Home Minda Presiden

Para peminat haji dan umrah patut tahu

216
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 52 / 2023]
PARA PEMINAT HAJI DAN UMRAH PATUT TAHU

Kini, disaksikan ramai yang berminat datang ke Makkah dan Madinah, termasuk penganut agama Yahudi yang mengambil peluang dengan kelonggaran yang berlaku dalam hubungan diplomatik ke arah normalisasi yang bersifat liberal. Hal ini disebabkan semua agama mengaku berasal daripada keturunan Nabi Ibrahim AS yang merupakan insan pertama memakmurkan Makkah dengan perintah Allah berserta mendirikan Kaabah dan menyeru manusia untuk menunaikan haji. Namun, Allah SWT berfirman:

﴿مَا كَانَ إِبۡرَٰهِيمُ يَهُودِيّٗا وَلَا نَصۡرَانِيّٗا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفٗا مُّسۡلِمٗا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ٦٧﴾

“Bukanlah Ibrahim itu seorang  Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani (Kristian), sebaliknya dia seorang yang tetap lurus lagi berserah diri kepada Allah (Islam) dan sekali-kali bukanlah dia termasuk daripada golongan orang-orang Musyrik.” (Surah Ali ‘Imran: 67)

Adapun dalam kalangan penganut Islam yang melaksanakan haji dan umrah, ada sebahagiannya menjadi minat dan ada juga sebahagiannya yang beribadat. Malah, ada juga yang dibimbangi mungkin ada niatnya sekadar melancong. Segala perkara ini terserah kepada Allah yang Maha Mengetahui segala perkara yang zahir dan batin.

Keadaan umat Islam ini dibimbangi akan menyebabkan hilangnya kehebatan mereka, sehingga kitab suci al-Quran berani dibakar dan dihina oleh musuhnya walaupun jumlah penganutnya sangat besar. Walhal Rasulullah SAW pernah bersabda menyatakan umat Islam laksana sampah yang dihanyutkan banjir, khususnya selepas kerajaan yang mendaulatkan Islam telah dijatuhkan oleh musuh atau dilupakan oleh umat Islam sendiri kerana kejahilannya.

Tidak diketahuinya akan kewajipan yang telah diasaskan oleh Rasulullah SAW melalui peristiwa Baiah al-‘Aqabah di Mina yang berlaku pada musim haji, tempat yang tetap menjadi kunjungan puak Arab jahiliah kerana mereka semua ingin memuliakan Nabi Ibrahim AS.

Bahkan, juga perlu diketahui betapa Rasulullah SAW mengambil peluang tersebut ketika orang-orang jahiliah Arab datang beramai-ramai menunaikan haji, sehingga ada yang bertelanjang tanpa pakaian serta menyembah berhala yang banyak dibina di sekeliling Kaabah dan di dalamnya. Sehinggakan, dilumurnya darah bangkai di dinding Kaabah.

Namun, Baginda SAW tetap menunaikan dakwah kepada seluruhnya bagi mengesakan Allah Tuhan yang Maha Esa. Tugas ini merupakan perjuangan semua nabi termasuk Nabi Ibrahim AS dan ia memerlukan kuasa politik bernegara yang meninggikan Islam dalam memerintah.

Peluang diambil oleh Rasulullah SAW untuk menemui para pemimpin daripada kaum Arab bangsanya sendiri yang kuat pengaruhnya dari luar Makkah, setelah Baginda menolak tawaran oleh pemimpin Makkah yang ingin melantiknya menjadi raja atau pemimpin yang dijanjikan harta dan wanita. Hal ini demikian kerana, tujuannya adalah untuk menegakkan Islam, bukan untuk kepentingan hawa nafsu kebinatangan.

Rasulullah SAW menemui pemimpin daripada kalangan Bani ‘Amir dengan menawarkan Islam dan kemenangannya yang telah dijanjikan Allah SWT. Tiba-tiba mereka bertanya:

أَرَأَيْتَ إِنْ نَحْنُ بَايَعْنَاكَ عَلَى أَمْرِكَ، ثُمَّ أَظْهَرَكَ اللَّهُ عَلَى مَنْ خَالَفَكَ، أَيَكُونُ لَنَا الْأَمْرُ مِنْ بَعْدِكَ؟

“Apakah menurut kamu jika kami berbaiah kepadamu untuk bersama agamamu itu, seterusnya Allah akan memberikan kemenangan kepadamu ke atas golongan yang menentangmu. Adakah kami pula yang menjadi pemimpin selepas ketiadaanmu?”

Sabda Rasulullah SAW:

الأَمْرُ إِلَى اللهِ يَضَعُهُ حَيْثُ يَشَاءُ.

