Home Berita PAS Terengganu

Penduduk diminta waspada banjir gelombang ketiga

27
SHARE

KUALA TERENGGANU – Penduduk Terengganu diminta berwaspada dengan banjir gelombang ketiga yang dijangka berlaku bermula 22 hingga 26 Disember nanti susulan ramalan hujan lebat.

Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang menjangkakan hujan lebat susulan daripada kejadian ribut tropika Jelawat yang melanda di tenggara Filipina.

Menurutnya, hujan lebat tersebut boleh menyebabkan banjir terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

“Banjir gelombang kedua yang melanda negeri ini baharu saja pulih apabila semua pusat pemindahan sementara (PPS) di tutup sepenuhnya pada 2 petang, semalam dan kita menjangkakan hujan lebat serta angin kencang kemungkinan dijangka berlaku mulai Jumaat ini.

“(Ia dijangka) membawa kesan agak serius, kita akan mengalami hujan yang agak ‘berat’ sikit, jadi kita nasihatkan orang ramai untuk berhati-hati terutama yang duduk di persisir pantai.

“Ini baru ramalan yang dikeluarkan MetMalaysia, namun dalam masa sama kita sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi Monsun Timur Laut,”ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kit Bantuan Mangsa Banjir daripada Petronas di Dewan Gamelan, Primula Beach Hotel di sini hari ini.

Justeru itu, Tengku Seri BIjaya Raja  menasihatkan semua penduduk di kawasan terlibat dapat membuat persediaan lebih awal dan sentiasa waspada dengan amaran dikeluarkan pihak berkuasa.

“Orang ramai di sekitar kawasan yang dikeluarkan amaran dinasihatkan untuk berwaspada terutamanya penduduk yang duduk di persisiran pantai, kawasan rendah dan tempat yang kerap banjir,” katanya.

 

 

Dalam masa sama, semua jabatan dan agensi berkaitan pengurusan bencana di Terengganu terus bersiap siaga untuk berdepan sebarang kemungkinan yang akan berlaku dalam banjir gelombang ketiga nanti.