri-negeri yang kadarnya tidak pernah berubah iaitu dalam tempoh 10,15 tahun dan di Terengganu lebih 20 tahun.

“Sedikit sebanyak kenaikan tarif air ini boleh membantu syarikat-syarikat air menyediakan keperluan yang lebih baik kepada pengguna dari segi penggantian paip dan sebagainya.

“Jadi ‘is a win win’ (situasi menang-menang) untuk syarikat air dan juga kepada pengguna supaya perkhidmatan itu menjadi lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika kepada pemberita selepas Majlis YAB Menteri Besar Turun Padang sempena Penyerahan Notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompk (RTB) Tapak Kediaman Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang, hari ini.