Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya bersyukur kepada Allah SWT atas pertolongan-Nya dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pimpinan di semua peringkat, jentera pilihan raya, dan seluruh rakyat yang mengundi Perikatan Nasional (PN), khususnya anak-anak muda yang menjadi gelombang rakyat yang terkuat, sehingga berjaya mengubah landskap politik negara bagi mengekalkan kepimpinan Islam Melayu walaupun belum berjaya sampai ke puncaknya.
Sesungguhnya, Islam mendahulukan perdamaian, maka bukan sahaja tiada konsep paksaan dalam beragama, malah paksaan politik juga tiada dalam Islam. Oleh sebab itu, demokrasi secara aman menjadi pilihan para ulama’ sejak PAS ditubuhkan pada tahun 1951, sehingga kini mencecah tempoh lebih 70 tahun yang dilalui dengan penuh kesabaran.
Saya tegaskan dalam ucapan di Persidangan Antarabangsa Ahli Parlimen Negara Islam (IFIP) di Langkawi beberapa tahun yang lalu, bahawa langkah ekstrem yang diambil di negeri umat Islam hanyalah menempah bencana perpecahan umat sehingga mencetuskan perang saudara yang diproksikan. Perkara ini berlaku kerana umat Islam tenggelam dalam kejahilan warisan zaman penjajah, sehingga Islam dipenjarakan disebabkan oleh kelalaian raja-raja dan para pemimpin, kelemahan para ulama’ dan kejahilan umat sendiri.
Keadaan ini telah mencetuskan perpecahan sehingga menyebabkan berlakunya kafir-mengkafir dan perang saudara sesama sendiri di beberapa buah negara, dengan bantuan musuh Islam daripada harta umat Islam yang mengorbankan diri mereka sendiri.
Penjajah telah berjaya mewujudkan dua kumpulan yang bertembung antara satu sama lain. Kumpulan pertama ialah golongan liberal yang hanyut dan ada juga yang tergelincir daripada Islam kerana kejahilan mereka. Kumpulan kedua ialah kalangan pelampau yang sibuk menjatuhkan hukuman tanpa mengambil kira nasib umat yang tenggelam dalam kejahilan.
Walau bagaimanapun, akhirnya benteng pemisah dapat dipecahkan, maka berlakulah kebangkitan semula umat Islam di seluruh pelosok dunia, sehingga musuh Islam terpaksa merancang suatu isu baru yang dinamakan dengan Islamofobia. Namun begitu, semuanya gagal memadamkan cahaya Islam.
Di Malaysia, keadaan yang tegang itu dapat diredakan dengan membawa pendekatan secara ilmu dan perpaduan umat. Walaupun masih ada pengacaunya, namun pendekatan ini mendatangkan hasil kemenangan besar kepada PAS sehingga berjaya memerintah empat negeri (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis), serta hampir menguasai Perak dan Pahang.
PAS mempunyai wakil di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) melainkan Melaka dan Sarawak, serta memiliki jumlah Ahli Parlimen yang paling ramai. Hal ini menunjukkan PAS mula memperoleh pengaruh besar di beberapa negeri sehingga kalah hanya dengan majoriti tipis di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN-15) yang terkini.
Sejarah mencatatkan bahawa PAS pernah menarik diri daripada Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Alternatif (BA), serta memilih untuk tidak bersama dengan parti-parti yang mengheret ahli dan penyokong PAS menyertai provokasi melalui demonstrasi jalanan yang berjenamakan demokrasi ekstrem. Ini dapat dibuktikan apabila mereka gagal menganjurkan demonstrasi selepas PAS menarik diri, menandakan mereka mahu mengkhadamkan PAS demi perjuangan mereka yang tidak ikhlas sekali gus menunjukkan pengaruh PAS di lapangan rakyat tidak boleh diperkecilkan.
Kemudiannya, PAS berjaya melonjak melalui pendekatan kerjasama bersama PN yang turut disertai oleh Parti Bersatu dan Gerakan, sehingga mendapat kerusi Parlimen yang paling banyak dengan hanya gabungan tiga parti yang bersedia, berbanding gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang banyak komponen partinya.
Pencapaian PRN di enam negeri menunjukkan keadaan yang lebih maju sehingga PN berjaya memperoleh 146 kerusi DUN (PAS-105, Bersatu-40, Gerakan-1) berbanding gabungan PH dan BN yang mendapat 99 kerusi (DAP-46, PKR-26, UMNO-19, PAN-8). PAS juga berjaya memerintah tiga buah negeri bersama Perlis dengan majoriti yang besar.
