Home Berita PAS Terengganu

FAMA peruntuk lebih RM200 Ribu bantu 12 Usahawan di Terengganu

38
SHARE

KUALA TERENGGANU – Seramai 12 usahawan di negeri Terengganu menerima bantuan peralatan sokongan pemasaran bernilai  RM202,250 melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Pemangku Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata bantuan itu merangkumi Geran Agropreneur Muda, Signature Produk Terengganu, bantuan peralatan sokongan pemasaran Industri Makanan & Asas Tani serta Insentif Peralatan bagi Program Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran.

”Objektif program ini adalah untuk membantu meningkatkan pendapatan usahawan melalui pemberian bantuan projek ekonomi yang melibatkan aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pengedaran dan pemasaran.

“Selain itu, FAMA mahu meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta daya saing usahawan melalui latihan-latihan di bawah program FAMA,”katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Bantuan Peralatan Sokongan Pemasaran Usahawan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Sementara itu, pihaknya juga menggalakkan para petani untuk mendaftar di bawah program Ladang Kontrak kerana pelbagai kemudahan dan manfaat boleh diperolehi.

“Sebagai contoh, FAMA menyediakan kemudahan kenderaan untuk menghantar hasil pertanian berkenaan, merupakan antara perkhidmatan yang disediakan FAMA kepada petani yang merupakan peserta ladang kontrak,”tambahnya.