Home Berita PAS Perak

Kenyataan Media PAS Perak | Ngeh di nasihat jangan campuri hak Islam

26
SHARE

KENYATAAN MEDIA PAS PERAK

NGEH DI NASIHAT JANGAN CAMPURI HAK ISLAM

PAS Perak memandang serius kenyataan Ngeh Koo Ham yangz merupakan Pengerusi DAP Perak berkaitan campurtangan dalam urusan umat Islam. Kenyataan terbaru Ngeh berkaitan tuntutan penyertaan wakil bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini di negeri Perak.

Ini bukan kenyataan pertama yang di buat oleh Ngeh yang dilihat mencampuri hak orang Islam. Sebelum ini Ngeh pernah menimbukan isu berkaitan perkahwinan Islam dan bukan Islam dalam sidang Parlimen. Kenyataan yang turut dilihat mencampuri urusan umat Islam juga seringkali diikuti oleh Nga Kor Ming dan Howard yang juga merupakan pimpinan DAP Perak. Ini membuktikan bahawa tindakan mencampuri urusan umat Islam semacam satu agenda DAP di Perak.

PAS Perak mengingatkan DAP khasnya Ngeh agar berhati hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti umat Islam. Islam menegah campurtangan penganut agama lain terhadap Islam sebagaimana Islam juga menegah umatnya menghina tuhan bukan Islam. Konsep “Agama kamu untuk kamu dan agama kami untuk kami” adalah ketegasan dan sempadan toleransi yang di pegang PAS Perak.

Kenyataan Ngeh ini juga dilihat cuba mengajar umat Islam dan Raja Raja Melayu dalam menegakkan keadilan Islam. Perlembagaan secara jelas menyatakan dalam perkara 3 bahawa kuasa menjaga Islam adalah Yang Di Pertuan Agong bagi Persekutuan dan Raja Raja Melayu di peringkat negeri. Apakah kenyataan Ngeh menunjukkan keraguan beliau terhadap kuasa Sultan Perak dalam menegakkan keadilan Islam dan kepada bukan Islam yang merupakan rakyat negeri ini?

PAS Perak menggesa pihak berkuasa menasihat Ngeh dan pemimpin DAP agar lebih cermat mengeluarkan kenyataan yang membabitkan perkara sensitif khasnya berkaitan hak ketuanan Melayu dan Islam di negeri dan negara ini. Ia boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dan prasangka di kalangan penganut pelbagai agama seterusnya menggugat keamanan negara.

“ ADIL PRIHATIN BERKEBAJIKAN ”

YB HJ RAZMAN BIN ZAKARIA

PESURUHJAYA

PAS NEGERI PERAK

29 DIS 2023/ 16 JAMADIL AKHIR 1445.