“Urusan itu kepunyaan Allah yang akan menentukannya mengikut kehendak-Nya.”

Mereka menjawab:

أَفَتُهْدَفُ نَحُورُنَا لِلْعَرَبِ دُونَكَ، فَإِذَا أَظْهَرَكَ اللهُ كَانَ الأَمْرُ لِغَيْرِنَا! لَا حَاجَةَ لَنَا بِأَمْرِكَ.

 

“Adakah kamu mempergunakan kami untuk kepentingan kamu untuk menentang Arab, setelah Allah menyerahkan urusan kepimpinan ini kepada orang lain selain kami? Kalau begitu, kami tidak bersedia mencari susah bersamamu!” (Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyyah, Jld. 1, Hlm. 425)

Rasulullah SAW beredar dalam keadaan sedih bersama Abu Bakar RA yang menjadi sahabat setianya.

Seterusnya, Baginda menemui pemimpin Bani Syaiban dan mengajak mereka kepada Islam dan memberikan janji kemenangan.

Mereka bertanya tentang Islam:

وَإِلَى مَا تَدْعُو أَيْضًا يَا أَخَا قُرَيْشٍ؟

“Apakah seruanmu, wahai saudaraku yang berbangsa Quraisy?”

Lalu Rasulullah SAW menyebutkan firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُ بِٱلۡعَدۡلِ وَٱلۡإِحۡسَٰنِ وَإِيتَآيِٕ ذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَيَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ وَٱلۡبَغۡيِۚ يَعِظُكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ٩٠﴾

“Sesungguhnya, Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (Surah al-Nahl: 90)

Tiba-tiba mereka menjawab:

‌فَوَاللَّهِ ‌مَا ‌هَذَا ‌مِنْ ‌كَلَامِ ‌أَهْلِ ‌الْأَرْضِ وَلَوْ كَانَ مِنْ كَلَامِهِمْ لَعَرَفْنَاهُ.

“Demi Allah! Ini bukan cakap manusia di bumi, (ini adalah perintah daripada langit), dan sekiranya ia dari perkataan mereka, kami akan mengetahuinya.”

Mereka bertanya, “Bagaimana cara masuk Islam?”

Rasulullah SAW bersabda, “Ucapkanlah لا إله إلا الله (tiada Tuhan yang sebenar melainkan Allah sahaja).

Mereka menjawab dengan terkejut kerana mereka berbahasa Arab dan mengetahui maksudnya, “Ini suatu ucapan yang benar, tetapi dibenci oleh semua raja dan pihak yang berkuasa di seluruh dunia! Nanti kamu akan diperangi oleh seluruh pelosok dunia. Kalau sekadar menghadapi kaum Arab kami bersedia, tetapi untuk menghadapi kuasa besar seperti Parsi kami tidak mampu kerana sekali kami menang dan kadang-kadang kami kalah.”

Sabda Rasulullah SAW, “Mereka boleh bersamaku mestilah menghadapi seluruh pelosok dunia, kamu berterus terang, percayalah Islam akan menang kerana janji Allah. Apabila mendengar berita kejayaan kami sila datang.”

Rasulullah SAW berundur dalam keadaan gembira kerana sambutan yang diberikan pada awalnya dan mereka berterus-terang dengan ikhlas.

Akhirnya, Baginda bertemu dengan dua kabilah iaitu Aus dan Khazraj yang datang  dari Madinah yang sudah mendapat berita mengenai kelahiran nabi akhir zaman daripada perkhabaran Ahli Kitab dalam kalangan kaum Yahudi.

Rasulullah SAW meminta mereka berbaiah (janji sedia berkorban untuk perjuangan menegakkannya), bukan hanya mengucapkan dua kalimah syahadah. Mereka bertanya:

يَا رَسُولَ اللهِ، عَلَامَ نُبَايِعُكَ؟

“Wahai Rasulullah! Apakah tujuan kami berbaiah kepadamu?

Sabda Rasulullah SAW:

‌عَلَى ‌السَّمْعِ ‌وَالطَّاعَةِ ‌فِي ‌النَّشَاطِ ‌وَالْكَسَلِ، وَعَلَى النَّفَقَةِ فِي الْعُسْرِ وَالْيُسْرِ، وَعَلَى الْأَمْرِ بِالْمَعْرُوفِ، وَالنَّهْيِ عَنِ الْمُنْكَرِ، وَعَلَى أَنْ تَقُولُوا فِي اللهِ لَا تَأْخُذُكُمْ فِيهِ لَوْمَةُ لَائِمٍ، وَعَلَى أَنْ تَنْصُرُونِي إِذَا ‌قَدِمْتُ ‌إِلَيْكُمْ، ‌وَتَمْنَعُونِي مِمَّا تَمْنَعُونَ مِنْهُ أَنْفُسَكُمْ وَأَزْوَاجَكُمْ وَأَبْنَاءَكُمْ، وَلَكُمُ الْجَنَّةُ.

