Minda Presiden PAS
[Bil: 81 / 2023]
AL-QURAN TIDAK BOLEH DITAFSIR SEWENANG-WENANG
Al-Quran itu Kalam Allah (Kata-kata-Nya) yang tidak mampu dicipta sepertinya oleh manusia dan makhluk yang lain, baik dari segi susunan kata-kata bahasa dan juga ilmunya. Al-Quran ialah mukjizat (perkara luar biasa) besar yang berkekalan dan menjadi tanda kenabian yang diberikan kepada setiap orang nabi yang dilantik menjadi rasul.
Mukjizat rasul terdahulu hanya cerita sejarah yang tidak ada lagi selepas kewafatan rasul yang dikurniakan oleh Allah mukjizat itu. Adapun mukjizat al-Quran berterusan dan berkekalan kerana sifat ilmu dan petunjuknya.
Al-Quran ialah mukjizat khusus kepada Nabi Muhammad SAW yang menjadi nabi dan rasul akhir zaman yang telah disebutkan sebelumnya dalam kitab suci semua agama terdahulu. Firman Allah SWT:
﴿ٱلَّذِينَ ءَاتَيۡنَٰهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ يَعۡرِفُونَهُۥ كَمَا يَعۡرِفُونَ أَبۡنَآءَهُمۡۖ وَإِنَّ فَرِيقٗا مِّنۡهُمۡ لَيَكۡتُمُونَ ٱلۡحَقَّ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ١٤٦﴾
“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami berikan kepada mereka al-Kitab (pada zaman dahulu) mengenali Muhammad seperti mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya, sebahagian antara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 146]
Al-Quran ialah mukjizat ilmu, sama ada ilmu agama ataupun semua ilmu dunia seperti ilmu akal, ilmu pengalaman, dan termasuk ilmu kajian yang berterusan sepanjang zaman.
Allah mencabar mereka yang ragu-ragu terhadap al-Quran yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW melalui firman-Nya:
﴿وَإِن كُنتُمۡ فِي رَيۡبٖ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُواْ بِسُورَةٖ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُواْ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ٢٣ فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ وَلَن تَفۡعَلُواْ فَٱتَّقُواْ ٱلنَّارَ ٱلَّتِي وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُۖ أُعِدَّتۡ لِلۡكَٰفِرِينَ٢٤﴾
“Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surah (sahaja) yang semisal al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. (23) Maka, jika kamu tidak dapat membuatnya (satu surah) – dan pasti kamu tidak akan dapat membuatnya, peliharalah dirimu daripada Neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada kalangan manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir. (24)” [Surah al-Baqarah: 23–24]
Maka, al-Quran tidak boleh diterjemahkan dan ditafsirkan sewenang-wenangnya tanpa ilmu yang berkait dengannya. Sabda Rasulullah SAW:
مَنْ قَالَ فِي القُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ.
“Sesiapa yang bercakap dengan al-Quran tanpa ilmu, maka dia menyediakan tempatnya di dalam Neraka.” [Al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab Tafsir al-Qur’an, No. 2950, dan al-Nasa’i, al-Sunan al-Kubra, Kitab Fada’il al-Qur’an, No. 8030, daripada Ibn ‘Abbas]
Hadis ini ditujukan kepada semua, sama ada penganut Islam ataupun bukan Islam yang mengkaji al-Quran. Mereka diwajibkan mengikuti ilmu dan disiplinnya.
Al-Quran ialah mukjizat ilmu dari segi lafaz bahasanya sehinggalah isi kandungannya. Maka, al-Quran tidak boleh ditafsirkan sewenang-wenangnya.
