KUALA TERENGGANU – Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) tidak melepaskan peluang menyaksikan Persembahan TATU Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diadakan semalam.
Persembahan tersebut bersempena dengan sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan KDYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
UAI yang hadir bersama keluarganya itu menerima sorakan yang meriah oleh orang awam yang hadir semalam.
Murabbi sejuta ummah itu juga sempat meluangkan masa bergambar dengan barisan tentera yang membuat persembahan pada malam tersebut.
Beliau yang hadir pada sekitar jam 7.30 malam itu dikawal dengan baik oleh pembantunya walaupun ribuan manusia yang hadir pada malam tersebut.
Dianggarkan seramai 50,000 orang pengunjung yang berada di dalam dan luar Stadium Sultan Ismail, Nasiruddin Shah semalam.
Orang ramai mula membanjiri tapak perkarangan stadium sekitar jam 4.00 petang serta tidak melepaskan peluang melihat pameran-pameran yang disediakan oleh ATM.
Sebanyak 10 persembahan dihidangkan kepada pengunjung dengan aksi luar biasa yang memerlukan kemahiran profesional seperti menunggang motosikal dengan pelbagai gaya.
Selain itu, kawalan anjing perang juga memerlukan kemahiran yang hanya boleh dikawal oleh anggota tertentu sahaja.
Tembakan bunga api yang penuh warna-warni di udara menamatkan persembahan TATU ATM pada malam tersebut.