Home Minda Presiden

PAS: Obor perjuangan yang tidak padam

386
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 92 / 2023]
PAS: OBOR PERJUANGAN YANG TIDAK PADAM


Ramai daripada kalangan yang baru sahaja menyertai kelas politik membuat ulasan yang tidak matang terhadap PAS kerana buta akan sejarahnya, bahkan ada generasi baharu yang terpengaruh dengan media yang menjadi propaganda bagi menyasarkan perjuangan Islam seperti PAS.

Walaupun PAS ditubuhkan pada tahun 1951, yang nyata lebih awal sebelum kelahirannya, mereka dengan berani membuat ulasan dan komentar terhadap PAS tanpa mengetahui bahawa PAS menjadi mata rantai perjuangan Islam sebelumnya, yang diharamkan jenamanya beberapa kali pada zaman penjajah. Namun begitu, cahayanya tidak mampu dipadamkan oleh kuasa besar dunia walau tidak ada negara besar yang memayunginya selepas kehilangan khilafah pada awal abad yang lalu, sebaliknya kuasa yang menjajah tumbang secara bergilir-gilir.

Firman Allah SWT:

﴿وَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّنِ ٱفۡتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَ وَهُوَ يُدۡعَىٰٓ إِلَى ٱلۡإِسۡلَٰمِۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٧ يُرِيدُونَ لِيُطۡفِ‍ُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨﴾

“Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah sedang dia diajak supaya memeluk Islam. Dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang zalim. (7) Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut (tipu daya) mereka, sedang Allah (tetap) menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). (8)” [Surah al-Saff: 7-8]

PAS istiqamah berpegang kepada aqidah perjuangan Islam dan bergerak atas konsepnya. Pada masa yang sama, PAS juga bersikap anjal dalam bekerjasama dengan pihak lain, termasuk bukan Islam dalam menangani aspek mutaghayyirat (perubahan) dalam senario masyarakat dan politik.

Sejak zaman awal kedatangan penjajah di Nusantara pada tahun 1511 dengan kejatuhan kerajaan Melayu Islam Melaka, gerakan Islam tanpa kerajaan diambil oleh kumpulan Islam yang dipimpin oleh para ulama’, raja-raja dan pemimpin masyarakat Islam. Mereka berjihad menentang penjajah dengan teguh mempertahankan Islam, mempertahankan ilmu Islam, berdakwah dan berjihad dalam segala lapangan ilmu Islam, politik, ekonomi dan lain-lain. Ini menepati telahan seorang tokoh orientalis yang mengkaji bahawa:

“Islam tidak boleh dihapuskan perjuangannya selagi ada al-Quran, solat Jumaat mingguan dan himpunan haji di Makkah.”

Antaranya penubuhan kumpulan ulama’ di Pulau Penyengat di Riau, penubuhan pengajian pondok dan pesantren, diikuti penubuhan Sarekat Islam dan lain-lain bagi menentang penjajahan politik, ekonomi dan pendidikan. Semua ini menjadi benteng pertahanan yang kukuh dan akar yang tidak boleh diputuskan dalam hati umat Islam yang menjaga agamanya. Sehinggalah ditubuhkan Hizbul Muslimin yang diharamkan di Tanah Melayu, begitu juga di wilayah umat Islam di seluruh dunia.

Persatuan Islam Se-Malaya yang bertukar nama kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ditubuhkan pada tahun 1951 sejak zaman penjajah dan bergerak sehingga kini selepas merdeka. Parti ini teguh bergerak di atas dasar, rukun dan prinsip yang teguh beristiqamah dan mampu menangani segala perubahan yang berlaku dalam semua situasi, realiti dan isu yang mencabar.

Biarkan mereka yang tidak faham (fiqh) politik mentafsirkannya secara jahil, mendedahkan jahil murakabnya tidak mampu memahami ilmu kemasyarakatan yang menjadi sebahagian daripada ilmu fardu kifayah. Tanpa mengetahui Islam yang teguh dasar dan matlamatnya yang tidak berubah, namun pendekatannya bersifat murunah (anjal) tanpa dihanyutkan.

Parti-parti bukan bercirikan kumpulan Islam yang mengikut petunjuk Allah atau parti-parti bukan Islam, yang ditubuhkan sama ada sebelum PAS atau sezaman dengan PAS sewaktu zaman penjajah atau selepas merdeka, ada yang berkubur, berkecai, porak-peranda menunggu masa ajalnya. Namun begitu, semua usaha mematikan perjuangan Islam yang sebenar atau memporak-perandakannya menemui kegagalan.

PAS berpandukan petunjuk Allah SWT:

﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣﴾

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu daripada jalan-Nya. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]

Sabda Rasulullah SAW:

“لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدِّينِ ظَاهِرِينَ، لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ.” قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ قَالَ: “‌بِبَيْتِ ‌الْمَقْدِسِ، وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.”

