Home Berita PAS Perlis

Perlis laksana pemberhentian lesen judi secara berperingkat

67
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 15 Jun: Kerajaan Negeri Perlis telah membuat keputusan untuk melaksanakan pemberhentian lesen judi di negeri ini secara berperingkat.

Jelas Menteri Besar Perlis,  Mohd. Shukri Ramli, kerajaan negeri telah melakukan pemerhatian dan kajian terhadap aktiviti perjudian dan bersetuju agar Majlis Perbandaran Kangar (MPK) tidak memperbaharui semua lesen premis judi dan loteri setelah tamat tempoh operasi.

Ujarnya lagi menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, kerajaan negeri juga membuat keputusan untuk mengatur pelbagai program dan kempen bagi mendidik masyarakat tentang bahaya aktiviti perjudian.

“Kerajaan negeri amat menitikberatkan keseimbangan dalam pembangunan fizikal, rohani, jati diri dan institusi keluarga.

“Pendekatan secara holistik telah diatur bagi merealisasikan hasrat kerajaan ke arah membangunkan modal insan yang terbaik dalam kalangan masyarakat khususnya di negeri Perlis,” katanya.

Untuk rekod, terdapat sejumlah enam premis perjudian beroperasi di negeri ini iaitu tiga daripadanya di Kangar, dua di Arau dan sebuah lagi di Kuala Perlis.