Home Berita PAS Terengganu

‘Saya Mahu Jaga ibu’

10
SHARE

MARANG – “Saya nak jaga ibu saya sebaik keluar dari sini,” itu tekad Adam (bukan nama sebenar), 17, salah seorang daripada 13 penghuni Asrama Akhlak (lelaki) Rusila di sini yang kini insaf atas perbuatan lalu.

Kemasukan Adam selama tiga tahun ke asrama berkenaan adalah mengikut Seksyen 46 akta Kanak-kanak 2001 yang mana terdiri daripada kanak-kanak luar kawalan dan dimohon sendiri pihak keluarga melalui mahkamah.

“Akibat kelalaian, tidak mendengar kata ibu bapa dan pengaruh rakan-rakan ketika menjejakkan kaki ke tingkatan satu menyebabkan saya berada di sini.

“Kalau ikutkan ada hikmah juga. Saya harap apa yang terjadi pada diri saya dapat memberi pengajaran kepada remaja lain untuk sentiasa mendengar nasihat ibu bapa serta tidak mementingkan diri sendiri,” katanya yang merupakan anak kelima dari tujuh beradik.

Adam ditemui pemberita di pusat berkenaan sempena Lawatan dan Sesi Ramah Mesra Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri Bersama Penghuni Asrama Akhlak Rusila, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim.

Menurut Adam yang bercita-cita untuk menjadi anggota bomba, sepanjang berada di asrama berkenaan, banyak perkara yang dia belajar termasuk kemahiran seperti pertukangan dan kimpalan selain diajar berdikari, displin dan keagamaan.

“Saya juga bersekolah seperti biasa di sekolah berhampiran dengan dihantar oleh petugas di asrama ini setiap kali waktu pergi dan balik,” ujarnya yang masih berbaki enam bulan berada di pusat berkenaan sebelum dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga.

Terdahulu, Pengetua Asrama Akhlak (lelaki) Rusila, Mohamed Abdan Ishak berkata, penghuni yang ditempatkan di asrama berkenaan diajar dengan pelbagai kemahiran dan ada yang dihantar ke sekolah.

“Mereka diberi pelbagai latihan disini antaranya kelas kemahiran asas seperti pertukangan kayu, motor mekanik, kelas komputer, kelas agama, bengkel kimpalan dan lain-lain.

“Kita ada guru yang mengajar penghuni disini dan apa yang paling membanggakan kami sebagai penjaga mereka disini adalah apabila anak-anak ini kembali menyambung pelajaran di sekolah menengah, pusat kemahiran, selain ada yang bekerja di sektor swasta sebaik pulang ke pangkuan keluarga,” ujarnya.

Katanya, beliau turut mengharapkan penghuni di asrama berkenaan dapat menangkis unsur-unsur negatif di luar sana dan berbekalkan ilmu yang dipelajari disini mereka akan menjadi insan yang berjaya suatu hari nanti.