Pentafsiran al-Quran mestilah menepati bahasa Arab yang betul dan fasih, melalui ilmu bahasa Arab dalam segala cabangnya: Nahu, Saraf, Balaghah dan Adab ‘Arabi (sastera Arab), di samping semua ilmu berkenaan al-Quran (Usul al-Tafsir) yang berkait dengan Asbab al-Nuzul (sebab turunnya ayat) dan Qiraat (bacaan) yang diriwayatkan dengan sahih serta situasi masyarakat yang umum dan berbeza, Nasikh dan Mansukh, ilmu Usul al-Fiqh, dan lain-lain.
Ada ayat-ayat al-Quran yang ditafsirkan oleh al-Quran sendiri, ditafsirkan oleh hadis Rasulullah SAW yang menerima wahyu, serta ditafsirkan oleh para ulama’ sahabat RA sebagai generasi awal yang menyaksikan sebab turun ayat dan pelaksanaannya oleh Rasulullah SAW yang menjadi teladan. Bahkan, juga ditafsirkan oleh ulama’ berikutnya yang mendalami ilmu al-Quran dan bahasanya.
Para ulama’ tidak habis menggali ilmu daripada al-Quran yang menjadi petunjuk sepanjang zaman, sehingga merasa lemah kerana keluasan ilmunya laksana lautan yang tidak bertepi. Al-Quran merangkumi kesempurnaannya kepada seluruh manusia pada sepanjang zaman serta di setiap tempat dalam semua situasi dan realiti, kerana datangnya daripada Ilmu Allah Pencipta alam. Maka, mereka yang jahil dan kafir tanpa ilmu alatnya tidak mampu memahami dengan betul.
Di sana, terdapat para orientalis yang mengkaji al-Quran mengikut disiplin ilmunya dan ramai yang memeluk Islam. Di sana juga, ada yang mencuba untuk menjadikan tujuannya bagi menentang Islam dengan menimbulkan kekeliruan kerana salah fahamnya dan ada yang sengaja mencetuskan keraguan, namun semuanya dapat dikalahkan dengan hujah yang benar oleh para ulama’ yang berwibawa.
Ahli sejarah apabila mengkaji cerita terdahulu menemui kebenarannya, walaupun tidak dicatat tarikh berlakunya peristiwa itu kerana tujuan al-Quran ialah menjadi petunjuk, bukannya sekadar cerita.
Ada para saintis dalam lapangan masing-masing yang mengkaji ayat berkenaan ilmunya terpaksa akur akan kebenaran al-Quran. Malah, ada yang menafikan kebenarannya pada awalnya, pada akhirnya menemui jawapan dan terpaksa mengakui bahawa al-Quran adalah benar. Perkara ini membuktikan bahawa semua perkara yang ghaib dan akan datang berlaku yang dinyatakan oleh al-Quran adalah benar.
Penjajah British yang menjajah India pernah mencipta kumpulan Qadiani yang dinamakan Ahmadiyyah di India, menjadi tentera upahannya ke seluruh pelosok dunia Islam bagi memesongkan penganut Islam. Mereka mencipta al-Quran versi mereka dengan mengubah banyak ayat al-Quran atau mentafsirkannya dengan tafsiran yang salah dan tidak sempurna. Pasti terdedah pembohongan mereka itu pada akhirnya.
Antara ayat yang ditafsirkan oleh Qadiani yang sesat ialah ayat 59 Surah al-Nisa’, dengan katanya bahawa Ulu al-Amr (mereka yang berwibawa dalam urusan umat ) ialah penjajah British, raja-raja yang mengikutinya, dan pegawai-pegawainya. Tanpa disedari, al-Quran sendiri mentafsirkan ayat tersebut. Firman Allah SWT:
﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(-Nya), serta ulu al-amr antara kamu! Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [Surah al-Nisa’: 59]
Terang dan nyata bahawa ayat tersebut ditujukan kepada orang-orang yang beriman. Ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah mutlak tanpa dipertikaikan, kerana Allah itu Maha Suci daripada kekurangan dan kelemahan. Para rasul pula dikawal oleh Allah dengan sifat-sifat yang mulia kerana dijadikan contoh kepada seluruh manusia.
