Home Berita PAS Terengganu

TFC sasar tiga mata jumpa Stallion laguna esok

12
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pengendali Terengganu FC percaya skuadnya mampu mencatat keputusan positif berdepan kelab Filipina, Stallion Laguna FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), 4 petang esok.

Tomislav Steinbruckner berkata, TFC kini memiliki empat mata hasil satu kemenangan dan satu seri dalam dua perlawanan Piala AFC terdahulu.

“Kami mahu mendapatkan tiga mata, setakat ini TFC sudah ada kutipan mata yang baik ditambah lagi jika berjaya memungut mata penuh esok.

“Saya berharap pasukan saya dapat memberikan aksi bertenaga walaupun perlawanan dilangsungkan pada 4 petang dan ada beberapa pemain utama yang cedera,” katanya ketika sidang media pra-perlawanan di SSMZA hari ini.

Mengulas lanjut, Tomislav berkata beberapa pertukaran pemain mungkin akan dibuat berdasarkan status kecederaan dan kecergasan pemain.

“Kami berdepan dengan jadual yang padat, Liga Super, Piala Malaysia dan Piala AFC, kesemua perlawanan adalah penting dan mencabar.

“Pemain mana diturunkan akan ditentukan sebelum perlawanan berdasarkan sesi latihan terakhir nanti, saya berharap pemain yang diturunkan memberikan aksi terbaik,” ujarnya.

Beliau juga menagih sokongan para penyokong Terengganu agar dapat memenuhkan stadium meskipun waktu perlawanan dibuat pada waktu petang di hari bekerja.

“Saya faham ada penyokong yang masih bekerja pada waktu itu, namun saya berharap agar mereka yang berkelapangan boleh hadir memberikan sokongan.

“Sokongan mereka sangat penting sebagaimana yang mereka lakukan di Kuala Lumpur berdepan KL City dalam saingan Piala Malaysia tempoh hari, pengorbanan para penyokong memberikan semangat dan kita menang perlawanan itu,” jelasnya.