JAWAPAN KEPADA ANWAR DAN MAZHABNYA
Firman Allah SWT:
﴿لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا٢١﴾
“Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang terbaik bagi kamu (iaitu) bagi orang yang sentiasa mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat serta banyak menyebut dan mengingati Allah (pada masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab: 21)
Ayat daripada Surah al-Ahzab berkait dengan peristiwa kepungan tentera Ahzab (pakatan bersekutu) yang terdiri daripada beberapa kumpulan Ahli Kitab dan Musyrikin. Tujuannya pakatan itu adalah untuk menjatuhkan negara Islam yang mempunyai masyarakat majmuk (masyarakat Madani sebenar) yang ditegakkan oleh Rasulullah SAW di Madinah.
Peristiwa itu berakhir apabila Pakatan Ahzab berjaya dikalahkan dan negara Islam terus melaksanakan hidayah Allah dengan mencapai kejayaan yang besar sehingga kewafatan Rasulullah SAW serta selepas kewafatannya.
Ketika berlakunya peristiwa itu, umat Islam teguh bersama Rasulullah SAW tanpa mempedulikan ucapan kalangan munafiqin yang memperkecil dan menghina Baginda SAW. Firman Allah SWT:
﴿هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا١١ وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا١٢﴾
“Pada saat itulah, orang yang beriman diuji dan digoncang perasaan serta pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat. (11) Dan (ingatlah) pada masa itu orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya (lemah imannya) berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan apa-apa kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja.’ (12)” (Surah al-Ahzab: 11-12)
Allah SWT mewajibkan supaya Rasulullah SAW menjadi teladan dengan beristiqamah bersama petunjuk Allah dalam semua perkara termasuk urusan politik, terutamanya dalam keadaan yang paling mencabar ketika Islam dan penganutnya dikepung dari segenap penjuru.
Rasullullah SAW yang dilantik oleh Allah SWT, adalah pentafsir secara amali (praktikal) kepada al-Quran (kitab suci mukjizat ilmu) yang tidak mampu dicabar sehingga Hari Kiamat. Para sahabat RA ialah pewaris ilmu yang paling dekat selepasnya, mereka menyaksikan saat ayat-ayat diwahyukan, sebab-sebab nuzul (turun ayat) dan sebab hadis Rasulullah SAW yang memberikan arahan dan pengajaran.
Walaupun Rasulullah SAW sudah wafat, tetapi petunjuk al-Quran terus berkekalan. Para sahabat RA merupakan generasi awal yang menyaksikan secara langsung pelaksanaan Rasulullah SAW daripada al-Quran, malah mereka juga memahami cara dan uslub pelaksanaannya yang berjaya mewujudkan perpaduan umat yang menjadi tonggak negara.
Perpaduan yang bermula dengan umat Islam sendiri terlebih dahulu. Kemudiannya, diikuti dengan perpaduan seluruh manusia di seluruh alam dan sepanjang zaman yang menjadi tujuan risalahnya, sama ada umat ijabah (umat yang telah bersama Islam) atau umat dakwah (umat yang belum memeluk Islam).
Kejayaan Islam menyatukan umat bangsa Arab yang paling ganas dan berpecah belah agar bersama petunjuk Islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW menjadi teladan kepada seluruh manusia sepanjang zaman. Perkara itu berprinsipkan iman serta berkonsepkan akhlak yang mulia dan adil terhadap semua telah berjaya melembutkan kekerasan hati pendukung jahiliah dan menundukkan semua kaum dalam masyarakat majmuk.
Cabaran pertama yang dihadapi oleh para sahabat selepas kewafatan Rasulullah SAW ialah bagaimana ingin menjadi contoh terbaik kepada seluruh manusia. Khususnya, dalam urusan memilih ketua negara (khalifah) yang tiada riwayat yang nyata bahawa Rasulullah SAW pernah mencalonkan sesiapa.
Namun, al-Quran yang merupakan mukjizat ilmu dan petunjuk Allah telah menyatakan tentang konsep syura bagi membuat keputusan dalam perkara yang tiada nas melalui ijtihad (kebijaksanaan menetapkan hukum dengan syarat-syaratnya).
