Home Berita PAS Terengganu

MB, Presiden PAS terima kunjungan Tun M

12
SHARE

KUALA TERENGGANU – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada hari ini.

Tun Dr Mahathir bertemu Ahmad Samsuri pada jam 10.30 pagi di bangunan Wisma Darul Iman dan mengadakan pertemuan selama dua jam.

Ahmad Samsuri dalam catatan di akaun Facebook rasminya berkata pertemuan itu memperkemaskan lagi kerjasama antara negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Buah fikiran serta pengalaman beliau begitu mahal buat kami.

“Terima kasih Tun M sudi datang ke negeri cantik, Terengganu Darul Iman,” ujar kenyataan itu.

Tun Dr Mahathir kemudiannya beredar meninggalkan Wisma Darul Iman dan menuju ke rumah Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS) yang terletak di Rusile, Marang.

Beliau menunaikan solat zuhur secara berjemaah di Masjid Rusile sebelum mengadakan pertemuan bersama Abdul Hadi.

Tambah Ahmad Samsuri, apabila figura tokoh negarawan yang dihormati dan disegani bertemu, banyak bicara mereka.

“Kita yang masih muda ini, perlu banyak menuntut daripada kedua-duanya,” ujarnya.

Selepas kunjungan hormat itu, Tun Dr Mahathir bersama delegasi sempat singgah di Warung Pok Nong sebelum berangkat pulang ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM).