Minda Presiden PAS
[Bil: 91 / 2023]
ISRAEL: PAKSI KEJAHATAN YANG DICIPTA
Negara penjajah Barat bertanggungjawab mencipta negara yang dinamakan Israel, bertujuan menjaga urusan bagi meneruskan penjajahan mereka yang zalim sejak beberapa abad yang lalu, selain menjaga kepentingan mereka dengan menghalalkan segala cara.
Maka, tidak hairanlah jika negara-negara yang terlibat itu memejamkan mata sahaja terhadap keganasan yang dilakukan oleh Israel di Gaza hari ini sehingga melanggar undang-undang antarabangsa yang telah mereka ciptakan bersama. Malah, perbuatan Zionis itu telah melampaui batas kemanusiaan dan mengatasi keganasan binatang liar yang paling ganas, apabila dilihat jumlah korban kanak-kanak, orang tua, kaum wanita, dan lain-lain.
Bukan sahaja kawasan kediaman awam, bahkan serangan ganas turut disasarkan ke atas rumah ibadat, hospital, dan sekolah yang sudah dikira sebagai jenayah perang mengikut undang-undang antarabangsa.
Negara besar dan sekutunya pada hari ini pernah mencipta sejarah hitam sewaktu mereka datang menjajah negara Asia, Afrika, Amerika, dan Australia. Mereka mengganas dan membunuh penduduk asal seperti membunuh binatang liar dengan lebih ganas, malah ada yang ditawan dan dijadikan hamba abdi yang dijual laksana barangan, selain merompak segala hasil tanah jajahan mereka.
Justeru, tidak hairanlah kalau mereka boleh menyokong Israel yang sedang mengganas sekarang, bahkan memayunginya dengan bantuan senjata serta sokongan politik dan media yang tidak berbelah bahagi demi menghalalkannya.
Di samping itu, mereka membuat kenyataan terbuka bahawa Israel berhak melakukan apa-apa sahaja kononnya kerana mempertahankan diri dan kedaulatannya yang haram. Sebaliknya, pihak yang melawan Israel pula semuanya dianggap sebagai pengganas.
Ada pula negara Arab dan Islam yang tidak tersentuh perasaan mereka dengan kenyataan tersebut dan melakukan normalisasi dengan negara Israel. Sebaliknya, rakyat Palestin yang mempertahankan diri dan tanah asal mereka dikecewakan dan dipersalahkan pula.
Penganut Islam yang membaca al-Quran, termasuk Yahudi yang membaca kitab Taurat yang asal dan tidak diubah mengetahui bahawa, bumi Palestin dipilih Allah menjadi bumi para anbiya’. Hal ini disebabkan Nabi Ibrahim AS telah melakukan hijrah ke Palestin sebelum adanya bangsa Yahudi di samping sudah ada penduduk asal di sana, malahan bangsa Arab juga adalah daripada zuriatnya.
Sejarah Bani Isra’il, mereka diperintahkan untuk bersama para rasul dan anbiya’ bagi menegakkan Kitab Allah yang adil kepada semua. Namun, apabila mereka melakukan khianat terhadap Allah dan para anbiya’, maka kelayakan mereka untuk mendiami bumi Palestin dibatalkan. Firman Allah SWT:
﴿… وَضُرِبَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ وَٱلۡمَسۡكَنَةُ وَبَآءُو بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّۗ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ ٦١﴾
“…Lalu ditimpakanlah ke atas mereka nista dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Hal itu (terjadi) kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para Nabi yang memang tidak dibenarkan. Demikian itu (terjadi) kerana mereka selalu berbuat derhaka dan melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 61]
Dalam kalangan penganut Yahudi bermazhab Neturei Karta mendedahkan bahawa, kitab Taurat mengharamkan mereka menubuhkan negara Yahudi kerana sebab tersebut (pengkhianatan terhadap Allah dan para anbiya’), nanti mereka akan mengulangi bencana yang akhirnya menguburkan bangsa Yahudi.
Kumpulan sekular Yahudi yang memisahkan agama daripada politik menubuhkan pertubuhan yang dinamakan Pertubuhan Zionis Sedunia. Mereka berpegang kepada fanatik perkauman dan berjuang untuk kembali menubuhkan negara agung bangsa Yahudi atas nama Nabi Sulaiman AS yang pernah memerintah negara terbesar di dunia, padahal Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS menegakkan negara Islam yang beramal dengan Kitab Allah, bukan ditegakkan negara sekular.
Mereka melakarkan peta negara mereka dari Laut Mediterranean sehingga Laut Merah dan dari Sungai Nil di Mesir sehingga Sungai Furat di Iraq.
Melalui perundingan antara ketua Pertubuhan Zionis Sedunia, Theodor Herzl dengan Menteri Luar British, Lord Balfour, Perisytiharan Balfour yang terkenal dimeteraikan. Perisytiharan itu menyerahkan Palestin yang dijajah oleh British mengikut pembahagian Perjanjian Sykes-Picot kepada kumpulan Zionis bagi menubuhkan negara yang bernama ‘Israel’ apabila British meninggalkannya.
British bertindak memberikan segala kemudahan memasukkan pendatang Yahudi dari seluruh pelosok dunia ke Palestin dan memberikan perlindungan kepada kumpulan pengganas Yahudi yang ditubuhkan dengan senjata dan harta. Tindakan ini adalah bagi melindungi kaum Zionis yang datang dan menghalau penduduk Arab secara kekerasan, di samping menggunakan kekayaan membeli tanah sebanyak-banyaknya bagi penempatan kaum Yahudi yang datang seramai-ramainya.
Kumpulan pengganas Haganah ditubuhkan pada tahun 1920 yang kemudian ditukar kepada nama Irgun, dengan mereka diberikan kemudahan senjata oleh penjajah British pada era pemerintahannya. Salah seorang pemimpinnya ialah Menachem Begin yang menjadi Perdana Menteri Israel ketika penubuhan negara haram itu pada tahun 1948 dengan pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), secara membunuh dan menghalau rakyat Palestin serta merampas kediaman, kedai, dan kebun.
Adapun rakyat Palestin pula diharamkan memiliki senjata termasuk senjata kuno yang paling kecil atas nama menjaga keamanan, padahal sebenarnya mereka hanya ingin menjaga keamanan kumpulan Zionis tanpa apa-apa tentangan.
Kita menyaksikan tindakan ganas dalam peristiwa Deir Yassin pada tahun 1948, pembunuhan ganas Sabra dan Shatila pada tahun 1982, pembunuhan ramai jemaah yang bersolat di Masjid Ibrahimi pada tahun 1994, dan lain-lain di hadapan masyarakat antarabangsa tanpa apa-apa tindakan terhadap Zionis dan bebas daripada hukuman jenayah.
Kumpulan Zionis berjuang menguasai ekonomi dan media serta mempengaruhi politik semua negara besar, seterusnya negara-negara di bawah pengaruh kuasa besar itu. Zionis dapat menguasai Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), jadi kita mesti berwaspada kalau ada pemimpin negara yang menjadi rakan IMF dan Bank Dunia.
Semua agensi media dan unit penting PBB berada di bawah pengaruh Zionis. Semua calon Presiden Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom, dan negara Eropah juga ditentukan siapa calon yang kuat menyokong Israel.
Apabila berlaku kebangkitan rakyat Palestin yang disokong oleh umat Islam, kita menyaksikan situasi tersebut telah membahayakan negara haram Israel itu. Maka, usaha atas nama perdamaian dikendalikan oleh negara-negara besar untuk mempengaruhi negara Arab dan Islam yang dijadikan alat mereka bagi memberikan peluang kepada Israel menambah kekuatannya.
