Home Berita PAS Pahang

PASTI perkasakan pendidikan bukan keuntungan

139
SHARE

Oleh : KASDI KOSMIN

SEMAMBU, 21 Jan : Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) diwujudkan adalah hasil usaha Dewan Pemuda PAS bagi memartabatkan pendidikan yang berteraskan Islam khusus untuk kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun.

“Sejak awal penubuhannya tiada satu pun matlamat untuk mencari keuntungan seperti tanggapan sesetengah pihak, melainkan hanya untuk mewujudkan satu pendidikan yang sistemnya berpandukan Islam.

“Tuan-tuan boleh bertanya dengan pihak terlibat dalam pengurusan PASTI, berapa elaun yang mereka dapat, bahkan jika ada keperluan, mereka keluarkan duit poket sendiri untuk melaksanakan sesuatu aktiviti atau program di PASTI,”.

Begitulah antara kata-kata Ketua Dewan Pemuda PAS Indera Mahkota Ustaz Zulfadli Zakaria ketika merasmikan Sukan Jemaah Ibu Bapa dan Guru (JIBG) di salah sebuah pusat sukan dan rekreasi di Semambu Kuantan baru-baru ini.

Penerimaan masyarakat yang memberangsangkan adalah berkat kesungguhan dan keikhlasan guru-guru serta semua pihak yang terlibat dalam menghadapi pelbagai cabaran untuk PASTI terus berkembang.

PASTI kini telah diiktiraf oleh pelbagai pihak dan dianggap prasekolah berteraskan Islam yang terbaik di Malaysia, tambah Zulfadli lagi.

Sukan futsal dan boling anjuran JIBG ini dihadiri seramai 130 orang bagi mengeratkan lagi ukhuwah antara ibu bapa dan guru-guru PASTI.