Minda Presiden PAS
[Bil: 75 / 2023]
ISLAM DAN PEMBAHAGIAN KUASA
Pembahagian kuasa atau dalam bahasa Inggeris dipanggil “separation of powers” merupakan satu doktrin dalam pemerintahan demokrasi yang membahagikan urusan dalam negara kepada tiga cabang utama iaitu pemerintah (eksekutif), perundangan (legislatif), dan kehakiman (judisiari).
Islam mendahului beberapa abad dalam pelaksanaan konsep pembahagian kuasa ini dan telah mempengaruhi sistem kehakiman negara Barat yang mengamalkan sistem demokrasi melalui pengkajian golongan orientalis daripada tamadun Islam.
Pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW terhadap diri Baginda sendiri, apabila Baginda membeli seekor kuda daripada seorang A‘rabi (Badwi). Setelah mereka bersetuju dengan harga kuda itu, hanya Baginda belum menjelaskan bayarannya kerana berlaku hal yang lain, tiba-tiba si Badwi itu mempelawa kepada sesiapa sahaja untuk membelinya dengan harga yang lebih mahal dan ada pula yang mahu membelinya.
Apabila Rasulullah SAW memanggil untuk membayarnya, tiba-tiba si Badwi itu tegas mahu menjual kepada orang lain dengan tawaran harga yang lebih mahal.
Mengikut hukum Islam, bahawa Rasulullah SAW yang berhak menjelaskan bayarannya kerana jual beli itu masih berada dalam majlis yang belum berpisah (khiyar majlis). Namun, si Badwi itu tetap meminta untuk dibicarakan dengan membawa saksi dan Rasulullah SAW perlu menunjukkan saksinya.
Khuzaimah bin Thabit RA lalu tampil menjadi saksi di samping ramai lagi saksi daripada kalangan sahabat yang lain. Akhirnya, si Badwi bersetuju menyerahkan kuda itu kepada Rasulullah SAW. [Kisah ini diriwayatkan oleh Abu Dawud, No. 3607, al-Nasa’i Dalam al-Sunan al-Kubra, No. 6098 dan Ahmad, No. 21883 daripada ‘Umarah bin Khuzaimah]
Di sini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sebagai seorang rasul yang dilantik oleh Allah SWT mengatasi jawatan segala raja dan pemimpin negara, tidak menggunakan kedudukan Baginda untuk mempengaruhi sistem kehakiman yang mewajibkan keadilan Islam kepada semua.
Seterusnya, berlaku pula kepada khalifah keempat Khulafa’ al-Rasyidin, Khalifah ‘Ali KW yang sedang berjalan di pasar pada suatu hari, tiba-tiba beliau melihat baju perisai kepunyaannya yang hilang hendak dijual oleh seorang bukan Islam (Ahli Kitab) di pasar itu. Lalu beliau mengambilnya dan mengaku baju perisai itu ialah kepunyaannya yang hilang, namun si penjual itu menegaskan bahawa baju perisai itu merupakan miliknya.
Akhirnya, kes itu dibawa ke hadapan Hakim Syuraih al-Kindi untuk dibicarakan. Syuraih meminta saksi daripada Khalifah ‘Ali RA. Apabila Khalifah ‘Ali RA tidak dapat mengadakan saksi yang diterima, maka Hakim Syuraih menyerahkan baju perisai itu kepada yang dituduh untuk mengambilnya.
Tiba-tiba, si penjual yang dituduh itu berkata:
أَمَّا أَنَا فَأَشْهَدُ أنَّ هَذِهِ أَحْكَامُ الأَنْبِيَاءِ، أَمِيْرُ الْمُؤمِنِيْنَ يُدْنيني إِلَى قَاضِيْهِ يَقْضِيْ عَلَيْهِ. أَشْهَدُ أَنْ لَا إلَهَ إلَا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الدِّرْعُ وَاللهِ دِرْعُكَ يَا أَمِيْرَ الْمُؤْمِنِينَ اتَّبَعْتُ الجَيْشَ وَأَنْتَ مُنْطَلِقٌ إِلَى صِفِينَ.
“Sesungguhnya, aku bersaksi bahawa inilah kehakiman para anbiya’ yang adil kerana seorang Amir al-Mu’minin (ketua negara yang berkuasa) mengadukan masalah ini kepada hakim untuk menghakiminya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu hamba dan pesuruh-Nya. Dan demi Allah baju perisai ini sememangnya kepunyaanmu, wahai Amir al-Mu’minin! Aku mengambilnya ketika ia terjatuh dari unta apabila kamu wahai Khalifah mahu berangkat ke Siffin.” [Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Jld. 8, Hlm. 5]
Kemudian, si ahli Kitab itu terus menyerahkan baju perisai tersebut kepada Khalifah ‘Ali RA, lalu beliau mengucapkan dua kalimah syahadah dan menganut Islam.
