Dimulakan jenama langkah untuk mengubah kerajaan oleh kumpulan Langkah Kajang dan juga kumpulan demonstrasi jalanan yang mahu memaksa kerajaan diubah berslogankan ‘Reformasi’. Kemudiannya, mereka meletakkan jenama Langkah Sheraton dan kerajaan tebuk atap kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mendapat Akuan Berkanun (SD) yang mencukupi mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.
Pihak yang mengambil langkah dan berusaha menarik wakil-wakil rakyat, melakukannya dengan janji diberikan jawatan menteri, kedudukan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan lain-lain. Di samping itu, mereka memberi sogokan wang bagi menjatuhkan Kerajaan PN dan Barisan Nasional (BN), sehinggakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) terpaksa diadakan.
Maka, terbentuklah sebuah Kerajaan Perpaduan yang setiap parti komponennya mempunyai masalah dalaman masing-masing, apa lagi kalau mahu membentuk perpaduan dengan komponen lain yang nyata mempunyai ideologi yang berbeza dan saling bercakaran antara satu sama lain dalam kempen pilihan raya yang baru saja berlalu.
Dalam sistem demokrasi, perubahan dilakukan oleh rakyat secara langsung melalui pilihan raya atau wakil rakyat yang dipilih mengadakan undi tidak percaya di Parlimen atau menyatakan SD yang mencukupi jumlahnya. Bertindak menolak kerajaan yang ada dengan jumlah sokongan yang mencukupi, secara rela hati tanpa diugut atau disogok dengan jawatan mahupun wang, atau dengan maksud yang lainnya tanpa rasuah.
Pengalaman suka menipu, berbohong, memberi sogokan, ugutan, boleh melakukan apa-apa sahaja, dan boleh berpura-pura bersih dan telus, termasuk dalam kalangan mereka laksana kata pepatah Arab:
ضَرَبَنِي وَبَكَى، سَبَقَنِي وَاشْتَكَى.
“Dia yang memukul diriku, dia pula yang menangis. Dia yang berlaku zalim terhadapku, dia pula yang mengadu.”
Saya sangat bersetuju dengan komen wartawan veteran, Abdul Kadir Jasin berkenaan politik wang dan Langkah Dubai, bahawa ia mestilah datang daripada pihak yang mempunyai wang dan menguasai kalangan yang diharapkan mendapat wang, dikatakan mahu bertindak menjatuhkan kerajaan yang berjenama Madani. Sedangkan, pihak kerajaan sekarang yang menguasai wang dan dapat mempengaruhi mereka yang mencari segala projek yang menghasilkan kewangan dengan cara yang paling mudah.
Adapun pihak pembangkang pula disekat peruntukan yang wajib diberikan, bahkan dibekukan perjalanan kewangannya dan juga disita. Pada masa yang sama, pihak yang menyokong pihak pembangkang pula dilakukan sekatan dan disusahkan kerana dianggap menjadi pencabar paling bahaya terhadap kerajaan.
Kerajaan Madani yang tidak nyata asas tamadunnya telah menubuhkan kerajaan laksana pokok yang reput akarnya, sehingga ditakuti ia akan tumbang disebabkan oleh angin yang bertiup perlahan sahaja, apa lagi kalau berlaku taufan dan tsunami.
Mendengar guruh di langit sahaja sudah disangkakan mesti akan datang angin yang dapat menumbangkan pokoknya yang tidak berakar tunjang kuat. Laksana kata-kata dalam pantun Melayu yang tidak lupa:
Melukut di tepi gantang,
Buka sanggul mencari kutu,
Orang yang takut akalnya hilang,
Jumpa tunggul dikata hantu.
Telah ditubuhkan sebuah kerajaan berjenama perpaduan dan Madani yang kabur makna madani yang diuar-uarkan, sehingga dikatakan penyokong juga ikut membangkang terhadap ucapan-ucapan di Parlimen dan kenyataan media secara terbuka.
Malah, banyak janji yang tidak mampu ditunaikan, cakapnya pula tidak serupa bikin. Banyak kenyataan yang bercanggah, sekali gus menandakan kerapuhannya umpama retak mencari belah.
Keadaan ini menjadikannya sedang berada dalam keadaan yang sentiasa mengganggu pentadbiran dan pengurusan. Semuanya sedang disaksikan oleh rakyat termasuk bukan pemerhati politik yang tidak berpolitik merasa bimbang dalam keadaan negara yang sebegini rupa, laksana penumpang yang berada dalam kenderaan yang pemandunya tidak diluluskan lesennya.
Walaupun sudah berada dalam blok kerajaan yang berkuasa, tetapi lantang suaranya dan cepat langkahnya mengulangi perangainya semasa menjadi pembangkang dahulu. Sentiasa mencari kesalahan pihak yang menyebut kelemahannya atau mengetahui kesilapannya atau dianggap ingin mencabar kuasanya, maka cakapnya berdegar-degar, terus tidak menunaikan janjinya, lain yang ditanya lain yang dijawab, atau gelabah bertindak dahulu sebelum disiasat, tangkap dahulu sebelum nyata penyiasatannya.
Kerajaan Perpaduan yang melangkah laksana anak ayam kehilangan ibu, kerana ibunya ke sana ke mari mencari makanan dengan meninggalkan anaknya sehingga boleh disambar helang yang sentiasa mencari peluang. Bapak ayam pula memang tidak mempedulikan anak kerana sibuk mengejar ayam betina lain.
Semua parti yang memilih konsep demokrasi mahu menjadi kerajaan, bukan sekadar menjadi pembangkang sepanjang masa. Pihak kerajaan pula tetap akan mempertahankan kedudukannya.
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan rakan-rakan dalam PN memilih pendekatan mempertahankan kepercayaan rakyat secara langsung dan tidak langsung, tidak perlu kepada budaya ‘shopping’ Ahli Parlimen dengan menggunakan duit yang banyak dan janji-janji, tetapi berpijak di bumi yang nyata mengamalkan politik demokrasi yang sebenar. Kami bergantung kepada rakyat dan pengorbanan mereka bersama PAS sejak penubuhannya sehingga kini. Orang yang tidak boleh bertahan melalui ribut dan gelombang politik ini umpama mereka yang mabuk kapal di lautan. Apa yang dapat dirempuh oleh gelombang yang diadakan ini, laksana gerak air kopi yang dikacau dalam cawan oleh sudu yang kecil.
PAS terus bersabar sejak ditubuhkan pada tahun 1951 dengan hanya satu kerusi, diikuti pasang surut politik kerana gelombangnya dan terus beristiqamah dalam semua keadaan. Walau bagaimanapun, PAS tetap bersedia dan berusaha menunggu perubahan kerajaan melalui proses demokrasi dan Raja Berperlembagaan. Menarik diri daripada demonstrasi jalanan kerana ia dahulu pernah menyusahkan rakyat dan tidak mempunyai wang yang banyak melainkan daripada sumbangan rakyat terutama kalangan yang miskin.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 22 Jumada al-Akhirah 1445 / 5 Januari 2024
[Bil: 1 / 2024]