Home Berita PAS Terengganu

DAP tunjuk taring, UMNO mati akal

45
SHARE

Dalam tempoh seminggu dua ini, DAP begitu rancak ‘test market’ bagi membangkitkan kemarahan pihak lain di samping mencari jalan demi menjayakan agenda utama mereka.

Bukan lagi rahsia, DAP sangat konsisten memperjuangkan Malaysian Malaysia yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.

Pada 1 September lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, parti itu tidak akan menggugurkan agenda Negara Sekular dan slogan ‘Malaysian Malaysia’ sekali gus tidak melayan UMNO yang merayu supaya DAP membuang perjuangan asal parti itu.

Bagi mencapai impian tersebut DAP telah mencipta pelbagai isu demi ‘menormalisasikan’ Malaysia ke arah negara sekular dan akhirnya menguasai Malaysia dengan agenda mereka.

Ada tiga signal jelas daripada DAP yang membayangkan parti itu kini sudah bersiap sedia untuk mengambil alih pemerintahan negara selepas menjadi parti terbesar dalam gabungan kerajaan campuran PH-BN.

Pada 29 November, Veteran DAP, Lim Kit Siang mencetuskan kontroversi apabila menyebut ‘tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri’. Perkara ini membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia.

Tidak lama selepas itu, DAP sekali lagi menunjukkan sikap rakusnya apabila menggesa kerajaan mengembalikan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula dengan bandar raya Kuala Lumpur pada 17 Disember.

DAP tahu, pilihan raya PBT akan mengukuhkan lagi kuasa mereka, undang-undang PBT berada di tangan mereka sepenuhnya, sekali gus melemahkan kaum lain terutama Melayu Islam.

Selang beberapa hari kemudian, DAP melalui parti Melayu kesayangannya iaitu Parti Amanah Negara (Amanah), mendesak supaya kerajaan menyegerakan persempadanan semula Parlimen.

Berdasarkan cadangan ini, DAP paling untung, satu kerusi DAP sekarang boleh dipecah menjadi dua atau tiga. DAP bakal menerima 70-80 tambahan kerusi di Semenanjung dan PH boleh menguasai Parlimen dengan kerusi-kerusi ini.

Ini akan mengakibatkan lebih banyak atau majoriti dana kerajaan disalurkan ke kawasan-kawasan Bandar dikuasai DAP.

Dengan ini pembangunan menjadi tidak seimbang di mana kawasan-kawasan separa bandar atau luar bandar akan lebih tertinggal atau dipinggirkan.

Tiga isu yang dicetuskan DAP serta sekutunya ini dibantah banyak pihak, namun apa yang menyedihkan saya ialah apabila saya langsung tidak mendengar bantahan daripada pemimpin paling tinggi UMNO, UMNO seperti mati akal, tidak menasihat apatah lagi nak melawan.

Apakah UMNO sudah mula redha dengan perjuangan DAP sehingga DAP begitu berani sekarang? Persoalan ini saya tinggalkan untuk kalian renungi.

YB Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi,
Ketua Penerangan PAS Terengganu.
20 Disember 2023.