Home Berita PAS Terengganu

Peluang Ahmad Samsuri bawa isu rakyat lebih luas

6
SHARE

KEMAMAN – Peluang untuk membawa isu rakyat akan lebih meluas jika calon PAS bagi PRK Kemaman, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dipilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, pencalonan beliau di Parlimen itu tidak akan menjejaskan tanggungjawab sebagai Menteri Besar, sebaliknya menambah ruang untuknya mengangkat permasalahan rakyat.

Katanya, prinsip yang dibawa dalam penampilan sulong sebagai ahli parlimen ialah memberikan khidmat terbaik termasuk dengan membawa permasalahan rakyat negeri dan negara ini ke peringkat  lebih tinggi.

“Kita boleh membawa permasalahan Kemaman ke peringkat nasional dan sebagai Menteri Besar saya percaya bukan sekadar isu daerah ini sahaja boleh dibawa tetapi isu-isu berkaitan seluruh negeri Terengganu.

“Jadi sudah tentulah peranannya ini besar serta sangat memberi impak dan manfaat kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberi semasa sidang media, di Majlis Pengisytiharan Calon Parlimen Kemaman, Di Dewan Terbuka Arena Square, di sini, semalam.

Tambah Ahmad Samsuri, sebelum ini di peringkat parlimen telah ada tiga Menteri Besar masing-masing dari negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, yang turut berperanan sebagai ahli parlimen.

“Mereka masih dapat melaksanakan tugas dengan baik hatta di negeri yang dilihat sibuk sekalipun seperti Pulau Pinang dan Selangor dilihat mampu untuk menjalankan tugas dengan baik sebagai ahli parlimen dan juga menteri besar,” ujarnya.