Alasannya, Israel berhak mempertahankan dirinya. Adapun rakyat Palestin tidak berhak berjuang mempertahankan hak mereka dari segi agama dan tanah air mereka, bahkan difitnah dengan jenama pengganas.
Negara-negara besar membekalkan Israel dengan segala jenis persenjataan, termasuk senjata pemusnah yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa. Bahkan, setiap rakyat Yahudi dipersenjatai, malah semua pendatang juga diberikan latihan tentera. Maka, semua rakyatnya ialah tentera.
Adapun rakyat Palestin diharamkan bersenjata. Kaum Yahudi Zionis pula dipersenjatai termasuk pendatang yang bukan tentera dijadikan tentera juga.
Kemajuan teknologi yang menjadi ancaman kepada Israel diharamkan, para saintis ramai yang dibunuh dan hilang, malah kemajuan tenaga nuklear yang bertujuan keamanan bagi mendapatkan sumber tenaga turut dimusnahkan dengan serangan oleh Israel atau kuasa yang memiliki pangkalan tentera di sekitarnya, atas nama keamanan negara Israel.
Mereka sengaja mengambil tempat di beberapa negara untuk menjadi pangkalan tentera bagi menjaga keselamatan Israel dan kepentingan mereka, selain mencuri dan merompak sumber ekonomi untuk mereka.
Pada masa ini, kumpulan Islam dari Palestin seperti kumpulan Hamas dan Tanzim Jihad serta Hizbullah di Lubnan ditubuhkan yang bergerak mengikut hukum Islam yang mewajibkan berjihad. Mereka mendapat latihan tarbiah jihad dan persediaan senjata.
Kini, mereka bertindak apabila Israel sudah kemuncak melampau mereka dengan menceroboh Masjid al-Aqsa, menggali terowong di bawah tanah, masuk ke dalam masjid dan menyerang mereka yang sedang beribadat dan beriktikaf. Termasuklah mengatur upacara korban oleh pelampau Yahudi bagi merasmikan pembinaan Haikal (Kuil) Sulaiman di dalam Masjid al-Aqsa, serta membunuh rakyat Palestin secara terancang oleh pendatang Yahudi yang dipersenjatai dan dikawal oleh polis dan tentera Israel.
Apa yang dilakukan oleh kumpulan Islam itu merupakan satu tindakan yang sudah tiba pada masanya dan mengikut hukum al-Quran:
﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يُدَٰفِعُ عَنِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٖ كَفُورٍ ٣٨ أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ ٣٩﴾
“Sesungguhnya, Allah membela orang-orang yang telah beriman. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang berkhianat lagi mengingkari ni‘mat. (38) Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya, mereka telah dizalimi. Dan sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu. (39)” [Surah al-Hajj: 38–39]
Kumpulan Islam Hamas, Tanzim Jihad, dan Hizbullah melaksanakan operasi perang yang menepati perintah Allah SWT:
﴿وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠﴾
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]
Rasulullah SAW mengarahkan larangan membunuh orang awam seperti orang tua, kaum wanita, kanak-kanak, dan paderi di gereja, rumah ibadat, dan lain-lain, hanya sasaran tentera sahaja yang diserang.
Hamas, Tanzim Jihad, dan Hizbullah yang berada di barisan hadapan mengikuti perintah Allah dan Rasul-Nya SAW. Berbeza dengan Israel yang bertindak balas menyerang Gaza, selatan Lubnan, dan Syria dengan menggempur sasaran awam yang diharamkan oleh Islam dan undang-undang antarabangsa.
Negara besar yang dipimpin oleh Amerika Syarikat dan diikuti oleh negara Eropah yang bersamanya juga melakukan jenayah perang apabila menghantar tentera dan senjata bagi membantu Israel, membenarkan segala tindakan jenayah perangnya, dan menggunakan kuasa veto bagi membatalkan keputusan yang menghukum Israel. Mereka bertindak atas nama berhak mempertahankan negara haram Israel yang merompak dan melakukan jenayah perang terhadap penduduk asal Palestin yang berhak.
