KUALA NERUS – Kerajaan negeri menasihatkan seluruh rakyat Terengganu supaya menggiatkan usaha menjaga kebersihan rumah dan persekitaran masing-masing bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak berkata, usaha memastikan rumah dan persekitaran bersih adalah tanggungjawab yang perlu dipikul bersama.
“Memang program sebegini dibuat sentiasa kerana ini merupakan antara inisiatif sempena Hari Denggi Asean yang disambut saban tahun.
“Namun, yang wajib bagi kita adalah jaga persekitaran dan rumah kita, itu nasihat saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Gotong-royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Terengganu 2023 di Gong Kijang, di sini hari ini.
Dalam program bertema Terengganu Bersih, Sapu Bersih itu jelasnya, kecaknaan bersama akan membantu objektif mengurangkan kes dan mengelakkan kematian dapat dicapai.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, Terengganu merekodkan 130 kes denggi sehingga Jun, dengan peningkatan 11.7 peratus berbanding tahun lalu (111 kes).
“Kalau semua menjaganya, tiada tempat nyamuk membiak.
“Diluar persekitaran, kita ada kontraktor kebersihan yang mana kerajaan negeri membelanjakan lebih RM30 juta setahun untuk mengekalkan kebersihan persekitaran,” jelasnya.
Dr. Alias menambah, kempen secara besar-besaran dengan usahasama kerajaan negeri, anak-anak syarikat dan pihak berkuasa tempatan adalah untuk mengingatkan rakyat supaya peka dalam menjaga kebersihan persekitaran kediaman masing-masing.
“Seperkara lagi, jika dapat demam cepatlah ke klinik. Sekarang tiada sebab untuk beralasan tidak mahu ke klinik.
“Kita ada klinik kesihatan, tambahan pula kepada golongan B40 kerajaan negeri telah berikan Kad Sejahtera sebagai suntikan kewangan dan kita ada kemudahan wad percuma kelas ketiga,” katanya.