Home Berita PAS Terengganu

Persembahan TATU ATM pukau 50,000 pengunjung

10
SHARE

KUALA TERENGGANU – Persembahan TATU Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memukau lebih 50,000 penonton di dalam dan luar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) di sini, semalam.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Persembahan berkenaan bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Tuanku.

Turut mengiringi baginda, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan YAM Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra.

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Program yang berlangsung di bandar raya Kuala Terengganu itu bermula pada jam 8.00 malam.

Orang ramai mula membanjiri tapak perkarangan stadium sekitar jam 4.00 petang serta tidak melepaskan peluang melihat pameran-pameran yang disediakan oleh ATM.

Pameran tersebut melibatkan pelbagai aset yang digunakan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti kereta kebal, helikopter dan sebagainya.

Di samping, turut disediakan jualan makanan kepada pengunjung di sepanjang laluan pameran tersebut.

Sebanyak 10 persembahan disediakan kepada pengunjung dengan pelbagai aksi menarik yang dipersembahkan seperti aksi motosikal oleh pasukan army red warrior.

Turut mencuri tumpuan pada persembahan tersebut adalah demonstrasi menyelamatkan tebusan 11 rejimen gerak khas.

Persembahan tersebut memukau penonton apabila melibatkan bahan letupan bom dan senjata api.

Program yang berakhir pada pukul 12 malam itu berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang meriah oleh para penonton yang hadir.