Minda Presiden PAS
[Bil: 94 / 2023]
ISLAM MELAWAN LIBERALISME
Fahaman liberalisme berakar umbi daripada Zaman Pencerahan (Enlightenment) di dunia Barat setelah mengalami zaman kegelapannya. Perubahan berlaku selepas mereka terpengaruh dengan Hadarah Islamiah (Tamadun Islam) dengan memisahkannya daripada agama Islam yang sempurna.
Seterusnya, terciptalah Tamadun Barat dan membuahkan aliran sekularisme yang meminggirkan agama daripada urusan duniawi, khususnya politik yang mentadbir negara. Kini, sekularisme mempengaruhi pemikiran politik yang luas dan menjadi sumber kepada terciptanya berbagai-bagai ideologi dan teori.
Antaranya ialah liberalisme yang berprinsipkan kebebasan menolak kebanyakan tanggapan asas dalam hampir semua teori pembentukan kerajaan awal seperti hak-hak raja yang diberikan oleh tuhan mengikut kepercayaan mereka, kononnya diserahkan kepada rakyat. Status tersebut berasaskan keturunan dan meminggirkan institusi-institusi agama.
Liberalisme beranggapan sistem ekonomi pasaran bebas lebih cekap dan menjana lebih banyak kemakmuran, di samping mempengaruhi urusan yang lain dalam kehidupan bermasyarakat sehinggalah mempengaruhi institusi kekeluargaan dan akhlak individu.
Teori yang dilahirkan di negara Eropah ini selepas terpengaruh dengan Hadarah Islamiah (Tamadun Islam), tetapi diputuskan daripada Islam yang sempurna. Keadaan ini menjadikan urusan dunia dipisahkan daripada agama yang tercetus dalam agama Kristian yang diselewengkan daripada Islam, agama Allah yang dianut oleh semua anbiya’ AS.
Firman Allah SWT:
﴿أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ ٨٣ قُلۡ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ عَلَيۡنَا وَمَآ أُنزِلَ عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ وَيَعۡقُوبَ وَٱلۡأَسۡبَاطِ وَمَآ أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمۡ لَا نُفَرِّقُ بَيۡنَ أَحَدٖ مِّنۡهُمۡ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ ٨٤ وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٨٥ كَيۡفَ يَهۡدِي ٱللَّهُ قَوۡمٗا كَفَرُواْ بَعۡدَ إِيمَٰنِهِمۡ وَشَهِدُوٓاْ أَنَّ ٱلرَّسُولَ حَقّٞ وَجَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٨٦﴾
“Maka, apakah mereka mencari agama yang lain daripada agama Allah (Islam), padahal kepada-Nyalah menyerahkan diri (Islam) segala yang di langit dan di bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa mengikut fitrah, dan hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan. (83) Katakanlah, ‘Kami beriman kepada Allah dan kepada apa-apa yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada Ibrahim, Isma‘il, Ishaq, Ya‘qub, dan anak-anaknya, dan apa-apa yang diberikan kepada Musa, ‘Isa, dan para nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka dan hanya kepada-Nya-lah kami menyerahkan diri (menganut Islam).’ (84) Sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. (85) Bagaimana Allah akan menunjuki suatu kaum yang kafir sesudah mereka beriman, serta mereka telah mengakui bahawa Rasul itu (Muhammad) benar-benar rasul, dan keterangan-keterangan pun telah datang kepada mereka? Allah tidak menunjuki orang-orang yang zalim. (86)” [Surah Ali ‘Imran: 83–86]
Ayat ini menegaskan bahawa semua nabi menganut Islam yang sempurna mengikut ketetapan Allah, Pencipta manusia yang ditugaskan untuk beribadat (pengabdian diri kepada Allah), berkhilafah (mentadbir semua urusan kehidupan dunia dengan panduan agama Allah), serta menunaikan amanah (menegakkan keadilan kepada semua) dan berwawasan dunia hingga akhirat.
