Home Berita PAS Terengganu

Rakyat tidak setuju tindakan BN fail petisyen – Kajian

14
SHARE

KEMAMAN – Hasil tinjauan mendapati sebanyak 61 peratus responden tidak bersetuju dengan tindakan Barisan Nasional (BN) memfailkan petisyen membatalkan kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen Kemaman yang lepas.

Kajian yang dilaksanakan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) itu turut mendapati 53 peratus responden menganggap keputusan Mahkamah Pilihan Raya terhadap keputusan petisyen adalah tidak konsisten.

Jelas TSIS, 52 peratus responden pula beranggapan bahawa keputusan tersebut adalah didorong oleh motif politik.

“Manakala, majoriti 58 peratus responden juga berpendirian bahawa pemberian bantuan tunai oleh Kerajaan Negeri kepada beberapa kumpulan penerima golongan rentan tidak menjadi masalah.

“Antaranya, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas yang dikaitkan dalam dakwaan-dakwaan Pempetisyen adalah tidak menyalahi undang-undang atau ajaran agama.

“Hasil kajian itu dijalankan selama 12 hari bermula 29 Oktober hingga 9 November,” ujar TSIS menurut kenyataan media pada hari ini.

Tambah TSIS, kajian itu dijalankan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September lalu mengisytiharkan bahawa PRU Parlimen Kemaman (P.040) yang diadakan pada 19 November 2021 adalah tidak sah dan terbatal.

“Parti dari BN mendakwa berlakunya perbuatan penyogokan dan rasuah, pihak TSIS telah melaksanakan kajian bagi meninjau persepsi rakyat terhadap keputusan ini.

“Kajian yang dijalankan menggunakan kaedah temu bual secara dalam talian dan panggilan telefon serta secara tatap muka ini adalah melibatkan seramai 1,356 responden.

“Ia terdiri daripada 1,279 orang Melayu, 71 orang Cina dan 6 orang India; 686 orang lelaki dan 670 orang wanita, iaitu bersifat representatif kepada komposisi sebenar pengundi bagi kawasan pilihan raya ini.

“Mengenai pilihan raya yang akan diadakan semula bagi Parlimen Kemaman (P.040) pada 2 Disember ini, sejumlah besar iaitu 74 peratus responden mengatakan bahawa mereka akan keluar mengundi,” jelasnya.

Justeru tegas TSIS, suatu undang-undang atau peraturan atau garis panduan yang jelas mengenai pemberian semasa pilihan raya ini perlu diperkenalkan dan dikuatkuasakan.