Home Minda Presiden

Aqidah diketepikan dan hilang maruah melakukan apa-apa sahaja

77
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 79 / 2023]
AQIDAH DIKETEPIKAN DAN HILANG MARUAH MELAKUKAN APA-APA SAHAJA


Aqidah dan maruah ialah dua perkara penting dalam kejadian manusia secara tabii, tanpa dipedulikan oleh mereka yang berada di luar tabii.

Al-Quran sebagai kitab mukjizat tetap memberikan jawapan yang sebenar:

  1. Aqidah kepercayaan kepada Tuhan yang Maha Mengetahui dan percaya akan hisab-Nya yang Maha Adil pada Hari Kiamat, mengikut sempadan halal dan haram serta perhitungan dosa dan pahala, sehingga tiada sesiapa yang dapat melepaskan dirinya.
  2. Maruah harga diri manusia yang mulia dengan akal yang sihat, suka akan kebaikan, dan benci akan kejahatan mengikut fitrahnya secara tabii. Manusia memiliki nafsu seperti binatang tetapi berakal, tidak seperti binatang yang tidak berakal. Maka, akalnya yang waras bertindak mengikut sempadan jati diri seseorang.

Al-Quran Kalam Allah menegaskan bahawa aqidah kepercayaan kepada Allah (Tuhan) menjadi fitrah (tabii) manusia. Firman Allah SWT:

﴿وَلَئِن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُۚ قُلِ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِۚ بَلۡ أَكۡثَرُهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ٢٥﴾

“Dan sesungguhnya, jika kamu bertanya kepada mereka, ‘Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?’ Tentu mereka akan menjawab, ‘Allah.’ Katakanlah, ‘Segala puji bagi Allah;’ tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” [Surah Luqman: 25]

Termasuk kalangan ateisme yang tidak percaya kepada Tuhan, apabila mereka terdesak, mereka tetap mencari Tuhan. Firman Allah SWT:

﴿هُوَ ٱلَّذِي يُسَيِّرُكُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِۖ حَتَّىٰٓ إِذَا كُنتُمۡ فِي ٱلۡفُلۡكِ وَجَرَيۡنَ بِهِم بِرِيحٖ طَيِّبَةٖ وَفَرِحُواْ بِهَا جَآءَتۡهَا رِيحٌ عَاصِفٞ وَجَآءَهُمُ ٱلۡمَوۡجُ مِن كُلِّ مَكَانٖ وَظَنُّوٓاْ أَنَّهُمۡ أُحِيطَ بِهِمۡ دَعَوُاْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ لَئِنۡ أَنجَيۡتَنَا مِنۡ هَٰذِهِۦ لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلشَّـٰكِرِينَ٢٢﴾

“Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan, (berlayar) di lautan. Sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan meluncurlah bahtera itu membawa orang-orang yang ada di dalamnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka bergembira kerananya, datanglah angin badai, dan (apabila) gelombang dari segenap penjuru menimpanya, dan mereka yakin bahawa mereka telah terkepung (bahaya), maka mereka berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya semata-mata. (Mereka berkata), ‘Sesungguhnya, jika Engkau menyelamatkan kami daripada bahaya ini, pastilah kami akan termasuk orang-orang yang bersyukur.’” [Surah Yunus: 22]

Lebih-lebih lagi kalau berada di atas pesawat udara yang menghadapi bahaya dan tiada pergantungan langsung, keadaan lebih cepat menggerakkan fitrah mereka mencari penyelamat dan meminta Tuhan menyelamatkan mereka daripada bahaya yang mendatang.

Fahaman tidak percaya kepada adanya Tuhan adalah di luar tabii yang tidak boleh dianggap sifat manusia yang sebenar, bahkan melanggar sifar sebagai makhluk. Firman Allah SWT:

﴿أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ٨٣﴾

“Maka, apakah mereka mencari agama yang lain daripada agama Allah, padahal kepada-Nyalah menyerahkan diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa, dan hanya kepada Allah jua mereka dikembalikan.” [Surah Ali ‘Imran: 83]

Adapun maruah pula ialah perasaan penghormatan harga diri yang membezakan manusia dengan binatang yang tidak ada nilai moral dan akal, hanya nafsu semata-mata. Maruah menyebabkan manusia itu mempunyai rasa aib dan hina diri apabila terdedah melakukan kejahatan ketika tidak dapat mengawal nafsunya, kemudian datang perasaan malu dan penyesalan. Inilah kurnia Allah kepada manusia. Firman Allah SWT:

﴿۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا٧٠﴾

“Dan sesungguhnya, telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” [Surah al-Isra’: 70]

Firman Allah SWT:

﴿وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ٣٠﴾

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’” [Surah al-Baqarah: 30]

Manusia pula berbeza dengan para malaikat yang suci dan mulia serta langsung tidak bernafsu, mereka hanya taat semata-mata kepada Allah. Firman Allah SWT:

﴿أَوَ لَمۡ يَرَوۡاْ إِلَىٰ مَا خَلَقَ ٱللَّهُ مِن شَيۡءٖ يَتَفَيَّؤُاْ ظِلَٰلُهُۥ عَنِ ٱلۡيَمِينِ وَٱلشَّمَآئِلِ سُجَّدٗا لِّلَّهِ وَهُمۡ دَٰخِرُونَ ٤٨ وَلِلَّهِۤ يَسۡجُدُۤ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِي ٱلۡأَرۡضِ مِن دَآبَّةٖ وَٱلۡمَلَـٰٓئِكَةِ وَهُمۡ لَا يَسۡتَكۡبِرُونَ ٤٩ يَخَافُونَ رَبَّهُم مِّن فَوۡقِهِمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ۩٥٠﴾

“Dan apakah mereka tidak memerhatikan segala sesuatu yang telah diciptakan Allah yang bayangannya berbolak-balik ke kanan dan ke kiri dalam keadaan sujud kepada Allah, sedang mereka merendah diri? (48) Dan kepada Allah sahajalah bersujud segala apa yang berada di langit dan semua makhluk yang melata di bumi dan (juga) para malaikat, sedang mereka (malaikat) tidak menyombongkan diri. (49) Mereka takut kepada Tuhan mereka yang di atas mereka dan melaksanakan apa-apa yang diperintahkan (kepada mereka). (50)” [Surah al-Nahl: 48–50]

Manusia dimuliakan oleh Allah dengan aqidah beragama dan bermaruah diri, bersama akal, hidayah, dan ilmunya. Diletakkan pada dirinya pula pancaindera melalui anggota pada jasadnya yang dapat melihat, mendengar, dan berfikir.

Maka, manusia yang hilang maruahnya juga berada di luar tabii daripada asal kejadiannya yang sebenar yang tidak boleh dimasukkan dalam perhitungan yang betul.

Seseorang manusia itu melakukan apa-apa sahaja kejahatan, maksiat, dan kemungkaran apabila aqidah kepercayaan kepada Allah diketepikan dan apabila maruah diri tidak ada lagi. Perasaan malunya juga hilang sehingga boleh melakukan apa-apa sahaja dengan rasa tidak bersalah. Firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُولَـٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ١٧٩﴾

“Dan sesungguhnya, Kami jadikan untuk (isi Neraka Jahanam) kebanyakan daripada jin dan manusia; mereka mempunyai hati (tetapi) tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah), mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Surah al-A‘raf: 179]

Oleh kerana manusia itu mempunyai akalnya dan tidak seperti binatang yang tidak berakal, maka apabila manusia melakukan kejahatan mengikut nafsunya, jadilah dirinya lebih hina daripada binatang yang tidak berakal. Manusia bersama nafsunya melakukan semua perkara tanpa mengira baik dan jahat serta menjadi lebih jahat daripada binatang yang tidak berakal.

Kini, manusia sedang menghadapi krisis nilai yang paling parah dari bawah sehingga atas, apabila urusan kehidupan dan kemasyarakatan seperti politik, ekonomi, dan segala pengurusannya dipisahkan daripada agama. Maka, perhitungan dosa dan pahala dalam urusan ibadat sahaja. Adapun urusan keduniaan tidak ada penilaian dosa dan pahala seperti rasuah, salah laku, dan segala bentuk kezaliman terhadap rakyat dalam urusan dunia.

Walaupun ada undang-undang, tetapi tidak mempunyai rohnya, menjadikan undang-undang laksana sarang labah-labah yang menangkap serangga yang halus, boleh dirempuh burung yang besar.

Ditambah pula menjadikan mereka yang tidak ada maruah kerana takbur, lebih rakus daripada binatang yang bernafsu tanpa akal. Akalnya digunakan pula untuk kejahatan yang lebih melampau daripada binatang yang tidak berakal.

Keadaan tersebut menjadikan rompakan, pencurian, dan rasuahnya lebih besar berkali ganda. Gandaannya lebih berlipat kali sekiranya orang yang berkuasa dilantik menjadi pemimpin negara apabila menjadikan dirinya mengatasi tindakan undang-undang, sehingga melakukan pembohongan dan bersumpah pula dengan nama Allah.

Rasulullah SAW sebelum kewafatannya, tampil ke masjid dalam keadaan uzur setelah solat untuk menyampaikan ucapan bagi membersihkan dirinya di hadapan para jemaah, walaupun Baginda SAW seorang yang bersifat maksum (terpelihara daripada dosa). Baginda antara lain menegaskan:

أَلَا ‌فَمَنْ ‌كُنْتُ ‌جَلَدْتُ ‌لَهُ ‌ظَهْرًا فَهَذَا ظَهْرِي فَلْيَسْتَقِدْ، وَمَنْ كُنْتُ أَخَذْتُ لَهُ مَالًا فَهَذَا مَالِي فَلْيَأْخُذْ مِنْهُ، وَمَنْ كُنْتُ شَتَمْتُ لَهُ عِرْضًا فَهَذَا عِرْضِي فَلْيَسْتَقِدْ.

“Ketahuilah, sesiapa yang pernah aku memukul belakangnya, maka inilah belakangku, silalah balasnya. Sesiapa yang pernah aku mengambil hartanya, maka inilah hartaku, silalah ambil gantinya. Dan sesiapa yang pernah aku menghina maruahnya, maka inilah diriku, silalah balasnya.” [Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Jld. 8, Hlm. 44 dan al-Bayhaqi, Dala’il al-Nubuwwah, Jld. 7, Hlm. 179]

Rasulullah SAW menunjukkan jiwanya yang besar, paling kuat aqidahnya, dan paling tinggi maruahnya.

Begitulah juga para khalifah dan para raja Islam yang mengikuti teladan Baginda Nabi SAW bersikap terbuka dan sedia dihukum di alam dunia kerana mengelak daripada dibicarakan di alam akhirat. Kepercayaan mereka bahawa dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) secara salah tidak boleh membebaskan mereka di mahkamah Allah pada Hari Akhirat.

Islam menegaskan konsep keadilan yang tegas dan adil, bahawa seseorang yang dituduh tidak dianggap bersalah selagi belum dibuktikan. Pembebasan seseorang berlaku setelah selesai proses kehakiman yang adil, bukan diberhentikan sebelum selesai prosesnya dengan cara yang tidak beraqidah dan tidak bermaruah.

Seseorang yang tidak bersalah serta beraqidah dan bermaruah berani berhadapan dengan proses kehakiman secara sempurna, bukan melarikan diri dengan cara yang tidak bermaruah.

Seseorang yang benar-benar beriman dan bermaruah, kalau bersalah, dia rela dihukum di dunia. Kalau tidak, nanti akan dihukum pada Hari Akhirat oleh Allah yang Maha Mengetahui yang tetap mengadili dengan proses kehakiman-Nya. Firman Allah SWT:

﴿ٱلۡيَوۡمَ نَخۡتِمُ عَلَىٰٓ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَتُكَلِّمُنَآ أَيۡدِيهِمۡ وَتَشۡهَدُ أَرۡجُلُهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ٦٥﴾

“Pada hari ini, Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa-apa yang dahulu mereka usahakan.” [Surah Yasin: 65]

Adapun DNAA di alam dunia sekadar cerita hukuman Firaun yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿قَالُواْ لَن نُّؤۡثِرَكَ عَلَىٰ مَا جَآءَنَا مِنَ ٱلۡبَيِّنَٰتِ وَٱلَّذِي فَطَرَنَاۖ فَٱقۡضِ مَآ أَنتَ قَاضٍۖ إِنَّمَا تَقۡضِي هَٰذِهِ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَآ٧٢﴾

“Mereka berkata, ‘Kami sekali-kali tidak akan mengutamakan kamu daripada bukti-bukti yang nyata (mukjizat), yang telah datang kepada kami dan daripada Tuhan yang telah menciptakan kami. Maka, putuskanlah apa yang hendak kamu putuskan. Sesungguhnya, kamu hanya akan dapat memutuskan dalam kehidupan di dunia ini sahaja.’” [Surah Taha: 72]

Mereka yang lumpuh aqidahnya dan tiada maruahnya boleh melakukan apa-apa sahaja tanpa rasa takut dan malu di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:

﴿قُلۡ هَلۡ نُنَبِّئُكُم بِٱلۡأَخۡسَرِينَ أَعۡمَٰلًا١٠٣ ٱلَّذِينَ ضَلَّ سَعۡيُهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَهُمۡ يَحۡسَبُونَ أَنَّهُمۡ يُحۡسِنُونَ صُنۡعًا١٠٤ أُولَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِـَٔايَٰتِ رَبِّهِمۡ وَلِقَآئِهِۦ فَحَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فَلَا نُقِيمُ لَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَزۡنٗا١٠٥ ذَٰلِكَ جَزَآؤُهُمۡ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُواْ وَٱتَّخَذُوٓاْ ءَايَٰتِي وَرُسُلِي هُزُوًا١٠٦﴾

“Katakanlah, ‘Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?’ (103) Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya. (104) Mereka itu orang-orang yang telah kufur terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan (kufur terhadap) perjumpaan dengan Dia, maka hapuslah amalan-amalan mereka, dan Kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi (amalan) mereka pada Hari Kiamat. (105) Demikianlah balasan mereka itu Neraka Jahanam, disebabkan kekafiran mereka dan disebabkan mereka menjadikan ayat-ayat-Ku dan rasul-rasul-Ku sebagai olok-olok. (106)[Surah al-Kahfi: 103–106]

Maka, Islam mengharamkan para hakim yang arif dan bijaksana diperlakukan seperti robot atau lampu isyarat jalan raya yang dinyalakan lampu hijaunya untuk membebaskan laluannya, tanpa diketahui bilakah lampu merahnya dinyalakan atau jalannya ditutup.

Jika mereka bertanya, dari mana sumber ilmu kamu? Jawabnya, daripada al-Quran dan hikmah Rasulullah SAW serta para ilmuwan yang berpandu kepadanya.

Akhirnya, renungilah firman Allah SWT:

﴿وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ لِكُلّٖ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةٗ وَمِنۡهَاجٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ وَلَٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ٤٨ وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ٤٩ أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ٥٠﴾

“Dan Kami telah turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa-apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan untuk memelihara kitab-kitab yang lain itu. Maka, putuskanlah hukum antara mereka menurut apa-apa yang telah Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (sahaja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah jua kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu. (48) Dan hendaklah kamu memutuskan perkara antara mereka menurut apa-apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa-apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (daripada hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya, Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa mereka. Dan sesungguhnya, kebanyakan manusia ialah orang-orang yang fasiq. (49) Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin? (50)” [Surah al-Ma’idah: 48–50]

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 3 Rabiul Awwal 1445 / 18 September 2023