Oleh : NurAsilah Noor
TELUK INTAN,6 September : Jabatan As-Sabiqat Muslimat Teluk Intan telah menziarahi sahabat as-Sabiqat yang diserang ‘minor strok’ di kediamannya di Kampung Padang Tembak di sini, baru-baru ini.
Fuziah Dahari merupakan mantan Ahli jawatan kuasa Muslimat Kawasan yang memegang portfolio Lajnah Ekonomi sangat komited dalam tugasnya.
Beliau juga adalah seorang guru Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI) Ibnu Sina, Kampung Padang Tembak yang telah berkhidmat selama hampir 20 tahun menamatkan perkhidmatannya beberapa tahun lepas akibat penyakit darah tinggi yang dihidapinya.
Kejadian berlaku ketika ingin berwuduk menunaikan solat fardu Maghrib. Beliau jatuh terduduk dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan selanjutnya.
“Setelah usia makin meningkat pelbagai ujian kesihatan menjengah kehidupan kita. Sokongan keluarga, sahabat dan masyarakat setempat akan memberi semangat dan aura positif dalam meneruskan kehidupan,” kata Jawatankuasa As-Sabiqat, Hamidah Alang Hamzah ketika menyampaikan sumbangan petang tersebut.
Sumbangan berbentuk barangan keperluan harian, ubat-ubatan serta saguhati kewangan diharap dapat memberi kegembiraan serta mengeratkan kemesraan dalam mengharungi ujian.
Turut hadir, Timbalan Ketua Muslimat, merangkap Ketua Jawatankuasa Muslimat Cawangan Padang Tembak, Hamisah Abas, Setiausaha Muslimat, Saadah Abas serta ahli jawatankuasa yang lain.