Home Berita PAS Terengganu

Jentera Penerangan Negeri SG4 mainkan peranan penting

30
SHARE

KUALA TERENGGANU – Peranan dimainkan jentera penerangan di empat kerajaan negeri ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) atau ‘State-Goverment 4’ (SG4) iaitu kerajaan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis amat penting khususnya dalam menjelaskan dasar kerajaan kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerjasama yang dicapai juga perlu meliputi semua segmen termasuk penerangan selari dengan hasrat kepimpinan PN.

“Kita telah bertemu dengan kesemua Exco Penerangan di empat negeri ini. Apa yang penting adalah penyelarasan kerja dan perkongsian dari sudut ilmu dan pengalaman untuk kita lihat kesesuaian bagi dilaksanakan di negeri masing-masing.

“Fokus yang paling utama adalah menyebarkan agenda kerajaan negeri supaya ia sampai kepada rakyat dibawah sana,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Retreat Urus Setia Penerangan Dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) di Primula Beach Resort, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Urus Setia Penerangan Dan Komunikasi Negeri Kelantan, Razuan Awang Hamat.

Mengulas lanjut katanya, jentera penerangan adalah sendi penting kepada kerajaan negeri dan mereka perlu memasang niat yang betul melaksanakan tugasan yang diamanahkan.

“Tugas yang dimainkan jentera penerangan di setiap negeri termasuk UPKN dan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di peringkat negeri Terengganu adalah tugas yang mulia.

“Sebab itu apabila kita (jentera penerangan) menyebarkan agenda kedua-dua kerajaan negeri ini yang meletakkan Islam sebagai dasar dan dengan niat yang betul, kita akan dapat pahala,” ujarnya.