KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru seluruh umat Islam di Terengganu supaya mengekalkan kerukunan melangkaui batasan politik.
Baginda ketika bertitah pada perasmian Sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini mengingatkan seluruh rakyat sama ada yang beragama Islam dan bukan Islam supaya saling menghormati atas perbezaan dan kepelbagaian serta menjaga keharmonian dan perpaduan selain tidak menimbulkan isu yang menyentuh sensitiviti agama dan bangsa.
“Beta suka mengingatkan, sebagai umat Islam, kita perlu menunjukkan contoh terbaik kepada masyarakat bukan Islam dengan menjadikan peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai pengajaran dan iktibar dalam menjalani kehidupan bermasyarakat di muka bumi ini.
“Sentimen mementingkan diri, semangat berpuak-puak dan bermusuhan disebabkan perbezaan fahaman politik kepartian tidak sepatutnya berlaku atau terus berlaku di bumi bertuah ini.
“Beta mendoakan agar Negeri Terengganu mempunyai masyarakat yang mengutamakan kerukunan, kedamaian dan kesepakatan dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup yang mendatang dan akhirnya melahirkan umat Islam yang bertakwa kepada Allah SWT,” titah Baginda.
Dalam majlis tersebut, Sultan Mizan turut berkenan menyampaikan anugerah kepada penerima-penerima terpilih.
Setiap penerima anugerah menerima sijil, piala dan wang tunai berdasarkan kategori masing-masing.