Oleh MUHAMMAD HADI
ARAU, 6 Nov: Alam Ria PASTI Negeri Perlis yang berlangsung semalam menyaksikan penguasaan mutlak PASTI Kawasan Arau sehingga dinobatkan selaku juara keseluruhan temasya tersebut.
Daripada keseluruhan 11 acara yang dipertandingkan, PASTI Kawasan Arau berjaya meraih johan dalam sembilan acara iaitu acara Sajak (L), Sajak (P), Bercerita (P), Hafazan (P) dan Azan.
Selain itu, acara Khutbah, Pidato, Kalam Jamaie dan Nasyid turut menyaksikan wakil daripada PASTI Kawasan Arau naik ke pentas menerima hadiah tempat pertama.
Pengerusi PASTI Kawasan Arau, Abd Hadi Halipah yang ditemui berkata, pencapaian gemilang yang diraih itu adalah hasil daripada usaha gigih tanpa jemu para guru PASTI serta komitmen yang tinggi daripada ibu bapa dan waris peserta.
“Memang sejak awal lagi, kami (PASTI Kawasan Arau) melihat kesungguhan tinggi para guru dalam melatih peserta-peserta yang ada pada hari ini dan segala penat lelah yang dicurahkan itu ternyata membuahkan hasil yang amat membanggakan.
“Selain itu, ucapan terima kasih juga kami ucapkan kepada para ibu bapa dan waris pelajar, tanpa komitmen dan sokongan yang diberikan, mana mungkin Alam Ria PASTI Negeri Perlis pada kali ini menjadi milik kita,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun, Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis, Mohamad Azreen Jumri dan Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis, Nur Yuzaizy Mansor hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang.