Home Berita PAS Terengganu

Bahaya Pluralisme dan Liberalisme agama

78
SHARE

KUALA TERENGGANU – Ancaman Pluralisme dan Liberalisme agama lebih bahaya berbanding ajaran sesat kerana serangannya tidak jelas dan terselindung daripada pengetahuan umum.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ancaman dua fahaman itu mengelirukan dan menyerang pemikiran umat Islam khususnya golongan belia pada masa ini.

“Dua fahaman itu sukar dijelaskan di samping umat Islam sendiri terutama masyarakat awam tidak menyedari kehadirannya sehingga setiap pintu rumah orang Islam dimasuki dua fahaman tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam siri lawatan kerja di Jabatan Mufti, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di Kompleks Seri Iman dan Jabatan Kehakiman Syariah di Kompleks Mahkamah Syariah Terengganu di sini semalam.

Turut serta dalam lawatan tersebut, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Ustaz Ridzuan Hashim, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Harun Esa dan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ustaz Mohd Zulkhairi Ngah.

Dr Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk juga berkata, umat Islam hari ini menghadapi cabaran tersebut, kerana ia dengan mudah masuk ke rumah orang tanpa disedari.

“Menjadi tanggungjawab semua pihak agar menyekat umat Islam dari terpengaruh dengan ajaran tersebut dengan memberi kefahaman yang betul tentang Islam kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini,” ujarnya.