Home Berita PAS Terengganu

STPM: Anak peniaga kuih tradisional hadiahkan keputusan cemerlang untuk ibu ayah

125
SHARE

KUALA TERENGGANU – Anak pembuat kuih tradisional antara 112 pelajar cemerlang negeri ini yang memperoleh 4A dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 yang diumumkan, semalam.

Bekas pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman Aqilah Talib, 20, berkata, melihat kegigihan ayahnya Talib Abdul Rahman, 70 yang telah dimamah usia tetapi masih berusaha membantu ibunya Mariam Chik, 60, berniaga kuih ropal dan roti keramat menjadi perangsang kepadanya untuk mengubah nasib keluarga.

“Sudah menjadi rutin harian, saya akan bangun awal sekitar 4 pagi untuk belajar selama sejam kemudian pada pukul 5 pagi sambung pula bantu mak buat kuih untuk ayah hantar ke kedai.

“Selepas itu, saya solat subuh dan bersiap ke sekolah. Walaupun agak penat, namun semua itu berbaloi apabila mendapat keputusan cemerlang hari ini dan ia adalah hadiah untuk ibu dan ayah saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan STPM Terengganu 2022 di SMK Sultan Sulaiman, semalam.

Anak bongsu daripada 10 beradik yang memasang impian untuk bergelar peguam itu berkata, dia mengikut nasihat kedua ibu bapanya untuk menyambung pelajaran dan memilih tingkatan enam walaupun memperolehi 4A, 1B dan 2C pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Aqilah berkata, dia menolak tawaran menyambung pengajian di peringkat diploma dalam jurusan pelancongan di Universiti Teknolagi Mara (UiTM) Dungun kerana enggan menanggung hutang pinjaman dan mendorongnya memilih mengambil STPM.

“Walaupun ramai yang memberitahu STPM susah termasuk kakak sendiri, namun saya tetap dengan keputusan untuk menyambung pelajaran di Tingkatan Enam kerana tidak mahu menyusahkan kedua orang tua.

“Selepas ini, kalau ada rezeki saya mahu menyambung pengajian dalam jurusan undang-undang di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA),” ujarnya.