Minda Presiden PAS
[Bil: 45 / 2023]
MELAYU MUDAH LUPA BERSAMA PAKATAN HARAPAN
Terdedah kini bahawa Melayu yang menyertai Pakatan Harapan (PH) ialah Melayu yang mudah lupa, khususnya para pemimpinnya juga mudah lupa.
Banyak kenyataan mereka yang terdahulu dilupakan, terbukti dengan nyata dan benar sekiranya kita merujuk kepada kenyataan awal mereka sebelum menjadi kerajaan dan selepas menjadi kerajaan.
Antara yang terawal ialah kenyataan bersemangat yang dilaungkan oleh pemimpin UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), berulang kali di hadapan para perwakilan dari seluruh negara. Laungan yang diulangi, “No DAP! No Anwar!”
Kini, pemimpin UMNO pula bersekongkol dengan mereka yang dilaungkan itu dengan penuh mesra dan akrab, malah membuat kenyataan untuk bersama dalam pilihan raya negeri (PRN) sehingga membelakangi dasar dan perjuangan parti.
Adapun kalangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula berdegar-degar dengan laungan “Reformasi!” dan berjuang ingin menghapuskan rasuah, salah laku, kronisme, nepotisme, dan lain-lain. Rupa-rupanya, apa yang mereka lakukan itu laksana lakonan semata-mata.
Tiba-tiba, PKR pun bersekongkol dengan kelompok yang mengamalkan kronisme, nepotisme, dan banduan yang telah dihukum serta kluster mahkamah bagi mencukupkan jumlah untuk menubuhkan kerajaan.
Mereka melanggar Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan, bahawa pelantikan bermula daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sehinggalah para jemaah menteri dan ketua jabatan mestilah daripada kalangan mereka yang bersih. Sehinggakan, segala perkara yang masih terikat dengan tuduhan-tuduhan yang wajib dibuktikan di mahkamah itu selesai.
Konsep yang tegas dalam Perlembagaan Persekutuan itu dilanggar oleh mereka sehingga berlagak lebih daripada Duli Yang Maha Mulia Raja-raja. Pada masa yang sama, menggunakan Raja-raja menjadi pelindung sewenang-wenangnya tanpa menghormati konsep Raja Berperlembagaan.
Kini, kita sudah mencapai kemerdekaan. Sewajarnya, Raja-raja dimuliakan mengikut lunas yang dinyatakan oleh Perlembagaan Persekutuan, hukum Islam, dan adab Melayu Islam. Mereka tidak boleh diperlakukan seperti zaman penjajah dahulu.
Banyak janji kepada rakyat sebelum pilihan raya ditaburkan sama ada secara tulisan ataupun ucapan lidah yang tidak bertulang. Janji mudah itu adalah seperti menurunkan harga minyak dalam masa 24 jam sekiranya menjadi kerajaan, menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menghapuskan tol, dan banyak lagi.
Selepas berjaya mengambil alih kerajaan melalui Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, semua janji dan ucapan itu tenggelam dimakan masa. Melayu yang mudah lupa bersamanya terus menyambung perjuangan yang sama.
Perbuatan buruk mereka itu berkekalan sehinggalah mereka mengambil alih kerajaan selepas PRU-15 dengan sokongan Melayu yang mudah lupa juga. Keadaan yang sama masih terus berulang dengan kenyataan-kenyataan yang dinafikan kemudiannya.
Timbul kenyataan bahawa mereka mengajak PAS untuk sama-sama menyertai Kerajaan Perpaduan yang dipimpin mereka, tanpa menghormati bahawa Perikatan Nasional (PN) didominasi oleh Melayu Islam Bumiputera dengan 74 kerusi.
Adapun PH didominasi oleh bukan Islam, dengan kalangan liberal PKR adalah sebanyak 30 kerusi (19 orang Melayu Islam dan Islam liberal manakala 11 orang nyata bukan Melayu dan bukan Islam), bersama DAP sebanyak 40 kerusi dengan tiga orang daripadanya adalah Melayu.
Selepas itu, mereka menghantar broker pula untuk memujuk sama ada dari dalam negara mahupun luar negara. Maka, PN khususnya PAS menolak semua tawaran dan menolak segala janji yang tidak boleh dipercayai, kerana PAS ialah Melayu yang tidak lupa.
Islam mewajibkan sifat ‘adalah (عدالة) iaitu adil dalam perkara yang besar, bermula dengan kesaksian jenayah sehinggalah saksi melihat anak bulan Ramadan dan Syawwal untuk berpuasa dan berhari raya. Orang yang menjadi saksi itu mestilah seorang yang adil, khususnya tidak pernah berbohong. Sekiranya yang melihat anak bulan itu dilaporkan oleh orang yang bohong, maka Penyimpan Mohor Besar Raja-raja tidak boleh mengesahkannya.
Hal ini termasuklah sesiapa yang sifatnya pembohong, maka dia tidak diterima menjadi saksi di mahkamah kerana dia dihukum sebagai saksi yang fasiq mengikut hukum syariat. Undang-undang manusia juga menegaskan saksi yang bohong adalah ditolak dan boleh dijatuhkan hukuman.
Mengikut hukum Islam, pelantikan jawatan penting dalam kerajaan seperti hakim sehinggalah ketua negara adalah wajib bersifat adil (tidak fasiq). Termasuk dalam sifat fasiq itu adalah berbohong.
Al-Quran menghukum fasiq terhadap sesiapa yang membawa berita bohong. Firman Allah SWT:
﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ٦﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasiq datang kepadamu membawa suatu berita (bohong), maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya agar kamu tidak mendatangkan musibah kepada suatu kaum dengan perkara yang tidak diingini disebabkan kejahilan kamu (mengenainya) sehingga akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.” (Surah al-Hujurat: 6)
Firman Allah SWT:
﴿إِنَّمَا يَفۡتَرِي ٱلۡكَذِبَ ٱلَّذِينَ لَا يُؤۡمِنُونَ يُؤْمِنُونَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ ۖوَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡكَٰذِبُونَ١٠٥﴾
“Sesungguhnya, orang yang mengada-adakan pembohongan, hanyalah mereka yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itulah orang-orang pendusta.” (Surah al-Nahl: 105)
Rasulullah SAW sangat tegas memperingatkan umatnya supaya sentiasa bercakap benar, jangan berbohong, dan jangan membiasakan diri dengan suka berbohong. Sabdanya:
إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا.
“Sesungguhnya, benar itu membawa kepada kebajikan, dan sesungguhnya, kebajikan itu memberi petunjuk untuk menuju ke syurga. Sesungguhnya, seseorang itu berlaku benar sehingga ditulis di sisi Allah sebagai seorang pembenar. Sesungguhnya, bohong itu membawa kepada kejahatan, dan sesungguhnya, kejahatan itu membawa ke neraka. Sesungguhnya, seseorang itu berbohong sehingga ditulis di sisi Allah sebagai seorang pembohong.” (Riwayat al-Bukhari, No. 6094 dan Muslim, No. 2607)
Maka, penganut Islam tidak boleh menyokong pembohong, bahkan bukan Islam yang bermaruah juga sama-sama tidak boleh menyokong pembohong.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 12 Zulqa‘dah 1444 / 1 Jun 2023