Home Berita PAS Terengganu

Lebih 50,000 rakyat sertai Himpunan Bicara Murabbi Ummah

24
SHARE

KUALA TERENGGANU – Dianggarkan lebih 50,000 pengunjung hadir ke Himpunan Bicara Murabbi Ummah Terengganu Sejahtera yang dianjurkan kerajaan negeri semalam.

Menjadi antara program terawal diadakan selepas pembentukan kerajaan yang baru dilantik, himpunan berkenaan merupakan antara manifestasi kepimpinan negeri kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kehadiran lautan manusia di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu menyaksikan kecintaan rakyat negeri tersebut kepada alim ulama, kepada majlis-majlis ilmu, kepada perjuangan untuk mendaulat syariat islam yang menyeluruh di bumi Darul Iman.

“Program malam ini diadakan bersempena Hari Kemerdekaan, satu platform yang sangat penting untuk kita menunjukkan kecintaan kita kepada negara, agama dan golongan yang mendukung agenda islam dalam negara.

“Himpunan malam ini, tidak lain adalah manifestasi kepimpinan kerajaan negeri yang baru sahaja dibentuk di mana misinya sudah tentu bagi menonjolkan seriusnya urus tadbir kerajaan negeri dan agensi-agensi kerajaan yang menumpukan gabungan antara pembangunan manusiawi dan pembentukan modal insan secara holistik,” katanya ketika berucap mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum merasmikan program itu, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat, terutama golongan muda yang mengekalkan PAS sebagai pentadbir negeri Terengganu.

Beliau menambah, usaha yang dilakukan hanyalah sedikit dan sangat kecil disebalik kurniaan dari Allah SWT atas kemenangan tersebut.

“Saya bergembira menerima kejayaan anugerah dari Allah SWT. Islam memberi panduan agar tidak leka dengan semua itu kerana segala-galanya adalah dengan keizinan dari-Nya. Atas dasar itulah terlaksananya program munajat sebegini sebagai simbolik kesyukuran.

“Kami di peringkat kepimpinan yang dipilih rakyat akan terus berusaha menunaikan janji manifesto kerana rakyat Terengganu menyakini bahawa dalam sepenggal pemerintahan yang lepas, terbukti janji tawaran dan manifesto dapat dilaksanakan dan apa yang lebih penting adalah usaha mendaulat syariat Islam di bumi Terengganu ini akan terus diperkasakan,” katanya.

Himpunan yang berlangsung seawal Maghrib itu menampilkan Ustaz Wadi Anuar, Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Ahmad Rizam Ghazali dan Munif Hijjaz dalam tiga sesi dimulakan dengan Selawat Zikir dan Qasidah, Bicara Santai dan Bicara Murabbi Ummah sebagai acara utama.