Allah SWT menyatakan konsep syura secara umum, sebagaimana firman-Nya:
﴿فَبِمَا رَحۡمَةٖ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡۖ وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَۖ فَٱعۡفُ عَنۡهُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ١٥٩﴾
“Maka, disebabkan rahmat (yang melimpah-ruah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), kamu telah bersikap lemah-lembut terhadap mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu). Dan sekiranya kamu bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan mohonkanlah keampunan bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam apa-apa jua urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian, apabila kamu telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk melakukan sesuatu), maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Surah Ali ‘Imran: 159)
Syura dilakukan dengan mengemukakan pandangan secara terbuka tanpa paksaan daripada mereka yang beriman, berilmu dan berakhlak dengan bijaksana dan beradab. Firman Allah SWT:
﴿فَمَآ أُوتِيتُم مِّن شَيۡءٖ فَمَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۚ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ خَيۡرٞ وَأَبۡقَىٰ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ٣٦ وَٱلَّذِينَ يَجۡتَنِبُونَ كَبَٰٓئِرَ ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡفَوَٰحِشَ وَإِذَا مَا غَضِبُواْ هُمۡ يَغۡفِرُونَ٣٧ وَٱلَّذِينَ ٱسۡتَجَابُواْ لِرَبِّهِمۡ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَمۡرُهُمۡ شُورَىٰ بَيۡنَهُمۡ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ٣٨﴾
“Oleh itu, apa-apa (keni‘matan) yang diberikan kepadamu, maka itu hanyalah kesenangan hidup di dunia sahaja; dan apa-apa yang ada di sisi Allah (daripada pahala pada Hari Akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman, dan hanya kepada Tuhan mereka, mereka bertawakal. (36) Dan juga (bagi) orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan yang keji, dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka akan memaafkannya. (37) Dan juga (bagi) orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhan dan mendirikan solat dengan sempurna, sedangkan urusan mereka (diputuskan) dengan bermesyuarat antara mereka; dan mereka pula menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. (38)” (Surah al-Syura: 36-38)
Oleh itu, syura harus dilakukan tanpa dipengaruhi faktor harta dan takhta, disertai ilmu dan ketaatan kepada Allah secara beribadat dan berakhlak mulia.
Para pemimpin sahabat RA dan mereka yang berwibawa dari aspek iman, ilmu dan akhlaknya seterusnya bermesyuarat dengan mengemukakan tiga orang tokoh menjadi calon. Mereka ialah:
Saad bin ‘Ubadah RA daripada kalangan kumpulan Ansar.
‘Ali bin Abi Talib RA daripada kalangan Ahli al-Bait (keluarga Rasulullah SAW).
Abu Bakar al-Siddiq RA daripada kalangan Muhajirin Quraisy.
Apabila mereka mendengar hujah daripada hadis Rasulullah SAW:
الأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْشٍ.
“Para pemimpin hendaklah daripada kalangan Quraisy.” (Riwayat Ahmad, No. 19777 dan al-Tabrani dalam Mu’jam al-Awsat, No. 6610)
Mereka menerima Abu Bakar RA secara ijmak, apabila semuanya melakukan baiah (ikrar taat setia) kepada beliau menjadi ketua negara.
Para ulama’ berhujah bahawa syarat supaya pemimpin daripada kalangan Quraisy itu bermaksud bahawa ketua negara itu wajib daripada kalangan kaum penganut Islam yang paling kuat pengaruhnya iaitu kaum yang mendominasi umat Islam. Hal ini telah disebutkan dalam kitab al-Muqaddimah (Ibn Khaldun), al-Ahkam al-Sultaniyyah (Imam al-Mawardi), Ghiyath al-Umam (Imam al-Haramain al-Juwainy), Itmam al-Wafa’ (Syeikh Muhammad al-Khudari) dan lain-lain.
Sejarah telah menunjukkan bahawa pandangan ini sangat tepat apabila sesebuah negara berdepan pemberontakan murtad dalam negeri (Semenanjung Tanah Arab) dalam kalangan bangsa Arab sendiri yang disokong oleh kuasa luar yang terdiri daripada dua kuasa besar dunia dan semua musuh Islam yang lain. Maka ketika itu, peranan kaum Quraisy bersama ketua negara daripada kalangan bangsa mereka adalah sangat penting.
Inilah pandangan Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah dan para Imam Ahli al-Bait terawal yang menerima Abu Bakar RA menjadi ketua negara. Adapun yang lain adalah pandangan generasi kemudian yang lemah, sehingga kemudiannya mencetuskan mazhab Syiah, Khawarij dan Muktazilah yang tidak muktabar.
Islam mensyaratkan pemimpin itu mestilah daripada kalangan mereka yang beriman, berakhlak (‘adalah), berilmu dan daripada kalangan kaum yang berpengaruh.
Allah SWT melantik para rasul yang memimpin dengan dukungan kaum bangsanya sendiri. Perkara ini dinyatakan melalui firman-Nya:
﴿وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ٤ وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا مُوسَىٰ بَِٔايَٰتِنَآ أَنۡ أَخۡرِجۡ قَوۡمَكَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ وَذَكِّرۡهُم بِأَيَّىٰمِ ٱللَّهِۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّكُلِّ صَبَّارٖ شَكُورٖ٥﴾
“Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia dapat memberikan penjelasan (hukum-hukum Allah) dengan terang kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dialah Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (4) Dan sesungguhnya, Kami telah mengutus Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman, ‘Hendaklah kamu mengeluarkan kaummu daripada kegelapan kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap orang yang kuat bersabar, lagi banyak bersyukur. (5)” (Surah Ibrahim: 4-5)
Nabi Musa AS yang diutuskan menghadapi kerajaan Firaun bersama membebaskan kaumnya daripada kalangan bangsa Bani Isra’il. Nabi Muhammad SAW yang diutuskan kepada seluruh manusia sepanjang zaman juga dimulakan dengan kaum dan bangsanya terlebih dahulu.
Ini menunjukkan bahawa syura Islam lebih kukuh daripada demokrasi moden Barat walaupun ia dipengaruhi oleh ajaran Islam selepas demokrasi purba. Hal ini demikian kerana, ajaran Islam diambil dengan cara yang tidak sempurna lantaran dipengaruhi oleh konsep sekularisme yang meninggalkan agama dalam urusan politik mengikut pengaruh Kristian yang dianuti oleh mereka.
Allah SWT menegaskan giliran kaum yang menganut Islam akan silih berganti dan bertukar tangan menjadi pemimpin. Firman Allah SWT:
﴿… وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم٣٨﴾
“Dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu ini.” (Surah Muhammad: 38)
Ayat ini mendukung wajibnya kepimpinan Islam itu daripada kalangan kaum dan bangsa menganutinya yang mendukung pemimpin itu.
Selain itu, sejarah juga membuktikan bahawa kepimpinan Islam sentiasa bertukar dalam kalangan berbagai-bagai bangsa yang menganut Islam yang layak, beriman, berakhlak, berilmu dan berpengaruh dalam kalangan kaumnya, seperti bangsa Kurdi, Turki, Tatar (Mongol) dan lain-lain yang pernah memeluk Islam. Termasuklah juga kerajaan Islam di Nusantara dalam rumpun Melayu yang terdiri daripada berbagai-bagai suku kaum seperti Acheh, Melayu, Jawa, Minang, Bugis dan lain-lain.
Ayat tersebut merupakan perintah kepada para rasul supaya mengislamkan kaum mereka. Nabi Musa AS yang bertonggakkan bangsa Bani Isra’il, dipilih dalam kalangan mereka untuk menjadi pemimpin yang beriman dan berakhlak. Firman Allah SWT:
﴿وَلَقَدۡ ءَاتَيۡنَا مُوسَى ٱلۡكِتَٰبَ فَلَا تَكُن فِي مِرۡيَةٖ مِّن لِّقَآئِهِۦۖ وَجَعَلۡنَٰهُ هُدٗى لِّبَنِيٓ اِسْرَاءِيْلَ٢٣ وَجَعَلۡنَا مِنۡهُمۡ أَئِمَّةٗ يَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا لَمَّا صَبَرُواْۖ وَكَانُواْ بَِٔايَٰتِنَا يُوقِنُونَ٢٤ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفۡصِلُ بَيۡنَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ فِيمَا كَانُواْ فِيهِ يَخۡتَلِفُونَ٢٥﴾
“Dan sesungguhnya, telah Kami kurniakan al-Kitab (Taurat) kepada Musa (sebagaimana Kami memberikan al-Quran kepadamu wahai Muhammad), maka janganlah kamu (Muhammad) meragui bahawa Musa bertemu dengan Allah (untuk menerima Taurat) dan Kami jadikan kitab Taurat itu hidayah bagi Bani Isra’il. (23) Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami selagi mereka bersabar (dalam menjalankan tugas itu) dan mereka tetap meyakini ayat-ayat Kami. (24) (Pertentangan antara satu golongan dengan yang lain itu), sesungguhnya Tuhanmu sahajalah yang akan memutuskan hukum-Nya antara mereka pada Hari Kiamat tentang apa yang selalu mereka perselisihkan padanya. (25)” (Surah al-Sajdah: 23-25)
Maka, dalam politik Malaysia, bangsa Melayu yang menganut Islam itu wajib memimpin, memerintah dan mentadbir masyarakat majmuk yang termasuk rakyat bukan Islam.
Media melaporkan kenyataan yang dibuat oleh PMX, Anwar Ibrahim, yang menganggap dakwaan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, mengenai kedudukan ahli Parlimen Melayu dalam kerajaan merupakan perkiraan yang ‘tidak betul’.
Menurut Perdana Menteri lagi, untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil, ia tidak bergantung kepada jumlah ahli Parlimen mana-mana etnik di Parlimen, sebaliknya bergantung kepada dasar yang dilaksanakan. Bahkan, Anwar juga menganggap menilai kestabilan kerajaan dengan hanya bersandarkan kepada faktor bangsa adalah pertimbangan yang jumud.
Kenyataan dan pertimbangan yang dinyatakan itu sama sekali salah dan sesat, serta bercanggah dengan kepimpinan melalui teladan Rasulullah SAW. Hal ini disebabkan konsep yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) adalah tanpa beraqidah, tanpa berideologi, tanpa berakhlak, dan tanpa berilmu, serta mudah dipengaruhi oleh teori Barat warisan penjajah. Oleh sebab itu, mereka membawa konsep sekularisme dan ‘Malaysian Malaysia’ yang menolak kepimpinan Melayu Islam tanpa mempedulikan aspek iman, akhlak dan integriti.
Bagi mencukupkan jumlah ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan, dicampur semua jenis manusia daripada fahaman yang berbeza tanpa asas iman dan akhlak, dalam keadaan yang sebenarnya tidak cukup jumlahnya. Caranya ialah dengan mewujudkan naratif yang salah dan sesat, membetulkan perkara yang salah atau meletakkan kesalahan di bawah kapit.
Kita menyaksikan contoh kerajaan seperti ini hanya dapat bertahan buat sementara waktu yang pendek dan rapuh, kerana pemilihan pemimpin bukan daripada kaum dominasi seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat, Chile, Fiji, dan terkini di United Kingdom.
Islam telah menunjukkan konsep berperlembagaan, sama ada melalui sistem khalifah (ketua negara) atau sistem beraja, berpandukan firman Allah SWT:
﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾
“Wahai orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri (umara’ dan ulama’) dalam kalangan kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Hal yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah al-Nisa’: 59)
Perkara ini kemudiannya diterjemahkan dalam Piagam Madinah bahawa kedudukan al-Quran dan Sunnah adalah sumber hukum yang tertinggi. Oleh itu, bagi penganut Islam, mereka wajib menjadikan al-Quran sebagai petunjuknya dan Rasulullah SAW sebagai teladannya, bukan berpandukan hukum akal dan media murahan yang menyesatkan.
Allah SWT menegaskan bahawa kewajipan memilih pemimpin merupakan perkara besar yang akan dihisab pada Hari Kiamat nanti. Firman Allah SWT:
﴿يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَـٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا٧٢﴾
“(Ingatlah) pada hari (Ketika) Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama pemimpinnya; kemudian sesiapa yang diberikan kitab amalannya pada tangan kanannya, maka mereka itu akan membaca kitabnya (dengan sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amalnya yang baik) walau sedikit pun. (71); Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (mata hatinya), maka dirinya juga buta di akhirat, bahkan lebih sesat lagi dari jalan (yang benar). (72)” (Surah al-Isra’: 71-72)
Sesungguhnya, orang yang paling malang ialah mereka yang buta al-Quran dan penyakit itu lebih parah daripada buta huruf.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 15 Zulqa‘dah 1442 / 4 Jun 2023
[Bil: 46 / 2023]