Home Berita PAS Terengganu

Terengganu fokus jaga rakyat berbanding bermain politik

163
SHARE

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan beliau lebih mengutamakan penyelesaian kepada apa jua masalah dalam isu rakyat dan urusan pentadbiran negeri.

Justeru itu katanya, beliau tidak akan membongkar kegagalan kerajaan terdahulu atau berterusan menyalahkan pihak lain dalam isu dan urusan pentadbiran negeri apabila menjawat jawatan Menteri Besar Terengganu pada penggal pertama

“Ketika ditanya oleh wartawan tentang keutamaan saya, saya ada dua pilihan iaitu sama ada merobohkan semuanya dan membina dari awal atau membuat penstrukturan semula dan melihat apa yang boleh diselamatkan.

“Saya memilih jalan yang kedua dan jalan ini memerlukan kepada melakukan sesuatu mengikut keutamaan seperti adakah memilih untuk membaiki atap dahulu atau membaiki dapur dahulu?.

“Boleh saja kami memilih untuk membongkar kegagalan kerajaan terdahulu tetapi ianya tidaklah membantu apa-apa. “Witch hunting” atau berterusan menyalahkan sesuatu pihak bukanlah jalannya. Keperluan pada masa tersebut adalah mencari penyelesaian kepada apa masalah yang ada mengikut keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan di laman rasmi facebook beliau hari ini.

Justeru itu, pada penggal kedua, beliau  menggesa kesemua Exco dan ketua agensi Kerajaan Negeri Terengganu untuk terus mengorak langkah dengan pantas mendapatkan pelabur dan mencari pendapatan tambahan untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber petroleum dan royalti.

“Pada penggal kedua, saya kumpulkan semua EXCO dan ketua agensi Kerajaan Negeri dalam satu program dan memberitahu mereka untuk terus masuk ke gear tiga bukannya lagi gear satu mahupun gear dua.

“Kami perlu terus bertindak dengan mendapatkan pelabur dan mencari pendapatan tambahan kepada negeri bagi mengurangkan kebergantungan negeri kepada sumber petroleum dan royaltinya,” ujarnya lagi.

Tambah Ahmad Samsuri, pada penggal pertama, kerajaan negeri dapat mengurangkan kebergantungan dalam 3 hingga 4 peratus walaupun tidak banyak tetapi ada perubahan.

“Sekarang, kami cuba mengoptimumkan kutipan cukai dan hasil daripada sumber mineral lain bagi mendapatkan pulangan kepada kerajaan negeri.

“Kami ingin mendapatkan lebih banyak pendapatan dalam sektor inisiatif hijau seperti menjalinkan kerjasama hidrogen dengan PETRONAS,”kata beliau.

Dalam masa sama, pihaknya juga telah melawat Sarawak untuk melihat dan mempelajari mengenai inisiatif hijau untuk diimplementasi di Terengganu.

“Harapan kami juga, segala hasil usaha daripada keputusan yang diambil dapat dilihat akan datang,” ujarnya.