Khalifah ‘Ali RA pula menghadiahkan perisai itu kepada Ahli Kitab itu dan beliau menjadi seorang pejuang Islam yang berjihad dengan ikhlas.
Selanjutnya, berlaku pula pada zaman Sultan Muhammad al-Fatih yang memerintah Kerajaan ‘Uthmaniyyah, yang disebut dalam hadis bahawa baginda ialah sebaik-baik sultan yang membebaskan kota Konstantinopel (ditukar nama kepada Istanbul).
Baginda Sultan Muhammad menugaskan seorang arkitek berbangsa Rom (bukan Islam) kerana kemahirannya agar membina sebuah masjid yang besar dan indah bertiangkan marmar mengikut ketinggian yang telah ditetapkan.
Tiba-tiba, masjid yang dibina itu tidak mengikut arahan baginda, menyebabkan sultan sangat murka lalu arkitek itu dipotong tangannya. Namun, selepas itu, sultan sangat menyesal atas tindakannya yang zalim itu.
Adapun arkitek itu membuat pengaduan kepada hakim Istanbul yang terkenal ketegasannya, Syeikh Sori Khadir Jalabi.
Hakim membuat keputusan bahawa sultan hendaklah dijatuhkan hukuman qisas dipotong tangannya atau membayar diat (wang dengan jumlah yang dihadkan) cara hukumannya mengikut pilihan pendakwa.
Tiba-tiba, orang yang mendakwa tercengang dengan keputusan hakim lalu memilih hukuman bayaran sara hidup kepadanya. Kemudian, Sultan Muhammad al-Fatih menggandakan bayaran sara hidupnya lebih daripada keputusan hakim. [Kisah ini ada dinyatakan oleh Urkhan Muhammad ‘Ali dalam karyanya, Rawai‘ Min al-Tarikh al-‘Uthmaniy, Halaman 49-51]
Semua cerita tersebut diriwayatkan dengan benar yang menunjukkan betapa Islam mendahului negara demokrasi Barat dalam melaksanakan konsep pembahagian kuasa dan menegakkan keadilan kepada semua, termasuk terhadap bukan Islam kerana perintah Allah yang mengatasi undang-undang ciptaan manusia.
Firman Allah SWT:
﴿إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨﴾
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menunaikan segala amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]
Firman Allah SWT:
﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ٨﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil! Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa, dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]
Negara demokrasi Barat yang menjajah dan menakluki negara Islam banyak mengambil kitab karangan para ulama’ Islam dalam segala lapangan ilmu, termasuk dalam lapangan pentadbiran dan kehakiman sehingga ilmu yang terkandung dalam kitab-kitab itu telah mempengaruhi mereka. Akan tetapi, mereka memisahkan urusan pentadbiran dan kehakiman itu daripada agama. Namun, pengaruhnya tetap membawa pembaharuan kepada mereka.
Kita menyaksikan pada abad yang lalu, mahkamah di Amerika Syarikat menjatuhkan hukuman pelucutan jawatan Presiden Richard Nixon kerana skandal Watergate yang terkenal. Di England pula, ada paksaan terhadap Perdana Menteri bagi meletakkan jawatan. Semuanya adalah disebabkan pengaruh Islam dalam undang-undang Barat.
Rasulullah SAW memberikan amaran kepada para hakim dengan sabdanya:
القُضَاةُ ثَلَاثَةٌ: قَاضِيَانِ فِي النَّارِ، وَقَاضٍ فِي الجَنَّةِ، رَجُلٌ قَضَى بِغَيْرِ الحَقِّ فَعَلِمَ ذَاكَ فَذَاكَ فِي النَّارِ، وَقَاضٍ لَا يَعْلَمُ فَأَهْلَكَ حُقُوقَ النَّاسِ فَهُوَ فِي النَّارِ، وَقَاضٍ قَضَى بِالحَقِّ فَذَلِكَ فِي الجَنَّةِ.
“Para hakim itu ada tiga jenis; dua jenis berada di dalam neraka dan satu jenis berada di dalam syurga. Seseorang yang menghukum secara salah walaupun dia mengetahui perkara yang benar, maka dia berada di dalam neraka. Seseorang yang jahil yang merosakkan hak manusia dengan kejahilannya, maka dia berada di dalam neraka juga. Dan seseorang yang menghukum secara benar, maka dia berada di dalam syurga.” [Riwayat Abu Dawud, No. 3573, al-Tirmizi, No. 1322, al-Nasa’i, No. 5891, dan Ibn Majah, No. 2315, daripada Buraydah. Lafaz bagi al-Tirmizi]
Sangat malang dan memalukan bagi pemimpin dan umat Islam yang ditimpa bencana kehakiman yang tidak mengikut Islam yang merupakan agamanya sendiri. Keadaan ini menunjukkan betapa penjajahan pemikiran masih lagi bertapak dan perjuangan kemerdekaan masih belum selesai.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 21 Safar 1445 / 7 September 2023