Ulu al-Amr yang menjaga urusan umat dari segi ilmu Islam ialah para ulama’ dan yang mentadbir serta melaksanakannya ialah para pemimpin negara dan masyarakat. Kelemahan mereka bergantung kepada keimanannya kepada al-Quran dan ajaran Rasulullah SAW, diikat pula dengan aqidah keimanan kepada Allah dan balasan pada Hari Akhirat yang diimani. Ciri-ciri ini tidak ada pada diri mereka yang tidak beriman.
Maka, Ulu al-Amr itu bukan sembarangan Ulu al-Amr, sehingga Abu Bakar RA yang dilantik sebagai khalifah menegaskan dalam ucapan dasarnya:
أَطِيعُونِي مَا أَطَعْتُ اللَّهَ وَرَسُولَهُ، فَإِذَا عَصَيْتُ اللَّهَ وَرَسُولَهُ، فَلا طَاعَةَ لِي عَلَيْكُمْ.
“Taatilah aku selagi aku mentaati Allah dan Rasul-Nya (al-Quran dan al-Sunnah). Sekiranya aku bermaksiat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka tiada lagi ketaatan kamu untukku.” [Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, Jld. 3, Hlm. 210, dan Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Jld. 9, Hlm. 415]
Ucapan yang sama maksudnya disampaikan oleh para khulafa’ dan para raja Islam yang adil sepanjang zaman. Berkonsepkan Raja Berperlembagaan dalam istilah politik moden, perlembagaan yang menjadikan al-Quran dan al-Sunnah adalah tertinggi. Perkara ini dinyatakan dalam Piagam Madinah:
وَإِنَّهُ مَا كَانَ بَيْنَ أَهْلِ هَذِهِ الصَّحِيفَةِ مِنْ حَدَثٍ أَوِ اشْتِجَارٍ يُخَافُ فَسَادُهُ، فَإِنَّ مَرَدَّهُ إِلَى اللَّهِ وَإِلَى مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ.
“Sesungguhnya, apa-apa perkara yang berlaku dalam kalangan mereka yang terlibat dalam piagam ini yang menimbulkan pertelingkahan dan perbalahan, maka hendaklah dirujuk kepada Allah (al-Quran) dan Muhammad Rasulullah SAW (al-Sunnah).” [Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Jld. 4, Hlm. 558]
Maka, fahaman sekularisme yang membuang kuasa Islam adalah sesat dan membawa bencana pada akhirnya. Maka, Islam dalam Perlembagaan Persekutuan wajib ditafsirkan dengan akal yang merdeka daripada kesesatan yang dibawa oleh penjajah.
Allah SWT memberikan amaran kepada sesiapa dalam kalangan para ulama’ dan pemimpin yang menipu rakyat dengan menggunakan al-Quran melalui firman-Nya:
﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَيَشۡتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلًا أُوْلَـٰٓئِكَ مَا يَأۡكُلُونَ فِي بُطُونِهِمۡ إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ١٧٤ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلضَّلَٰلَةَ بِٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡعَذَابَ بِٱلۡمَغۡفِرَةِۚ فَمَآ أَصۡبَرَهُمۡ عَلَى ٱلنَّارِ١٧٥ ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ نَزَّلَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ ٱخۡتَلَفُواْ فِي ٱلۡكِتَٰبِ لَفِي شِقَاقِۢ بَعِيدٖ١٧٦﴾
“Sesungguhnya, orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang telah diturunkan Allah, iaitu al-Kitab dan menjualnya dengan harga yang sedikit (murah), mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) ke dalam perutnya melainkan api, dan Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada Hari Kiamat dan tidak menyucikan mereka, dan bagi mereka seksa yang amat pedih. (174) Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk dan seksa dengan keampunan. Maka, alangkah beraninya mereka menentang Api Neraka! (175) Yang demikian itu adalah kerana Allah telah menurunkan al-Kitab dengan membawa kebenaran. Dan sesungguhnya, orang-orang yang berselisih tentang (kebenaran) al-Kitab itu, benar-benar dalam penyimpangan yang jauh (dari kebenaran). (176)” [Surah al-Baqarah: 174–176]