“Masih ada satu kumpulan dalam kalangan umatku yang menzahirkan pegangan mereka kepada agama, dalam keadaan gagah perkasa terhadap musuh mereka. Tidak bolah diberikan mudarat oleh kalangan yang menyalahi mereka, melainkan mereka ditimpa oleh kesusahan, namun mereka terus berjuang atas dasarnya sehingga datang urusan Allah.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, di manakah mereka?” Jawab Rasulullah SAW, “Mereka itu (penduduk) di Bait al-Maqdis dan di sekeliling Bait al-Maqdis.” [Ahmad, Musnad Ahmad, Tatimmah Musnad al-Ansar, No. 22320, daripada Abu Umamah al-Bahili]

Selagi PAS tidak merungkai rukun dan dasarnya, selama itulah PAS mampu teguh bertahan. Adapun kumpulan Islam yang tidak sempurna rukun dan syaratnya atau yang merungkai rukun dan syaratnya kerana tidak beristiqamah, pasti tidak mampu meneruskan perjalanannya.

Allah SWT memberi peringatan bahawa kumpulan Islam itu pasti diuji ketahanannya oleh Allah SWT sejak zaman para rasul AS. Firman Allah SWT:

﴿أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ وَلَمَّا يَأۡتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوۡاْ مِن قَبۡلِكُمۖ مَّسَّتۡهُمُ ٱلۡبَأۡسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلۡزِلُواْ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُۥ مَتَىٰ نَصۡرُ ٱللَّهِۗ أَلَآ إِنَّ نَصۡرَ ٱللَّهِ قَرِيبٞ٢١٤﴾

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk ke dalam syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, ‘Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?’ Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” [Surah al-Baqarah: 214]

Firman Allah SWT:

﴿أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ وَلَمَّا يَعۡلَمِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ مِنكُمۡ وَيَعۡلَمَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ١٤٢﴾

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk ke dalam syurga, padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?” [Surah Ali ‘Imran: 142]

Sesungguhnya, PAS mendengar segala cemuhan semua pihak berpandukan petunjuk Allah SWT:

﴿وَعِبَادُ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلَّذِينَ يَمۡشُونَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ هَوۡنٗا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَٰهِلُونَ قَالُواْ سَلَٰمٗا ٦٣﴾

“Dan hamba-hamba (Allah) yang Maha Penyayang (yang diredai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab menyapa mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini.” [Surah al-Furqan: 63]

Keteguhan PAS tidak bergantung kepada para pemimpinnya sahaja dan tidak diukur mengikut hanya pencapaian pilihan raya yang disertainya. PAS pernah mengalami kehilangan pemimpin disebabkan faktor usia dan lain-lain, begitu juga pencapaian pilihan raya paling merosot setelah berjaya mencapai banyak kerusi sehingga menguasai beberapa kerajaan negeri dan mampu menyertai kerajaan pusat kerana kedudukannya atau kerusinya merosot, jatuh kerajaan negerinya, dikeluarkan daripada kerajaan pusat, menjadi pembangkang yang mempunyai satu kerusi atau langsung tidak mempunyai kerusi.

Semua ini sudah diketahui oleh semua pihak, khususnya parti lawan. Namun begitu, jenteranya tidak mati dan ahlinya makin bertambah, walaupun ada yang gugur dan dicantas atau dicuri.

Sesungguhnya, PAS menghayati firman Allah SWT:

﴿أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلٗا كَلِمَةٗ طَيِّبَةٗ كَشَجَرَةٖ طَيِّبَةٍ أَصۡلُهَا ثَابِتٞ وَفَرۡعُهَا فِي ٱلسَّمَآءِ ٢٤ تُؤۡتِيٓ أُكُلَهَا كُلَّ حِينِۢ بِإِذۡنِ رَبِّهَاۗ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَذَكَّرُونَ ٢٥ وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٖ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ ٱجۡتُثَّتۡ مِن فَوۡقِ ٱلۡأَرۡضِ مَا لَهَا مِن قَرَارٖ ٢٦ يُثَبِّتُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱلۡقَوۡلِ ٱلثَّابِتِ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِۖ وَيُضِلُّ ٱللَّهُ ٱلظَّٰلِمِينَۚ وَيَفۡعَلُ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ ٢٧﴾

“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan iaitu; kalimah yang baik adalah seperti sebatang pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit. (24) Pohon itu mengeluarkan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). (25) Dan perbandingan kalimah yang buruk seperti sebatang pohon yang buruk, yang mudah dicabut dengan akar-akarnya daripada permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun. (26) Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan Allah berkuasa melakukan apa yang Dia kehendaki. (27)” [Surah Ibrahim: 24-27]

