Home Berita PAS Terengganu

TDM Berhad bukti kejayaan PAS mentadbir negeri Terengganu

237
SHARE

TDM Berhad baru-baru ini telah menjenamakan semula logo syarikat selepas 17 tahun menggunakan logo lama. Majlis pelancaran logo yang disempurnakan oleh YAB Dato Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, turut menyaksikan perasmian bangunan baharu, Wisma TDM di Jalan Kamaruddin.

2. Pelancaran logo dan perasmian bangunan baru ini selaras dengan usaha transformasi syarikat milik kerajaan negeri. Transformasi ini tidak hanya pada imej dan logo baharu, namun perkara paling diutamakan adalah prestasi syarikat.

3. Sejak PAS mengambil alih pentadbiran Terengganu pada tahun 2018, TDM diletakkan dalam “recovery” mode. Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan tertinggi telah merancang beberapa inisiatif dalam bahagian Perladangan dan Penjagaan Kesihatan bagi meningkatkan prestasi TDM yang pada tahun 2017 telah mencatatkan kerugian sebelum cukai iaitu RM 96.9 Juta.

4. Hasilnya prestasi TDM terus meningkat dan pada tahun kewangan 2022, TDM Berjaya mencatatkan hasil tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM 614.4 Juta. Prestasi yang memberangsangkan ini dipacu oleh 2 sektor utama iaitu Perladangan dan Penjagaan Kesihatan.

5. Sektor Perladangan mencatatkan hasil sebanyak RM 335.4 Juta pada 2022 meningkat dari RM 287.3 Juta pada 2021. Sektor kesihatan pula mencatatkan RM 279.0 Juta pada 2022 meningkat dari RM 224.3 Juta pada 2021. TDM menjangkakan hasil pendapatan akan meningkat ke RM 620 juta pada tahun kewangan 2023.

6. Bagi meningkatkan prestasi sektor perladangan, beberapa usaha telah dilaksanakan oleh TDM Berhad seperti pengambilalihan Ladang THP-YT Plantation seluas 2594.5 hektar pada 2020 dengan pertimbangan tunai RM 78.68 juta. Selain itu, TDM dengan kerjasama Concord Biotech Sdn Bhd telah membina 2 loji janakuasa biogas di Kemaman dan Sungai Tong bernilai hampir RM 50 juta. Loji janakuasa yang mampu menghasilkan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 29,784,000 kilowatt per jam setiap tahun ini turut dirasmikan oleh DYMM Tuanku Sultan Mizan. TDM juga berusaha mengurangkan kos operasi dengan menandatangani perjanjian pembelian baja dengan East Coast Fertilizer Sdn Bhd, sebuah syarikat milik MBI Terengganu.

7. TDM Berhad sebelum ini sangat bergantung kepada pekerja asing. Namun sejak Covid-19 melanda, TDM Berhad seperti banyak syarikat perladangan yang lain, menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja akibat sempadan negara ditutup. Bagi menyelesaikan isu ini, kepimpinan TDM Berhad mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan jawatan pakar penuai (harvesting speacialist) yang menyasarkan rakyat tempatan di mana mereka mampu memperolehi pendapatan sehingga RM5,000 sebulan. Ini sekaligus meningkatkan taraf ekonomi rakyat Terengganu.

8. TDM Berhad juga terpaksa menguruskan dua anak syarikat sakit yang dibeli ketika zaman kerajaan terdahulu iaitu PT Rafi Kamajaya Abadi dan PT Sawit Rezki Abadi. Syarikat di Kalimantan Indonesia ini yang telah menelan hampir RM 850 juta (kos pelaburan dan kos operasi) gagal memberikan pulangan keuntungan kepada TDM Berhad. Syarikat ini telah sekian lama menyebabkan aliran tunai TDM terganggu. Dengan usaha kepimpinan TDM Berhad, syarikat ini telah berjaya dijual pada Mac 2023 bagi membantu mengurangkan kerugian anak syarikat ini yang terpaksa ditanggung oleh TDM Berhad.

9. Prestasi baik sektor kesihatan adalah melalui beberapa aktiviti peningkatan hasil yang dijalankan oleh anak syarikat TDM Berhad iaitu KMI Healthcare Sdn Bhd. Pelancaran Cath Lab Services di KMI Kuantan Medical Center pada tahun 2019 dan KMI Kuala Terengganu Medical Center pada 2020 memberikan impak positif kepada hasil syarikat. KMI Kuala Terengganu juga menjadi hospital swasta pertama di Terengganu yang menjadi “baby friendly hospital” sekaligus menjadikan KMI Kuala Terengganu sebagai hospital tumpuan bagi kesihatan ibu dan anak. Buat pertama kali juga, KMI Kuala Terengganu berjaya mencatatkan keuntungan pada tahun 2022.

10. Pada 2022 KMI telah menyempurnakan pembambilalihan Tawau Specialist Hospital dan menjenamakan semula kepada KMI Tawau Medical Centre. Selain itu KMI Healtchare juga bakal membina Hospital keenam di Chukai Kemaman. Hospital yang mempunyai kemampuan 50 katil, membabitkan peruntukan RM 70 juta. KMI Healthcare juga telah melebarkan sayap ke Negeri Perlis dengan menandatangani memorandum persefahaman dengan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (SEDC Perlis) bagi meninjau peluang bina hospital di Perlis.

11. Pada tahun 2015, TDM dikeluarkan dari senarai patuh Syariah kerana tidak mematuhi tanda aras saham patuh syariah. Namun selepas PAS mengambilalih pemerintahan Terengganu pada 2018, usaha bagi mengembalikan TDM Berhad sebagai saham Patuh Syariah terus dimulakan. Alhamdulillah dengan usaha gigih kepimpinan TDM Berhad, pada 27 November 2020 TDM Berhad telah kembali tersenarai sebagai salah satu daripada 715 saham patuh syariah di Bursa Malaysia.

12. Keuntungan yang dicatatkan oleh TDM Berhad ini turut dikongsi bersama dengan rakyat Terengganu dalam bentuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Peruntukan sejumlah RM 2 Juta diperuntukan pada tahun 2022 melalui aktiviti seperti Karnival Penghayatan Islam, sumbangan hari raya, program hari raya korban dan program pemberian bubur asyura. Program seperti ini merupakan platform bagi TDM mendekati rakyat Terengganu yang memerlukan terutamanya golongan B40.

13. TDM Berhad merupakan salah satu kejayaan PAS memerintah Negeri Terengganu. Dengan berbekalkan pasukan kepimpinan yang efektif, prestasi kewangan yang memberangsangkan, perancangan strategik yang berkesan serta pematuhan kepada “Code of Business Ethics” menjadi pemangkin kepada prestasi yang cemerlang ini. Prestasi cemerlang ini juga sudah tentu akan membawa kepada keyakinan rakyat Terengganu kepada TDM Berhad dan juga Kerajaan Negeri yang ditadbir oleh PAS.

Nurul Islam Mohamed Yusoff