Allah mendedahkan perkara yang menjadi iktibar dan amaran, ada kalangan ulama’ pada zaman dahulu yang dipergunakan oleh syaitan menjadi alat yang menggerakkan ulama’ yang mencari kesenangan hidup. Mereka menjadikan diri laksana anjing yang sentiasa kelaparan menjelir lidahnya. Firman Allah SWT:
﴿وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذٰلِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بَِٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ١٧٦ سَآءَ مَثَلًا ٱلۡقَوۡمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بَِٔايَٰتِنَا وَأَنفُسَهُمۡ كَانُواْ يَظۡلِمُونَ١٧٧﴾
“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan darjatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing; jika kamu menghalaunya, dia menghulurkan lidahnya, dan jika kamu membiarkannya, dia menghulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176) Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim. (177)” [Surah al-A‘raf: 175–177]
Al-Quran tetap terpelihara daripada diselewengkan, sehinggalah tidak mampu dihapuskan kerana dipelihara oleh Allah. Firman Allah SWT:
﴿إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ٩﴾
“Sesungguhnya, Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya, Kami benar-benar memeliharanya.” [Surah al-Hijr: 9]
Walaupun al-Quran dibakar hangus serta para ulama dan penganutnya dipenjarakan, dibuang negeri, malah ada yang dibunuh, al-Quran tetap tidak boleh dihapuskan. Hal ini demikian kerana, al-Quran dan ilmunya dipelihara bukan sahaja dalam tulisan, bahkan menjadi hafazan dalam hati sehingga boleh dinyatakan semula.
Kini, kita sedang menyaksikan kebangkitan semula umat Islam di negara bekas komunis yang telah mengharamkan agama khususnya Islam. Di negara Barat yang ekstrem membakar al-Quran, tiba-tiba terdapat dalam kalangan mereka yang mencari al-Quran untuk dikaji secara jujur dan ikhlas kerana ingin mencari kebenaran.
Termasuk mereka yang berpura-pura baik terhadap Islam yang menyimpan dalam hati mereka sifat permusuhan yang jahat dan sangat zalim, firman Allah SWT:
﴿هَـٰٓأَنتُمْ أُوْلَآءِ تُحِبُّونَهُمۡ وَلَا يُحِبُّونَكُمۡ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱلۡكِتَٰبِ كُلِّهِۦ وَإِذَا لَقُوكُمۡ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ عَضُّواْ عَلَيۡكُمُ ٱلۡأَنَامِلَ مِنَ ٱلۡغَيۡظِۚ قُلۡ مُوتُواْ بِغَيۡظِكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ١١٩ إِن تَمۡسَسۡكُمۡ حَسَنَةٞ تَسُؤۡهُمۡ وَإِن تُصِبۡكُمۡ سَيِّئَةٞ يَفۡرَحُواْ بِهَاۖ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ لَا يَضُرُّكُمۡ كَيۡدُهُمۡ شَيًۡٔاۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ١٢٠﴾
“Beginilah kamu, kamu menyukai mereka, padahal mereka tidak menyukai kamu, dan kamu beriman kepada kitab-kitab semuanya. Apabila mereka menjumpai kamu, mereka berkata, ‘Kami beriman,’ dan apabila mereka menyendiri, mereka menggigit hujung jari lantaran marah bercampur benci terhadap kamu. Katakanlah (kepada mereka), ‘Matilah kamu kerana kemarahanmu itu.’ Sesungguhnya, Allah mengetahui segala isi hati. (119) Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu. Sesungguhnya, Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan. (120)” [Surah Ali ‘Imran: 119–120]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 10 Rabi‘ al-Awwal 1445 / 26 September 2023