Para ulama’ tafsir al-Quran menegaskan bahawa kalimah yang baik itu ialah لا إله إلا الله (tiada Tuhan yang sebenar melainkan Allah). Ini merupakan kesimpulan daripada firman Allah SWT:

﴿لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ٢٥٦﴾

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar (Islam) daripada jalan yang sesat (kufur). Oleh itu, sesiapa yang ingkar kepada Taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 256]

PAS berpegang kepada Islam sebagai al-din yang ditegakkan dalam seluruh aspek kehidupan, berbeza dengan perkataan agama dalam bahasa selain daripada bahasa al-Quran. Berbeza juga dengan ideologi sekular yang berpisah daripada agama, kerana Islam itu lengkap dan sempurna dalam seluruh cara hidup manusia, sama ada dalam urusan beragama mahupun urusan kehidupan dunia.

Semuanya terkandung dalam al-Quran (mukjizat ilmu) dan hikmah Rasulullah SAW (al-Sunnah). Ini merupakan kesinambungan kepada perjuangan semua para rasul yang diutuskan oleh Allah SWT kepada umat manusia. Firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِي كُلِّ أُمَّةٖ رَّسُولًا أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُواْ ٱلطَّـٰغُوتَۖ فَمِنۡهُم مَّنۡ هَدَى ٱللَّهُ وَمِنۡهُم مَّنۡ حَقَّتۡ عَلَيۡهِ ٱلضَّلَٰلَةُۚ فَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُواْ كَيۡفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلۡمُكَذِّبِينَ٣٦﴾

“Dan sesungguhnya, Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (untuk menyeru), ‘Hendaklah kamu menyembah Allah, dan jauhilah Taghut.’ Maka, antara umat itu, ada orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula antara mereka orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka, mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan orang yang mendustakan (rasul-rasul).” [Surah al-Nahl: 36]

Ayat ini bermaksud seseorang individu hendaklah sentiasa beristiqamah atas petunjuk Allah yang Maha Esa mengikut sempadannya dalam urusan ibadat, syariat dan akhlak yang dihayati dalam seluruh aspek kehidupan sehinggalah seseorang itu meninggal dunia. Di samping itu, dia hendaklah menolak segala yang melampaui sempadannya yang dinamakan Taghut.

Al-Quran menceritakan berkenaan perjuangan para rasul yang beristiqamah atas prinsip tersebut, kerana adanya dalam kalangan manusia yang membuat pilihan yang salah daripada ketetapan Allah Pencipta alam. Firman Allah SWT:

﴿كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ٢١٣﴾

“Pada mulanya, manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan para nabi, sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang yang beriman dengan balasan syurga), dan pemberi amaran (kepada orang yang ingkar dengan balasan azab neraka), dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk menjalankan hukum antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka, Allah memberi petunjuk kepada orang yang beriman ke arah kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” [Surah al-Baqarah: 213]

PAS berpandukan Islam berkonsepkan wasatiyyah yang membolehkan PAS bekerjasama dengan semua pihak, namun tidak boleh sekali-kali diheret keluar atau tergelincir daripada landasannya. Hal ini berpandukan firman Allah SWT:

﴿…وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ٢﴾

“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.” [Surah al-Ma’idah: 2]

PAS diwajibkan setia dengan perjanjian dan persefahaman, supaya selamat daripada tertipu dan terperangkap dengan godaan, sebagaimana peringatan Allah SWT dalam al-Quran:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَوۡفُواْ بِٱلۡعُقُودِۚ …١﴾

Wahai orang-orang yang beriman! Penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.” [Surah al-Ma’idah: 1]

Firman Allah SWT lagi:

﴿۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٢﴾

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan(sokongan) para Mukmin. (62)” [Surah al-Anfal: 61-62]

Semua kumpulan yang menipu dan menggoda PAS telah tamat riwayatnya sehingga berkecai dan menjadi lemah, namun PAS terus hidup. Bahkan PAS bertambah kuat, walaupun ada serpihan yang gugur di tengah perjalanan.

Sesungguhnya, PAS ialah sebuah parti Islam yang mengajak semua pihak kepada perpaduan dengan tertegak atas dasar dan konsepnya yang teguh. Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ ١٠٢ وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ ١٠٣ وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤ وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَٱخۡتَلَفُواْ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ لَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٞ ١٠٥﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. (102) Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan ni‘mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (semasa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah menyatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana ni‘mat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. (103) Dan hendaklah ada antara kamu segolongan puak yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang berjaya. (104) Dan janganlah kamu menjadi seperti orang (Yahudi dan Nasrani) yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat seksa yang berat. (105)” [Surah Ali ‘Imran: 102-105]

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 18 Rabi‘ al-Akhir 1445 / 2 November 2023