Ini menunjukkan nisbah sokongan yang tinggi daripada golongan Melayu Islam dan bumiputera, berbanding pihak PH dan BN yang mendapat sokongan kaum bukan Islam yang ekstrem. Maka, ini sekali gus menunjukkan bahawa Perikatan Nasional yang sebenarnya menguasai teras politik negara, berbanding kerajaan pusat yang rapuh terasnya.
Banyak kenyataan dikeluarkan yang mengharamkan sebarang usaha untuk menukar kerajaan PH yang ada di pusat, walaupun halalnya penuh syubhah. Sedangkan mereka dahulu berusaha menggulingkan kerajaan melalui proses demokrasi syubhah secara jalanan yang menyusahkan rakyat, sehingga bertempur dengan anggota keselamatan yang tidak bersalah demi mencapai cita-cita berjenama demokrasi yang penuh syubhah itu.
Rakyat mesti berwaspada terhadap kerajaan pusat yang sebegini rupa gelabahnya, apabila menerima pukulan yang cukup menyakitkan dalam pilihan raya di enam negeri baru-baru ini malah merosot sokongan terhadap mereka di negeri-negeri yang lain.
Penyakit gila kuasa, sehingga sanggup mempertahankan kuasanya tanpa mempunyai kesabaran mengawal diri sehingga boleh melakukan apa sahaja. Mereka itu laksana orang yang lemas sehingga memeluk sesiapa yang menolongnya untuk mati bersama atau memeluk batu yang disangkakan pelampung penyelamat.
Maka, PN perlu berhati-hati terhadap lawan yang gila kuasa itu, serta menerima kejayaan dengan penuh rasa syukur kepada Allah, tanpa leka di negeri yang dapat diperintah dan di kawasan yang dapat menjadi wakil rakyat.
Teruskan kerja dan melangkah ke hadapan dengan tenang. Jangan panik dengan kenyataan provokasi daripada pihak lawan yang kepanasan kerana merosot sokongannya, walaupun mereka masih berkuasa di peringkat kerajaan pusat secara syubhah.
Tinggikan tahap kesabaran supaya tidak terperangkap dalam kenyataan dan tindakan provokasi yang mengheret kepada berlakunya huru-hara. Inilah strategi yang dicipta oleh pencuri bertopengkan demokrasi yang menipu rakyat dan berbohong dengan bertujuan menarik dan menggoda rakyat.
Ingatlah akan pesanan Rasulullah SAW dalam melaksanakan amar ma‘ruf dan nahi munkar, sebagaimana sabda Baginda:
مَا مِنْ نَبيٍّ بَعَثَهُ اللهُ في أمَّة قَبْلِي إلاَّ كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ وَأصْحَابٌ يَأخُذُونَ بِسنَّتِهِ وَيَقْتَدُونَ بِأَمْرِهِ، ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ خُلُوفٌ يَقُولُونَ مَا لاَ يَفْعَلُونَ، وَيَفْعَلُونَ مَا لاَ يُؤْمَرونَ، فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلبِهِ فَهُوَ مُؤمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلسَانِهِ فَهُوَ مُؤمِنٌ، وَلَيسَ وَرَاءَ ذلِكَ مِنَ الإيمَانِ حَبَّةُ خَرْدَل.
“Tiada seorang pun dalam kalangan nabi yang dilantik oleh Allah daripada kalangan umat sebelum aku diutuskan, melainkan ada bersamanya kalangan umat yang menjadi pengikut yang setia dan sahabat yang mengambil ajarannya dan patuh kepada perintahnya. Kemudiannya, selepas ketiadaannya digantikan pula oleh para pemimpin yang bercakap tetapi tidak beramal (berbohong), dan melakukan perkara yang tidak diperintahkan (melakukan kemungkaran). Maka, sesiapa yang berjihad dengan tangannya, nescaya dia beriman. Dan sesiapa yang berjihad dengan lidahnya, nescaya dia juga beriman. Dan sesiapa yang berjihad dengan hatinya (membenci dengan tidak menyokong), nescaya dia beriman. Dan tiada lagi iman selepas itu, walaupun sebesar biji yang paling kecil.” [Riwayat Muslim, Kitab al-Iman, No. 50, daripada Ibn Mas‘ud]
Kita sedang menghadapi zaman yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW. Maka, pilihan demokrasi haruslah mengikut tahap dan kadar kemampuan tersebut. Berjihad dengan tangan apabila menang berkuasa, berjihad dengan lidah apabila menjadi pembangkang yang tidak berkuasa dan mengundi pula adalah sikap dalam hati yang tersembunyi.
Tunaikan janji manifesto walaupun ia bukan kitab suci, kerana manifesto adalah janji yang wajib ditunaikan. Isikan kemenangan sekadar kemampuan, walaupun terpaksa menghadapi pencabulan terhadap akhlak demokrasi yang sebenar supaya berlaku adil kepada semua selepas PRU dan PRN. Walaupun mungkin akan berulang lagi pencabulan terhadap prinsip Perlembagaan Persekutuan dan konsep federalisme oleh Kerajaan Pusat, sehingga sanggup melanggar segala perjanjian serta menafikan segala hak dan peruntukan yang wajib disumbangkan kepada semua rakyat.
Pimpinlah kerajaan negeri yang diperintah secara jama‘i (kolektif) bagi menampung kelemahan diri dalam menunaikan amanah yang dibebankan. Sifat berjemaah yang menjadi ciri parti Islam membolehkannya melaksanakan tugas dengan baik dan sempurna, serta beristiqamah dan berintegriti.
Pertahankan ciri hikmah yang diwajibkan kepada kumpulan Islam dengan menghadapi lawan dengan cara yang terbaik dan menarik lawan menjadi kawan, kerana tugas menegakkan Islam adalah amal terbaik. Firman Allah SWT:
﴿وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلٗا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ٣٣ وَلَا تَسۡتَوِي ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِي بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُۥ عَدَٰوَةٞ كَأَنَّهُۥ وَلِيٌّ حَمِيمٞ٣٤ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٖ٣٥ وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ نَزۡغٞ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ٣٦﴾
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata, ‘Sesungguhnya, aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?’ (33) Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. (34) Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keuntungan yang besar. (35) Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (36)” [Surah Fussilat: 33-36]
Rasulullah SAW melaksanakan konsep perpaduan umat dengan cara mengeratkan persaudaraan Islam dan persaudaraan kemanusiaan selepas melakukan hijrah, sebagaimana firman Allah SWT:
﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ١٠٣﴾
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan ni‘mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatu hati-hati kamu, lalu menjadilah kamu kerana ni‘mat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” [Surah Ali ‘Imran: 103]
Ini diikuti dengan langkah pengampunan terhadap mereka yang pernah melakukan kezaliman terhadap Baginda SAW ketika berlakunya Fathu Makkah. Tindakan ini telah menarik musuh untuk menyerah diri dan bersatu padu. Firman Allah SWT:
﴿ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ١٢٥ وَإِنۡ عَاقَبۡتُمۡ فَعَاقِبُواْ بِمِثۡلِ مَا عُوقِبۡتُم بِهِۦۖ وَلَئِن صَبَرۡتُمۡ لَهُوَ خَيۡرٞ لِّلصَّـٰبِرِينَ١٢٦ وَٱصۡبِرۡ وَمَا صَبۡرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ وَلَا تَحۡزَنۡ عَلَيۡهِمۡ وَلَا تَكُ فِي ضَيۡقٖ مِّمَّا يَمۡكُرُونَ١٢٧ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْ وَّٱلَّذِينَ هُم مُّحۡسِنُونَ١٢٨﴾
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya, Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat daripada jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. (125) Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi, jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (126) Bersabarlah (wahai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipu dayakan. (127) Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan. (128)” [Surah al-Nahl: 125-128]
Laksanakan konsep adil kepada semua manusia, sebagaimana perintah Allah SWT melalui firman-Nya:
﴿إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨﴾
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menunaikan segala amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]
Inilah pendekatan yang baik dalam amalan demokrasi damai yang menjadi pilihan PAS. Ia bertujuan menarik seramai mungkin penyertaan ke dalamnya, bukan menghalau dan melampau sehingga mencetuskan perpecahan yang merosakkan umat.
