KUALA TERENGGANU – Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, Perikatan Nasional (PN)-PAS sedang mendahului dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 ketika tempoh berkempen berbaki tiga hari sahaja lagi.
Katanya, dengan meletakkan sasaran untuk menyapu bersih 32 kerusi DUN Terengganu pada PRU (DUN) 12 Ogos ini, jentera parti perlu terus fokus kepada usaha menyantuni seramai mungkin masyarakat.
“Alhamdulillah, saya sangat seronok bila saya dah pusing satu negeri, kempen kita berjalan dengan baik.
“Semakin dekat dengan hari mengundi, nak kata agresif pun tidak, kita ‘steady’ je, sebab kita ada jadual kempen bermula selepas penamaan calon 29 Julai lepas.
“Sebahagian besar calon-calon kami (PAS) mula menyantuni rakyat sejak awal pagi bermula dengan solat subuh di masjid, aktiviti ziarah serta lain-lain. Pada sebelah malam pula adakan ceramah dengan keizinan pihak berkuasa,” ujarnya.
Beliau yang juga calon PAS Alur Limbat berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses undi awal pegawai dan anggota Askar Wataniah Rejimen 512 AW serta pasangan di Kem Padang Midin, di sini, hari ini.
Ariffin berkata, berdasarkan pertemuan yang diadakan sokongan rakyat dilihat berpihak kepada PAS dan jentera parti juga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh berkempen.
“Ini termasuk tidak boleh melakukan sebarang pemberian yang boleh dianggap rasuah, petugas kita memahami, kita hanya rayu undi dengan bawa risalah serta beri penjelasan dan pencerahan berhubung agenda untuk rakyat.
“Secara zahirnya, pendekatan kita diterima baik masyarakat dan tiada sebarang provokasi. Saya lihat di setiap DUN, dari segi undi kita tidak tahu, tetapi dari segi kempen kita mendahului,” ujarnya.