KUALA TERENGGANU – Calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili menuntut permohonan maaf daripada beberapa media dan Ezza Suria Muda berhubung laporan serta kenyataan yang mempunyai unsur fitnah.
Dalam surat yang dihantar oleh peguam Ir Saiful, Nordin Kassim & Aziz pada semalam itu menyatakan bahawa, bekas ADUN Kemasik itu memberi tempoh selama 24 jam dari tarikh penerimaan notis tersebut untuk menarik semua kenyataan itu.
Nordin Kassim & Aziz berkata, anak guamnya turut memohon memadamkan penyiaran-penyiaran kenyataan tersebut daripada semua laman web, portal, akhbar dan mana-mana platform yang menyiarkan isu berkenaan kerana telah menyebabkan Ir Saiful menanggung ‘distress’, aib dan kerosakan reputasi.
“Bahawa Puan (Ezza) perlu membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis kepada anak guam kami dan menyiarkan (penyataan maaf) yang sama dalam semua media yang menyiarkan isu ini.
“Bahawa Puan (Ezza) perlu memberikan aku janji yang puan tidak akan mengulangi kenyataan fitnah terbabit dan membayar ganti rugi.
“Sekiranya gagal, anak guam kami akan meneruskan tindakan undang-undang dan menuntut ganti rugi atau perintah injuksi tanpa sebarang rujukan lanjut pihak puan,” ujar peguam Ir Saiful.
Dalam pada itu, menurut surat berkenaan, Nordin Kassim & Aziz menegaskan bahawa dakwaan yang dibuat itu adalah tidak benar, mengelirukan dan tidak wajar sama sekali.
“Kenyataan-kenyataan tersebut dibuat secara terancang lebih-lebih lagi selepas anak guam kami telah sah dicalonkan sebagai calon PAS di DUN kemasik.
“Ia bersifat skandal, sensasi dan satu cubaan pembunuhan karakter yang terancang sekali gus menimbulkan persepsi negatif terhadap anak guam kami yang juga calon PAS,” katanya.
Difahamkan tuntutan sama turut diserahkan kepada Berita Harian, Harian Metro dan Utusan Malaysia.
Sebelum ini, seorang wanita didakwa tiba-tiba muncul sebelum hari penamaan calon dan mendakwa ‘digantung tidak bertali’ oleh suaminya yang juga salah seorang calon PAS pada Pilihan Raya Umum DUN ke-15.