PAS menyertai pilihan raya pra-kemerdekaan 1955 secara bersendirian kerana menunjukkan protes terhadap Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) yang menerima syarat-syarat kemerdekaan yang ditetapkan oleh penjajah, dengan tujuan meneruskan agenda penjajahannya melalui sistem demokrasi untuk melemahkan hak Islam dan kepimpinannya. Bahkan, PAS juga menolak kalangan yang ekstrem yang terikut-ikut dengan golongan komunis yang haram ideologinya kerana menolak agama secara terbuka.
Keputusannya, PAS memilih sistem demokrasi secara aman walaupun dianggap ciptaan Barat oleh yang bebal sejarah politik Islam. Hal ini demikian kerana, demokrasi moden Barat telah meninggalkan demokrasi purba Athens akibat dipengaruhi oleh sistem syura dalam ajaran Islam hasil kajian para orientalis Barat. Termasuklah kajian terhadap sistem khalifah dan konsep raja berperlembagaan dalam penulisan Imam al-Mawardi dan Imam al-Haramain al-Juwaini, serta para ulama’ yang lain.
Namun begitu, demokrasi Barat tidak menerima kuasa syariat yang tertinggi kerana pegangan terhadap fahaman sekularisme yang sesat. Firman Allah SWT:
﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul-(Nya), dan Ulu al-Amr antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Oleh yang demikian, itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [Surah al-Nisa’: 59]
Ketaatan kepada Allah dan Rasul harus diberikan secara mutlak, manakala kepada Ulu al-Amri (ulama’ dan umara’) pula diberikan secara bersyarat tanpa mengatasi al-Quran dan Sunnah. Konsep ini mengawal kelemahan manusia dalam segala langkah dan tindakannya.
Adapun asas kepada pelaksanaan konsep syura itu berpandukan firman Allah SWT:
﴿فَبِمَا رَحۡمَةٖ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡۖ وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَۖ فَٱعۡفُ عَنۡهُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ١٥٩﴾
“Maka, disebabkan rahmat daripada Allah kamu berlemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri daripada sekelilingmu. Oleh sebab itu, maafkanlah mereka, mohonkanlah keampunan bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” [Surah Ali ‘Imran: 159]
Maka, Islam menentang konsep ‘dictatorship’ yang bersifat individu dan berkuasa mutlak, termasuklah kuasa berkelompok atas nama demokrasi. Ia merupakan jenama yang turut dipakai di negara liberal kapitalis Barat yang menipu dan mengamalkan rasuah, serta sosialis komunis yang zalim dan menindas. Di samping itu, Islam juga menentang konsep teokrasi yang memberi kuasa kepada agamawan untuk menyalahgunakan agama.
Firman Allah SWT:
﴿أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ٢١﴾
“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tidak ada ketetapan yang menentukan (daripada Allah), tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.” [Surah al-Syura: 21]
Sesungguhnya, Allah SWT merupakan Pencipta alam yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan Maha Adil dalam menentukan sempadan mengikut kemampuan hamba-Nya. Malah, Dia juga bersifat Maha Penyayang serta Maha Rahmat terhadap hamba-Nya yang bernama manusia dengan memuliakan mereka dengan diberikan amanah mentadbir alam, tetapi manusia itu juga yang menzalimi diri sendiri.
Firman Allah SWT:
﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَقُولُواْ قَوۡلٗا سَدِيدٗا٧٠ يُصۡلِحۡ لَكُمۡ أَعۡمَٰلَكُمۡ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۗ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ فَازَ فَوۡزًا عَظِيمًا٧١ إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومٗا جَهُولٗا٧٢ لِّيُعَذِّبَ ٱللَّهُ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ وَٱلۡمُنَٰفِقَٰتِ وَٱلۡمُشۡرِكِينَ وَٱلۡمُشۡرِكَٰتِ وَيَتُوبَ ٱللَّهُ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورٗا رَّحِيمَۢا٧٣﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar. (70) Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah mendapat kemenangan yang besar. (71) Sesungguhnya, Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan amanah itu dipikul oleh manusia. Sesungguhnya, manusia itu amat zalim dan amat bodoh. (72) Sehinggakan, Allah mengazab orang-orang munafiq daripada kalangan lelaki dan perempuan serta orang-orang Musyrikin lelaki dan perempuan; dan sehingga Allah menerima taubat orang-orang Mukmin lelaki dan perempuan. Dan Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (73)” [Surah al-Ahzab: 70-73]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 2 Safar 1445 / 19 Ogos 2023
[Bil: 66 / 2023]