“Berjanji setia dan taat pada masa cergas dan malas, memberikan sumbangan pada masa senang dan susah, menyuruh kepada perkara yang ma‘ruf dan mencegah daripada perkara yang mungkar, bercakap benar kerana menegakkan agama Allah (Islam) tanpa peduli terhadap celaan mereka yang menghinanya, serta menolong aku apabila aku menuju ke negeri kamu (Yathrib), bersama menegakkan Islam dan mempertahankan aku sebagaimana kamu mempertahankan diri, isteri dan anak-anak kamu. Dan Allah menjanjikan balasan syurga kepada kamu.” (Riwayat Ahmad, No. 15798)

As‘ad bin Zurarah yang termuda dalam kalangan mereka, sambil memegang tangan Rasulullah SAW untuk memulakan baiah berkata:

رُوَيْدًا يَا أَهْلَ يَثْرِبَ، إِنَّا لَمْ نَضْرِبْ إِلَيْهِ أَكْبَادَ الْمَطِيِّ إِلَّا وَنَحْنُ نَعْلَمُ أَنَّهُ رَسُولُ اللهِ، إِنَّ إِخْرَاجَهُ الْيَوْمَ مُفَارَقَةُ الْعَرَبِ كَافَّةً، وَقَتْلُ خِيَارِكُمْ، وَأَنْ تَعَضَّكُمُ السُّيُوفُ، فَإِمَّا أَنْتُمْ قَوْمٌ تَصْبِرُونَ عَلَى السُّيُوفِ إِذَا مَسَّتْكُمْ، وَعَلَى قَتْلِ خِيَارِكُمْ، وَعَلَى مُفَارَقَةِ الْعَرَبِ كَافَّةً، فَخُذُوهُ وَأَجْرُكُمْ عَلَى اللهِ، وَإِمَّا أَنْتُمْ قَوْمٌ تَخَافُونَ مِنْ أَنْفُسِكُمْ خِيفَةً فَذَرُوهُ، فَهُوَ أَعْذَرُ عِنْدَ اللهِ.

“Bertenanglah, wahai penduduk Madinah! Janganlah kamu gopoh. Sesungguhnya, kita tidak datang kepadanya dengan menunggang unta merentasi perjalanan yang sangat jauh melainkan setelah kita tahu bahawa dialah Rasulullah. Ingat! Keluarnya (Muhammad) dari Makkah (berhijrah untuk bersama kita) bermakna seluruh bangsa Arab menghunuskan senjata untuk memerangi kita. Sekali gus menyebabkan para pemimpin kita terbunuh dan pedang akan memamah jasad kita. Sama ada kamu bersabar menghadapi perkara itu dengan baiah mengikutinya, maka kamu mendapat ganjaran yang besar daripada Allah; atau kamu menjadi penakut sehingga tidak diampunkan oleh Allah lalu meninggalkannya, maka akhirnya kita akan mendapat kecelakaan di sisi Allah.” (Riwayat Ahmad, no. 14456)

Mereka menjawab:

يَا أَسْعَدُ بْنَ زُرَارَةَ أَمِطْ عَنَّا يَدَكَ، فَوَاللهِ لَا نَذَرُ هَذِهِ الْبَيْعَةَ، وَلَا نَسْتَقِيلُهَا.

“Wahai As‘ad bin Zurarah! Berikan peluang kepada kami semua untuk berbaiah. Demi Allah! Kami tidak akan meninggalkan baiah ini.” (Riwayat Ahmad, No. 14456 dan Safiyyurrahman dalam al-Rahiq al-Makhtum, Hlm. 135)

Maka, semua mereka berbaiah seramai 70 orang termasuk dua orang Muslimat.

Satu perjanjian politik untuk menegakkan negara yang dijanjikan oleh Allah SWT dinyatakan dalam surah al-Hajj, sebagaimana firman-Nya:

﴿ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾

“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka (Makkah) tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Dan sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong agama-Nya (agama Islam). Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40) (Iaitu) orang-orang (Islam) yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (memerintah negara), nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah jua kembali segala urusan. (41)” (Surah al-Hajj: 40-41)

Ini bermakna menegakkan sebuah negara masyarakat majmuk itu berkonsepkan kepimpinan Islam yang beribadat, berzakat (ekonomi yang adil), amar ma‘ruf (berkebajikan), nahi munkar dan berwawasan akhirat.

