KUALA TERENGGANU – Orang ramai digalakkan membudayakan setiap hari Jumaat sebagai Hari Ilmu serta meningkatkan rasa cintakan ilmu yang menjadi tonggak kepada pembangunan ketamadunan dan modal insan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata semenjak PAS mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri, Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengisytiharkan hari Jumaat sebagai Hari Ilmu bermula tahun 2019.
“Pengisytiharan ini juga mampu mewujudkan insan kualiti dan mengoptimumkan pengupayaan sumber manusia sebagaimana yang tertera dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030).
“Oleh itu, marilah kita sama-sama membudayakan saranan Menteri Besar ini dengan menanamkan dalam diri kita dengan menterjemahkannya dengan mengikuti kuliah atau pengajian ilmu mahupun aktiviti-aktiviti seumpamanya yang berteraskan ilmu,” katanya dalam satu hantaran di laman facebooknya hari ini.
Tambah Dr. Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, orang ramai digalakkan untuk “membuka” Hari Ilmu pada Jumaat yang mulia ini dengan menghadiri Kuliah Dhuha di Masjid Rusila.
“Walaupun ia boleh diikuti secara maya namun terdapat kelebihan mahupun fadhilat kepada yang menghadirinya,” jelasnya.