Home Berita PAS Terengganu

Alam Ria PASTI pupuk bakat dan kemahiran

203
SHARE

Oleh ; Siti Aisyah Binti Ghazali

SETIU – Pertandingan Alam Ria PASTI adalah salah satu inisiatif yang bagus dan penting dalam memupuk bakat dan kemahiran pelajar dalam pelbagai aspek.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Langkap, Azmi Maarof berkata, PASTI merupakan pusat percambahan ilmu dan pembudayaan kemahiran secara Islamik.

“Saya sangat kagum dengan majlis yang dijalankan menengahkan bakat-bakat anak-anak berusia empat hingga enam tahun ini.

“Ia adalah satu wadah pendidikan yang sangat hebat.

“Saya melihat bagaimana anak-anak dilatih dengan mantap dan berkeupayaan melakukan sesuatu yang sangat bermakna,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Langkap berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program pada 15 Oktober di Dewan Sivik Chalok Kedai.

Menurutnya, lima buah PASTI yang terlibat di DUN Langkap antaranya Pasti Al Ehsan, Pasti Al Huda, Pasti An Nur, Pasti Al Amni dan Pasti Al Azhar telah menghantar wakil Pasti masing-masing berusia empat hingga enam tahun.

Sementara itu, Pengurus PASTI, Ustaz Mohd Sufian Bin Awang juga berperanan sebagai salah seorang juri telah memberikan nasihat dan kata-kata semangat buat pelajar PASTI yang menyertai pertandingan tersebut.

“Saya gembira dengan kehadiran semua peserta dan penonton yang menunjukkan semangat dalam setiap kategori.

“Saya berharap pelajar semua akan lebih berusaha dalam memperkasakan budaya pembelajaran supaya lebih berdaya saing.” ujarnya.

Beliau menambah, kejayaan para peserta yang menunjukkan kesungguhan melalui kategori masing-masing dalam Pertandingan Alam Ria PASTI Peringkat DUN Langkap adalah hasil daripada latihan keras dan sokongan keluarga serta guru.

“Semua pihak yang terlibat juga berharap pertandingan seperti ini akan terus dianjurkan untuk memberi peluang kepada pelajar mengembangkan lagi bakat sedia ada.

“Dan menyokong pembangunan insaniah serta intelektual mereka,” katanya.

Tambahnya, pertandingan ini mempunyai lapan kategori yang dipertandingkan iaitu Pertandingan Azan, Hafazan, Sajak, Bercerita, Pidato, Khutbah, Nasyid, dan Kalam Jamaie.

“Acara ini dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak dan telah menarik perhatian lebih kurang 150 orang hadirin termasuk pelajar bersama ibu bapa yang hadir untuk memberi sokongan kepada anak-anak mereka,” tambah beliau lagi.