Allah SWT menegaskan bahawa mereka yang terlibat dalam jemaah Muhajirin dan Ansar merupakan contoh orang beriman yang sebenar. Firman Allah SWT:

﴿وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَهَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلَّذِينَ ءَاوَواْ وَّنَصَرُوٓاْ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ حَقّٗاۚ لَّهُم مَّغۡفِرَةٞ وَرِزۡقٞ كَرِيمٞ٧٤﴾

“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Muhajirin itu), mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh keampunan dan rezeki (ni‘mat) yang mulia.” (Surah al-Anfal: 74)

Adanya kumpulan yang disebutkan dalam ayat di atas setelah baiah diikrarkan pada musim haji yang bertempat di Jamrah al-‘Aqabah di Mina, iaitu satu tempat ketika masih berada dalam perhimpunan haji. Manakala ayat yang menegaskan pertolongan dalam pelaksanaan perkara tersebut disebutkan dalam surah al-Hajj. Justeru, sila faham dan ambillah iktibar daripada Allah dan Rasul-Nya SAW.

Setelah berlakunya hijrah, maka dimeteraikan Sahifah Madinah (Piagam Madinah). Rasulullah SAW mengadakan tahaluf (persepakatan) bersama golongan bukan Islam, bukan berwala’ kepada mereka. Pada masa yang sama, menegaskan kepimpinan Islam yang beriman dan berakhlak dengan meletakkan Islam adalah yang tertinggi. Perkara ini disebutkan dengan nyata:

وَإِنَّهُ مَا كَانَ بَيْنَ أَهْلِ هَذِهِ الصَّحِيفَةِ مِنْ حَدَثٍ أَوِ اشْتِجَارٍ يُخَافُ فَسَادُهُ، ‌فَإِنَّ ‌مَرَدَّهُ ‌إِلَى ‌اللَّهِ وَإِلَى مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

“Dan bahawa sesungguhnya, apa-apa perkara yang berlaku (pertelingkahan) dalam kalangan para ahli yang terlibat memeteraikan piagam ini daripada apa jua perkara yang berlaku dan pertelingkahan yang ditakuti akan merosakkannya, maka hendaklah ia dirujuk kepada Allah (al-Quran) dan Nabi Muhammad SAW (Sunnah).” (Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyyah, Jld. 1, Hlm. 504)

Sahifah tersebut secara jelas meletakkan ketinggian Islam itu berkuasa dalam kerjasama bersama masyarakat majmuk yang wajib menolak sekularisme, liberalisme, ‘Malaysian Malaysia’ dan rantaiannya. Kita telah meletakkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan (Perkara 3 [1]), terpulang kepada kita untuk mempertahankan Islam sebagai al-din (mengikut bahasa al-Quran).

Oleh itu, para peminat haji dan umrah wajib mengetahui dengan mempelajari secara ikhlas kerana Allah SWT. Dalam pada itu, menjadi pengikut Rasulullah SAW yang sebenar dan setia, bukan sekadar separuh perjalanan sahaja. Hal ini sebagaimana yang diberikan amaran oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ٢٠٨ فَإِن زَلَلۡتُم مِّنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡكُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ٢٠٩ هَلۡ يَنظُرُونَ إِلَّآ أَن يَأۡتِيَهُمُ ٱللَّهُ فِي ظُلَلٖ مِّنَ ٱلۡغَمَامِ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَقُضِيَ ٱلۡأَمۡرُۚ وَإِلَى ٱللَّهِ تُرۡجَعُ ٱلۡأُمُورُ٢١٠﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan! Sesungguhnya, syaitan itu ialah musuh yang nyata bagimu. (208) Akan tetapi, jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (209) Tiada yang mereka nanti-nantikan melainkan datangnya (azab) Allah bersama malaikat (pada Hari Kiamat) dalam naungan awan, sedangkan urusan (balasan azab) telah diputuskan. Dan hanya kepada Allah dikembalikan segala urusan. (210)” (Surah al-Baqarah: 208-210)

Para sahabat RA dan tabiin generasi awal meneruskan perjuangan Islam dengan menguasai Asia Tenggara di Timur dari Indonesia dan Maghribi di utara Afrika, dari Asia Tengah ke Afrika Tengah dan sebahagian selatan Eropah.

Majoriti daripada kalangan mereka itu mati di perantauan bukannya meninggal di Makkah dan Madinah, walaupun tidak dinafikan ada kelebihannya meninggal di kedua-dua tanah suci itu. Semua itu dilakukan kerana kelebihan menyambung perjuangan Rasulullah SAW yang lebih besar.

