KUALA NERUS – Siapa sangka hari yang sepatutnya diraikan dengan kegembiraan bertukar menjadi duka apabila bapa kepada seorang graduan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ini meninggal dunia 15 minit sebelum majlis graduasinya berlangsung.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa (dengan Kepujian), Haslina Kalang, 23, yang hanya menunggu giliran untuk menerima skrol mendapat panggilan dari jirannya di Tawau, Sabah pada jam 10.30 pagi memaklumkan tentang berita kematian bapanya Kalang Tona, 56, yang mempunyai sakit stroke.
Haslina berkata sejak dari awal lagi dia sudah berat hati untuk hadir ke konvokesyen hari ini kerana risau dengan bapanya
“Ayah suruh saya datang jugak konvokesyen dan dia nak saya naik ke pentas menerima ijazah.
“Saya tak sangka ayah pergi dulu sebelum saya naik ke pentas. Bagaimanapun saya kuat untuk naik juga sekejap menerima skrol,” katanya yang merupakan anak kedua dari lima beradik.
Menurutnya, dia berpuas hati kerana dapat menjaga ayahnya sepenuh masa sebelum ini sementara belum mendapat pekerjaan.
“Alhamdulillah, saya dapat berbakti kepada ayah dan saya redha dengan pemergian dia di hari konvokesyen saya hari ini” kata Haslina yang ditemani kakak sulungnya dari Johor ke majlis konvokesyen hari ini.
Haslina tiba di Terengganu dua hari lepas dan sepatutnya pulang esok ke kampung halaman sebaik sahaja selesai majlis konvokesyen hari ini.
Sementara itu, pihak UniSZA telah menyampaikan sumbangan wang tunai RM 2,500 kepada Haslina untuk membeli tiket penerbangan pulang ke Tawau, Sabah, hari ini.