Oleh : Mohd Safwan Mohammad
27 Disember 2023
SEMPORNA : Biro Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Sabah (BKKS) dengan kerjasama PAS Semporna dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sabah Relief memberi sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Pinggiran Bakau.
Bantuan berbentuk bakul makanan dan wang ringgit hasil sumbangan orang ramai telah disampaikan kepada setiap keluarga di sini Sabtu lepas.
Terdahulu, seorang lelaki rentung dalam kebakaran melibatkan tujuh buah rumah setinggan dan dua buah kenderaan pada 4 disember lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mayat mangsa yang dikenali sebagai Ladin,55, ditemukan di bahagian ruang tamu salah sebuah rumah yang terbakar sepenuhnya dalam kejadian tersebut.
Timbalan pengerusi BKKS, Nur Izzati Yusof berkata, ini bukanlah kali pertama pihak kebajikan PAS Sabah datang ke Semporna.
“Yakinlah dengan ujian ini, Allah SWT akan berikan hal yang lebih baik.
“Kami mengucapkan takziah buat semua mangsa terutamanya kepada Puan Salamiah atas pemergian anaknya selepas tiga hari berlakunya kebakaran,” ujarnya.
Katanya lagi, ujian itu bukannya untuk mereka yang ditimpa musibah, tapi juga bagi orang lain yang melihatnya sama ada membantu atau sebaliknya.
Sementara itu, menurut Pengarah Urusan Sabah Relief, Tarmizi Yahya, kedatangan kami adalah bukti kebersamaan dan keprihatinan terhadap nasib mangsa.
“Orang yang bersabar ketika diuji, Allah SWT akan memberikan lebih banyak kebaikan dan rahmat buat mereka,” katanya.
Hadir sama Ketua Kampung Pinggiran Bakau, Milan Hj Ismail, Pengerusi Masjid, Adding Hj Ismail serta AJK PAS Semporna.