KUALA TERENGGANU, 3 Januari- Ketika pengusaha lain rata-ratanya sudah menggunakan teknologi moden untuk menghasilkan roti, seorang pengusaha dari Kampung Bukit Tunggal, di sini masih mengekalkan cara tradisional iaitu menggunakan dapur kayu.
Ramli Embong,63, berkata, perniagaan Kedai Roti Dapo Kayu peninggalan arwah ayahnya yang mesra dengan panggilan Pok Mbong oleh penduduk setempat telah beroperasi lebih setengah abad.
“Saya mula mengambil alih sepenuhnya perniagaan yang diusahakan oleh arwah ayah ini pada tahun 1995 dengan menghasilkan roti yang dibakar menggunakan kayu api secara tradisional dan mengekalkan resepi turun-temurun milik keluarga.
“Ada juga yang cadangkan supaya saya bakar menggunakan cara moden, guna oven dan sebagainya, tapi lepas berfikir panjang saya membuat keputusan untuk kekalkan cara tradisional ini,” katanya ketika ditemui pemberita di kedainya, semalam.
Ramli berkata, adunan roti yang dibakar menggunakan kayu api membangkitkan aroma tersendiri yang sentiasa menjadi rebutan peminat tegarnya yang terdiri daripada penduduk setempat dan dari seluruh pelusuk negeri.
“Jika dulu orang kampung sekitar yang menjadi pelanggan tetap tetapi kini peminatnya makin ramai dan ada yang datang dari luar Terengganu semata-mata untuk merasai keenakkan dan kelembutan roti di sini,” ujarnya yang mempunyai empat orang pekerja.
Katanya, kekalkan cara tradisional bukan sahaja dapat menjamin identiti Kedai Roti Dapo Kayu tetapi dalam masa yang sama dapat memberi kepuasan kepada pelanggan kerana roti ini ada peminatnya yang tersendiri.
“Saya buat secara terhad sahaja iaitu menggunakan lebih kurang 50 kilogram tepung gandum untuk dijual setiap hari kecuali Jumaat.
“Pada masa ini, roti yang dijual mempunyai tiga inti iaitu sekaya, kacang dan kelapa termasuk juga roti paung dan roti kosong,” ujarnya.