Home Berita PAS Terengganu

Warga emas tetap bersemangat berarak sambut merdeka

9
SHARE

KUALA TERENGGANU – Menjangkau usia 64 hingga 85 bukan penghalang untuk Geng Surau Padang Luar, mengambil inisiatif tersendiri menyambut kemerdekaan negara.

Penyelaras Program, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, kalangan peserta terdiri daripada pesara kerajaan termasuk guru semuanya bersemangat menzahirkan perasaan penuh cinta kepada negara.

“Walaupun ada yang uzur mereka tetap hadir namun mereka tidak sama-sama berarak seperti yang lain hanya berada di surau.

“Tujuan kami adalah untuk menyemarakkan semangat dan mengimbau kembali erti kemerdekaan sebenarnya dalam konteks negara Malaysia, dimana inilah dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu yang perlu dipelihara dan dipertahankan,” ujarnya ketika dihubungi, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut katanya, pesanan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar agar jangan ada kalangan rakyat yang bermuka Melayu tetapi memiliki jiwa penjajah bagi memastikan negara ini terus harmoni bagi diwariskan dari satu generasi kepada generasi yang lain.

“Kenangilah jerit perih orang dahulu berjuang, ada yang terkorban kerana sanggup bergadai nyawa menentang penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.

“Tidak boleh dipadamkan daripada sejarah bahawa ulama, tok guru dan orang-orang alim yang ‘istiqamah’ memperjuangkan kemerdekaan demi menjaga agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya.

Caption

Dalam pada itu katanya, generasi hari ini perlu insaf dan sedar bahawa kemerdekaan sebenar adalah memiliki keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT agar menyedari peranan sebenar berada di dunia ini.

“Kemerdekaan sebenar adalah menjadi khalifah di atas muka bumi ini dan menyeru manusia untuk menyembah Allah SWT Tuhan yang Maha Esa dan tiada sekutu dengan-Nya,” ujarnya lagi.