Maka, sebahagian daripada kalangan para sahabat yang besar tinggal untuk bertugas mentadbir urusan negara dan masyarakat, namun ada sebahagian yang lain bertugas di wilayah lain atau menyebarkan ilmu, berdakwah dan berjihad di seluruh pelosok. Bahkan, merantau dengan membawa barang perniagaan kerana tujuan utama adalah untuk menegakkan Islam, sehingga ramai yang mati di seluruh pelosok dunia dan berjaya menegakkan Islam di seluruh pelosok.

Hanya satu, dua, atau tiga kali sahaja mereka dapat menunaikan haji dan umrah, termasuklah Rasulullah SAW yang hanya sempat dua atau tiga kali sahaja menunaikan umrah dan sekali melaksanakan haji. Kalau mereka hanya berminat untuk menunaikan haji dan umrah sahaja, maka Islam tidak akan sampai kepada kita di sini.

Ada juga mereka yang uzur dan miskin dibenarkan berada sepanjang masa di Makkah dan Madinah tetap berdoa untuk kemenangan Islam. Rasulullah SAW bersabda ketika musafir jihadnya, “Ada kalangan sahabat kita yang mendapat pahala kerana doanya walaupun tidak bersama kita.”

Allah SWT berfirman:

﴿لَّيۡسَ عَلَى ٱلضُّعَفَآءِ وَلَا عَلَى ٱلۡمَرۡضَىٰ وَلَا عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُواْ لِلَّهِ وَرَسُولِهِۦۚ مَا عَلَى ٱلۡمُحۡسِنِينَ مِن سَبِيلٖۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ٩١ وَلَا عَلَى ٱلَّذِينَ إِذَا مَآ أَتَوۡكَ لِتَحۡمِلَهُمۡ قُلۡتَ لَآ أَجِدُ مَآ أَحۡمِلُكُمۡ عَلَيۡهِ تَوَلَّواْ وَّأَعۡيُنُهُمۡ تَفِيضُ مِنَ ٱلدَّمۡعِ حَزَنًا أَلَّا يَجِدُواْ مَا يُنفِقُونَ٩٢ ۞إِنَّمَا ٱلسَّبِيلُ عَلَى ٱلَّذِينَ يَسْتَأْذِنُوْنَكَ وَهُمۡ أَغۡنِيَآءُۚ رَضُواْ بِأَن يَكُونُواْ مَعَ ٱلۡخَوَالِفِ وَطَبَعَ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ فَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ٩٣﴾

“Tiada dosa (lantaran tidak pergi berjihad) ke atas orang-orang yang lemah, orang-orang yang sakit dan orang-orang yang tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada jalan (alasan) sedikit pun untuk menyalahkan orang-orang yang berbuat baik. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (91) Dan tiada (pula) berdosa ke atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu, supaya kamu memberikan kepada mereka kenderaan, lalu kamu berkata, ‘Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawa kamu.’ Lalu, mereka pun kembali sedangkan mata mereka bercucuran air mata kerana kesedihan, lantaran mereka tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan. (92) Sesungguhnya, jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang meminta izin kepadamu, padahal mereka itu orang-orang kaya. Mereka rela berada bersama orang-orang yang tidak ikut berjuang dan Allah telah mengunci mati hati mereka, maka mereka tidak mengetahui (akibat perbuatan mereka). (93)” (Surah al-Tawbah: 91-93)

Allah SWT memberikan amaran kepada bangsa Arab, generasi awal yang leka tanpa menegakkan Islam:

﴿هَـٰٓأَنتُمْ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم٣٨﴾

“(Ingatlah), kamu ialah orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka, antara kamu ada yang bakhil, dan sesiapa yang bakhil, maka sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan Allah jualah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu ini.” (Surah Muhammad: 38)

Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَا لَكُمۡ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِۚ أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡأٓخِرَةِۚ فَمَا مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِي ٱلۡأٓخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ٣٨ إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْـًٔا ۗوَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ٣٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu, ‘Berangkatlah (untuk berjuang) pada jalan Allah’ kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal keni‘matan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat kelak hanyalah sedikit. (38) Jika kamu tidak berangkat untuk berjuang, nescaya Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang pedih dan Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberikan kemudaratan kepada-Nya sedikit pun. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (39)” (Surah al-Tawbah: 38-39)

Kejatuhan umat Islam di Andalusia (Sepanyol) setelah bertapak 800 tahun, sepatutnya menjadi iktibar kepada kita semua.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terenganu.
Bertarikh: 14 Zulhijjah 1444 / 3 Julai 2023