Home Berita PAS Sabah

Pemuda PAS perlu lebih inklusif

30
SHARE

Oleh : Yusrizal Baco
20 September 2023

TAWAU : Pemuda PAS perlu menjadi lebih inklusif dalam mendepani masyarakat hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Sabah, Sahar Abdul Majid berkata, PAS kini berada di era baharu maka memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam mendekati masyarakat.

“Anak muda khususnya yang berumur 18 tahun mempunyai minat yang pelbagai, maka pemuda dan muslimat seharusnya berstrategi dalam menarik minat mereka kepada PAS.

“Kita perlu pelbagaikan lapisan masyarakat supaya masuk kepada PAS, agar kita mampu membina kekuatan secara berterusan,” katanya sewaktu berucap di Ijtima’ Tarbawi Dewan Pemuda PAS Sabah, di sini Ahad lepas.

Beliau juga berpesan agar ahli PAS seharusnya menjadi seumpama hospital kepada masyarakat, untuk memperbaiki dengan mendekatkan mereka kepada ajaran Islam yang sebenar.

Tambahnya, Ijtima’ Tarbawi menjadi makanan ruhiyyah bagi ahli agar dapat membina kekuatan dalaman untuk terus istiqamah di dalam perjuangan.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Sabah, Hendri Hamsah berkata, Ijtima’ Tarbawi bukan sahaja program tarbiyah semata-mata, tapi juga salah satu cara perkaderan untuk menarik ahli baharu.

“Saya ingin mengingatkan semua bahawa, jika tanpa tarbiyah, PAS tidak akan subur di bumi Sabah.

“Oleh itu, saya menyeru supaya pemuda sentiasa menyokong program tarbiyah, tidak kira di peringkat negeri mahupun kawasan,” katanya lagi.

Lebih 300 orang ahli telah menyertai program yang diadakan selama dua hari satu malam itu.

Turut hadir sama, Naib Presiden PAS Pusat, Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan.