KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di kalangan pembangkang dan perkara tersebut masih dalam pertimbangan.
Ahmad Samsuri berkata, pihaknya akan meneliti keperluan ADUN lantikan yang berperanan sebagai semak dan imbang dalam pentadbiran negeri itu dalam tempoh terdekat berpandukan kriteria yang ditetapkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
“Kita akan pertimbangkan untuk buat pelantikan (ADUN lantikan) berdasarkan kriteria-kriteria yang ada dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
“Kita tidak menolak ADUN lantikan, malah ketika ini sedang meneliti perkara tersebut dan melihat keperluannya dalam masa terdekat ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penganugerahan Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu 2023 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja.
Katanya, menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, jumlah maksimum ADUN lantikan adalah seramai empat orang berpandukan kepada syarat yang telah ditetapkan.
“Kouta ada sebanyak empat orang dan kena ada syarat-syaratnya, jadi samada satu, dua, tiga atau empat itu kita akan tengok kepada keperluan,” ujarnya.
Sementara itu katanya, kerajaan negeri sentiasa mengambil kira setiap teguran dan kritikan rakyat termasuk aduan kepada mana-mana agensi kerajaan bagi sebarang penambahbaikan.
“Rakyat berperanan sebagai semak dan imbang kerajaan dan bebas menegur sekiranya terdapat kekurangan yang perlu diperbaiki.
” Setiap agensi dan jabatan ada sistem perhubungan masing-masing, sama ada melalui portal, website dan sebagainya yang sedia menerima pandangan , kritikan atau teguran daripada rakyat,” ujarnya.