Sebaliknya, mereka menghukum rakyat Palestin yang berjihad bagi membebaskan tanah air dan mempertahankan tanah suci agama sebagai pengganas. Serangan menggila itu bukan sahaja disasarkan ke kawasan awam, malah termasuk hospital, rumah ibadat seperti masjid dan gereja, sekolah, dan khemah penempatan mangsa peperangan yang dimusnahkan rumah kediaman mereka.
Mereka melakukan propaganda melampau untuk menarik simpati antarabangsa kerana menjadi mangsa Holocaust iaitu pembunuhan beramai-ramai terhadap Yahudi oleh pihak Nazi Jerman dalam Perang Dunia Kedua. Sebenarnya, merekalah yang melaksanakan Holocaust terhadap rakyat Palestin di dalam tanah air mereka yang dijadikan penjara, disekat segala kemudahan hidup, dan dibelasah dengan pembunuhan yang lebih kejam.
Amerika Syarikat dan Eropah yang lantang menjaga hak asasi manusia sepatutnya menghantar bantuan kemanusiaan. Akan tetapi, mereka menghantar kapal perang yang membawa senjata dan tentera atas nama perlindungan. Mereka turut bersama-sama melakukan keganasan jenayah perang dan mencabuli undang-undang antarabangsa yang mengawal peperangan supaya tidak melampau, tiba-tiba ikut serta melampau.
Media yang menembusi langit terbuka tanpa sempadan mendedahkan ke seluruh pelosok dunia, betapa ganasnya Zionis Israel terhadap rakyat Palestin yang berada di kawasan perlindungan sehingga di kawasan seperti hospital, rumah ibadat, dan sekolah, selain membunuh kanak-kanak, wanita, orang tua, dan pesakit.
Perbuatan ini mencetuskan kemarahan rakyat negara masing-masing yang masih berperikemanusiaan termasuk Amerika Syarikat dan Eropah, bersama negara Arab dan Islam yang bersimpati dengan rakyat Palestin yang dizalimi. Paling menarik ialah tindakan beberapa negara Amerika Latin memutuskan hubungan diplomatik dan menghalau duta Israel.
Malangnya, ada pula negara Arab dan Islam masih melakukan normalisasi dengan Israel dan adanya NGO dan parti politik di Malaysia melarang takbir, termasuk melarang kanak-kanak sekolah yang bersemangat membawa senjata mainan kerana marah akan keganasan sehingga membakar bendera Israel dan bala tentera Ahzab yang membantunya.
Larangan mereka sangat berlawanan dengan firman Allah SWT:
﴿وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠﴾
“Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka dengan kekuatan apa-apa saja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang, (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu, dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa-apa saja yang kamu nafkahkan di jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]
Sabda Rasulullah SAW:
عَلِّمُوا أَبْنَاءَكُمُ السِّبَاحَةَ وَالرَّمْيَ والفُروسِيَّةَ
“Ajarilah anak-anak kalian berenang, memanah dan menunggang kuda.” [Al-Suyuti, al-Jami‘ al-Saghir, No. 8166. Juga diriwayatkan dalam jalur dan lafaz yang lain dengan perbahasan para ulama’ hadis]
Masih ada lagi pewaris sistem pendidikan warisan penjajah yang melemahkan dan membodohkan umat Islam atas jenama perdamaian dan menentang keganasan, supaya tidak melawan pencerobohan keganasan penjajah dan tindakan zalim melampau yang dilakukan oleh mereka.
Jangan menjadi kalangan yang bermuka-muka kerana takut akan gelombang rakyat dengan berpura-pura dan bercakap bersama Palestin, sedangkan hati mereka bersama Zionis dan bala tentera Ahzab.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 17 Rabi‘ al-Akhir 1445 / 1 November 2023