KUALA TERENGGANU – Langkah empat negeri menubuhkan ‘State-Government 4 (SG4)’ merupakan satu langkah pembaharuan yang berani dan dianggap luar biasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, usaha merupakan satu inovasi gandaan ekonomi, pelaburan dan sosioekonomi bagi Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis yang mempunyai tarikan serta keunikan tersendiri.
Tegasnya, agenda itu tidak mempunyai kepentingan politik sebaliknya adalah untuk kebaikan rakyat di setiap negeri ini.
“Timbul kegerunan di peringkat Persekutuan, malah tukang karut kepimpinan tertinggi dalam UMNO yang kini semakin ketandusan idea mula meletakkan propaganda kosong mereka (berkait SG4).
“Apabila kurang maklumat dan tidak tahu apa-apa berhubung SG4 menampakkan kedangkalan UMNO ini tiada langsung jiwa besar untuk ‘move on’ tujuannya adalah untuk kebaikan dan kepentingan di empat negeri dan bukan untuk berpolitik.
“Sebenarnya ia hanya untuk membangunkan empat negeri yang sentiasa dianggap mundur oleh kerajaan Persekutuan,” katanya melalui hantaran di facebooknya, di sini, baru-baru ini.
Ujarnya, SG4 akan menjadi titik permulaan merubah persepsi dangkal yang mana negeri yang ditadbir 100 peratus Melayu adalah mundur.
“Malahan ada cuba-cubaan untuk melagakan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, SG4 adalah satu gerakan murni di bawah PN, di samping mengambil kesempatan mencedok pemikiran unggul Tun Dr Mahathir Mohamad dan kumpulan pemikirnya dari dalam negara dan luar negara,” katanya.