Tujuan tersebut disenaraikan dalam al-Quran melalui firman Allah SWT:
﴿وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ ٥٦ مَآ أُرِيدُ مِنۡهُم مِّن رِّزۡقٖ وَمَآ أُرِيدُ أَن يُطۡعِمُونِ ٥٧ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُو ٱلۡقُوَّةِ ٱلۡمَتِينُ ٥٨﴾
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. (56) Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi-Ku makan. (57) Sesungguhnya, Allah, Dialah Maha Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh. (58)” [Surah al-Zariyat: 56–58]
Firman Allah SWT:
﴿وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠﴾
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui.’” [Surah al-Baqarah: 30]
Dan firman Allah SWT:
﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩﴾
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(-Nya), serta ulu al-amr antara kamu! Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (59)” [Surah al-Nisa’: 58–59]
Al-Quran menceritakan semua rasul AS berjuang mengislamkan rakyat dan kerajaan pada zaman masing-masing tanpa menyerah kalah sehingga akhirnya diwafatkan, sama ada menang memimpin negara dan umat ataupun wafat dan disambung perjuangannya oleh kaum masing-masing.
Allah SWT telah melantik rasul akhir zaman, Nabi Muhammad SAW yang disebut namanya dalam kitab suci agama terdahulu, sama ada agama samawi ataupun tidak samawi. Baginda dikurniakan kitab suci al-Quran (mukjizat ilmu) yang tidak mampu dicabar oleh manusia secara ilmu, akal, pengalaman, mahupun kajian yang terbatas, bukan secara bodoh hentam melulu. Firman Allah SWT:
﴿وَإِن كُنتُمۡ فِي رَيۡبٖ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُواْ بِسُورَةٖ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُواْ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٢٣ فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ وَلَن تَفۡعَلُواْ فَٱتَّقُواْ ٱلنَّارَ ٱلَّتِي وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُۖ أُعِدَّتۡ لِلۡكَٰفِرِينَ ٢٤﴾
“Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), cubalah buat satu surah (sahaja) yang semisal al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. (23) Maka, jika kamu tidak dapat membuatnya, dan pasti kamu tidak akan dapat membuatnya, maka peliharalah dirimu daripada Neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir. (24)” [Surah al-Baqarah: 23–24]
Rasulullah SAW telah berjuang menegakkan negara sehingga disambung menjadi sebuah negara besar yang memimpin dunia selama beberapa abad. Keadaan ini melahirkan umat Islam yang memimpin masyarakat majmuk dan menghasilkan Hadarah Islamiah (Tamadun Islam) yang meninggalkan jasa sehingga kini walaupun dengan kecacatannya kerana pengambilan yang salah.
Walaupun telah hilang kedaulatan Islam, namun ajarannya tetap dipelihara dengan sempurna. Kesempurnaan ajaran Islam itu ditegaskan oleh firman Allah SWT:
﴿… ٱلۡيَوۡمَ يَئِسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمۡ فَلَا تَخۡشَوۡهُمۡ وَٱخۡشَوۡنِۚ ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ … ٣﴾
“…Pada hari ini, orang-orang kafir (bukan Islam) telah berputus asa (kalah) berdepan dengan agama kamu. Oleh sebab itu, janganlah kamu takut kepada mereka tetapi takutlah kepada-Ku. Pada hari ini, telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, telah Aku cukupkan kepada kamu ni‘mat-Ku, dan telah Aku redai Islam itu menjadi agama bagi kamu…” [Surah al-Ma’idah: 3]
Banyak pengakuan daripada ilmuwan dalam segala lapangan yang mengkaji al-Quran secara ilmiah akur terhadap kehebatan ilmu al-Quran dan Hikmah (Sunnah Nabawiah) yang melaksanakannya dalam segala aspek. Ternyata pula kegagalan ideologi ciptaan manusia kanan dan kiri termasuk yang pragmatik. Semua ciptaan manusia itu terus mencari-cari kerana menolak al-Quran.
Ada pula kalangan umat Islam yang terheret kepada pengaruh pemikiran Barat kerana kesan warisan penjajah mencipta istilah pelbagai jenama seperti konservatif, progresif, liberal, reformasi, dan lain-lain bagi melakukan perubahan dan pembaharuan yang berkonsepkan sekularisme.
