Home Berita PAS Pahang

Graduan pelajar APSA diminta terus berkhidmat dalam masyarakat

79
SHARE


Oleh : HABSAH ALI

KUANTAN, 29 Okt ♦ “Saidatina Aisyah adalah guru para ulamak, wanita yang banyak membentuk keperibadian lelaki.

“Beliau juga telah melahirkan graduan-graduan yang sangat hebat di kalangan tabiin yang disenaraikan nama-nama mereka dari Universiti Saidatina Aisyah.

“Rupanya Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) itu telah wujud di zaman para sahabat lagi, cuma waktu itu tidak diinstitusikan. Aisyah sangat penting dalam kehidupan sejarah ini”.

Begitulah kata-kata oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Dato’ Ahmad Yahya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen APSA kali ke-3 di Dewan Fadzil Noor, Kompleks PAS Kedah semalam.

Tambah beliau lagi, Saidatina Aisyah adalah batang tubuh yang sangat penting dalam menyelesaikan soal yang berkait dengan politik sampai kepada urusan tadbir negara, semuanya dilebarkan dalam kehidupan Saidatina Aisyah.

APSA telah memberi ilmu pengetahuan dan disiplin kepada para muslimat untuk membentuk muslimat yang terbaik iaitu muslimat yang alim, haraki dan sufi bertepatan dengan kehendak keperluan zaman.

Seterusnya beliau mengharapkan agar graduan pada hari tersebut tidak berhenti untuk berjuang, berjihad dalam harakah.

Ini adalah kerana pesanan Nabi SAW iaitu sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak manfaatkan dirinya kepada manusia yang lain.

Majlis Konvokesyen seramai 187 graduan APSA menerima Diploma Eksekutif Naqibat (DEN) iaitu dari Pahang, Selangor, Perlis, Perak Melaka, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah

Dalam pada itu Anugerah Naqibat Pelatih Terbaik APSA peringkat negeri Pahang telah dianugerahkan kepada Faridah Kamarudin.

Penganugerah DEN dan Diploma Eksekutif Syifa’ (DESA) disampaikan oleh Dato’ Ahmad Yahya manakala Anugerah Pelajar Terbaik untuk sembilan negeri oleh Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) Salmiah Mohd Nor.