Adapun Islam tetap beristiqamah dan teguh dalam perkara rukun, prinsip, dan fitrah, selain murunah (fleksibel) dalam menangani perubahan dan perbezaan dalam kehidupan manusia dan kejadian alam. Di samping itu, dengan tajdid dan islah yang tidak berpisah daripada asas agama Islam dan rukunnya mengikut hikmah manusia diciptakan.
Semua mazhab dalam Islam melahirkan pendapat yang berbeza dalam perkara cabang bagi menangani sebarang perubahan dan pembaharuan, namun tetap bersatu dalam perkara rukun aqidah, syariat, akhlak, dan fitrah yang tetap. Hal ini menjadikan semua urusan tidak berpisah daripada agama Islam.
Walaupun hilangnya kuasa Islam dalam pemerintahan pada zaman kelemahan umat sehingga dijajah dan dibelasah oleh penjajah, ilmunya dalam semua mazhab muktabar tetap terpelihara. Di samping itu, al-Quran yang menjadi mukjizat ilmu juga tidak hilang kerana dipelihara oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya:
﴿إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ ٩﴾
“Sesungguhnya, Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya, Kami benar-benar memeliharanya.” [Surah al-Hijr: 9]
Maka, Islam tidak perlu meminjam istilah Barat seperti ortodoks, konservatif, liberal, progresif, dan sebagainya sehingga mengubah prinsip, rukun, dan hukum fitrah.
Allah memberikan amaran supaya jangan terpengaruh dengan pihak lain yang berkitab suci tetapi melakukan penyelewengan terhadap prinsip agama Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Firman Allah SWT:
﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَهُمۡ وَكَانُواْ شِيَعٗا لَّسۡتَ مِنۡهُمۡ فِي شَيۡءٍۚ إِنَّمَآ أَمۡرُهُمۡ إِلَى ٱللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ ١٥٩﴾
“Sesungguhnya, orang-orang yang memecahbelahkan agama mereka dan mereka menjadi bergolongan, tidak ada sedikit pun tanggungjawabmu kepada mereka. Sesungguhnya, urusan mereka hanyalah terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahu mereka apa-apa yang telah mereka berbuat.” [Surah al-An‘am: 159]
Dalam aspek politik, Islam menegaskan kewajipan berkonsep adil yang menyeluruh. Islam menerima konsep khilafah, republik, dan raja berperlembagaan yang mendaulatkan syariat Allah, berteraskan iman, dan mewajibkan kepimpinan Islam yang berkuasakan Islam.
Pada masa yang sama, Islam menolak segala bentuk kezaliman sama ada oleh individu ataupun kumpulan yang berjenama demokrasi tetapi menipu rakyat. Demikianlah keadaan yang tidak boleh dikawal oleh konsep sekularisme.
Al-Quran menunjukkan contoh khilafah seperti pemerintahan Nabi Dawud AS dan raja berperlembagaan seperti pemerintahan Nabi Sulaiman AS dan Zulqarnain yang adil. Paling akhir ialah pusaka ajaran Rasulullah SAW, para sahabat, dan tabiin.
Dalam aspek ekonomi pula, Islam mengakui hak kebebasan individu yang saksama dengan kewajipan bermasyarakat. Begitu juga dalam aspek-aspek yang lain, khususnya aspek pembangunan insan yang memenuhi ciri-ciri fitrah manusia yang mempunyai roh, jasad, dan akal, serta berjati diri dan bermasyarakat yang tidak berpisah dan berwawasan dunia hingga akhirat.
PAS yang berpegang kepada aqidah Islam dan syariatnya yang sempurna menentang langkah ke arah perubahan berjenama progresif atau liberal yang berkonsepkan sekularisme serta sesiapa yang bersekongkol dengannya. Konsep ini nyata mencabar Islam dan konsep kepimpinannya, sama ada oleh satu parti seperti DAP dan sepertinya ataupun kerjasama gabungan seperti Pakatan Harapan dan komponennya walaupun berjenama Islam.
Firman Allah SWT:
﴿وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ لَا تُفۡسِدُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ قَالُوٓاْ إِنَّمَا نَحۡنُ مُصۡلِحُونَ ١١ أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلۡمُفۡسِدُونَ وَلَٰكِن لَّا يَشۡعُرُونَ ١٢﴾
“Dan apabila dikatakan kepada mereka, ‘Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi.’ Mereka menjawab, ‘Sesungguhnya, kami orang-orang yang mengadakan perbaikan.’ (11) Ingatlah, sesungguhnya, mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar. (12)” [Surah al-Baqarah: 11–12]
Maka, PAS boleh bekerjasama dengan semua pihak dalam titik persamaan yang tidak mengheret PAS keluar dari prinsip beristiqamah, beraqidah Islam, dan berkonsepkan Islam memimpin bukan dipimpin, berpandukan firman Allah SWT:
﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣﴾
“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu ikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]
Rasulullah SAW mentafsirkan ayat di atas dengan melakar satu garisan yang lurus di atas tanah. Kemudian, Baginda melakar cabang-cabang yang di setiap cabang itu adanya syaitan yang menggoda supaya terpesong dari sampai ke hala tuju, yakni jalan yang lurus mengikut petunjuk Allah. [Hadis riwayat al-Nasa’i, al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Tafsir, No. 11109, dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukhthirin min al-Sahabah, No. 4437, daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud]
PAS membatalkan kerjasama dengan parti-parti yang mengheretnya keluar dari sempadannya apabila nyata memusuhi Islam, menafikan kedaulatan dan kepimpinannya seperti sekularisme, atau memesongkan dari dasar dan hala tujunya dengan menggunakan istilah yang menarik dan bahasa yang menggoda seperti liberal, progresif, madani, dan lain-lain.
Firman Allah SWT:
﴿أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَـٰٓؤُا شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١﴾
“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tidak ada ketetapan yang menentukan (daripada Allah), tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.” [Surah al-Shura: 21]
Firman Allah SWT:
﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan! Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” [Surah al-Baqarah: 208]
Firman Allah SWT:
﴿وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ لِكُلّٖ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةٗ وَمِنۡهَاجٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ وَلَٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ ٤٨ وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ ٤٩ أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ ٥٠﴾
“Dan Kami telah menurunkan kepadamu al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa-apa yang sebelumnya iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu. Maka, putuskanlah perkara mereka menurut apa-apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (sahaja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah jua kembali kamu semuanya, lalu diberitahu-Nya kepadamu apa-apa yang telah kamu perselisihkan itu. (48) Dan hendaklah kamu memutuskan perkara antara mereka menurut apa-apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya, Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa mereka. Dan sesungguhnya, kebanyakan manusia ialah orang-orang yang fasiq. (49) Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin? (50)” [Surah al-Ma’idah: 48–50]
PAS boleh bekerjasama dengan semua pihak secara tahaluf atau ta‘awun dalam sempadan prinsip dan rukun perjuangannya. Tindakan ini berpandukan firman Allah SWT yang diulangi dengan tegas beberapa kali:
﴿لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩﴾
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8–9]
Firman Allah SWT:
﴿… وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢﴾
“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan melampau. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya, Allah amat berat seksa-Nya.” [Surah al-Ma’idah: 2]
PAS mempunyai pasukan ilmuwan yang memelihara hukum nas dan ijtihad secara jama‘i dalam Majlis Syura Ulamak serta kepimpinan berbagai-bagai lapangan yang cukup dalam segala jurusan. Hal ini adalah bagi memelihara ilmu dan mentadbir dalam lapangan perjuangannya mengikut huraian Imam al-Mawardi RH:
“Ilmu yang memelihara sempadan hukum serta menangani perubahan dan perbezaan kehidupan manusia mengikut sempadan Allah.”
Seterusnya, perkara ini menyempurnakan janji Allah SWT yang berfirman:
﴿وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡـٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥﴾
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh, Dia akan meneguhkan bagi mereka agama (Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Nur: 55]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 27 Rabi‘ al-Akhir / 11 November 2023